UiTM Rembau raikan kecemerlangan akademik melalui Anugerah Dekan 2026
Seramai lebih 300 pelajar Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dari semester dua hingga semester lima diraikan dan menerima Sijil Anugerah Dekan.
KUALA LUMPUR, 22 Jun 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau menerusi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah Sijil Dekan 2026 di Dewan Biduanda, kampus itu pada Jumaat lepas.
Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Farrah Othman berkata, kejayaan yang dicapai para pelajar bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan pelbagai usaha dan pengorbanan.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua penerima Sijil Anugerah Dekan FPP,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.
Beliau turut menggesa para pelajar menjadikan pengiktirafan yang diterima sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya memandangkan pelbagai cabaran, khususnya dalam bidang akademik, masih perlu ditempuhi.
Seramai lebih 300 pelajar Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dari semester dua hingga semester lima diraikan dan menerima Sijil Anugerah Dekan pada majlis tersebut yang turut disaksikan para pensyarah serta tetamu jemputan.

Dalam majlis yang sama, pelajar semester lima yang bakal menamatkan pengajian diploma mereka turut diraikan.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Mohd Azhar Mohd Yusof, yang juga alumni UiTM.
Beliau menyifatkan penganjuran majlis berkenaan selari dengan matlamat UiTM dalam memberi dorongan kepada pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan.
“Syabas dan tahniah buat kesemua pewaris negara. Diharapkan kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja, bahkan mampu memberi manfaat kepada insan yang lain,” katanya.
Mohd Azhar bersama beberapa tetamu jemputan lain turut menyampaikan Sijil Anugerah Dekan kepada para pelajar.
Majlis itu turut disertai seorang lagi alumni UiTM, Zusuff Kan, pemilik Konsultan START-Lah Innovation, sebuah organisasi yang dipacu inovasi dan berdedikasi terhadap kerjasama berimpak bagi menyelesaikan masalah kompleks serta mencipta perubahan positif dalam kalangan usahawan.
Menurut beliau, sepanjang pengajiannya di UiTM, institusi itu menekankan bahawa kemuliaan seseorang bukan sahaja ditentukan oleh pengetahuan atau ilmu yang dimiliki, tetapi juga sejauh mana ilmu tersebut diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.
Beliau berkata nilai itu sejajar dengan moto UiTM iaitu “Usaha, Taqwa, Mulia” yang diterapkan dalam diri setiap graduannya.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Masitah Ahmad yang menyifatkan penganjuran majlis tersebut sebagai satu usaha yang amat positif.

Beliau berkata prinsip asas pendidikan yang ingin dibangunkan oleh UiTM adalah bahawa pengetahuan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya nilai sebenar ilmu terserlah apabila ia diaplikasikan secara praktikal melalui program yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar.
Program itu dijayakan sepenuhnya oleh Persatuan Pelajar Perbankan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Kampus Rembau dalam suasana sederhana tetapi meriah.
Menurut penganjur, penganjuran program berskala besar seperti itu mampu membina kemahiran insaniah pelajar selain memberi pendedahan praktikal mengenai dunia industri.
