Sakit tulang biasa atau petanda kanser?
Secara umumnya, kanser yang melibatkan tulang boleh dibahagikan kepada dua kategori utama.

SAKIT tulang atau sendi merupakan antara aduan kesihatan yang paling kerap dialami masyarakat. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, sama ada individu aktif bersukan, pekerja yang melakukan kerja fizikal, warga emas mahupun golongan muda yang banyak duduk di pejabat.
Kebanyakan daripada kita menganggap sakit tulang sebagai sesuatu yang biasa, mungkin akibat keletihan, postur badan yang tidak betul atau proses penuaan. Sememangnya, majoriti kes sakit tulang berpunca daripada masalah yang tidak serius dan boleh dirawat dengan ubat tahan sakit, fisioterapi atau rehat yang mencukupi.
Namun, terdapat segelintir pesakit yang mengalami simptom yang kelihatan biasa, tetapi sebenarnya merupakan petanda kepada penyakit yang lebih serius, termasuk kanser tulang.
Kanser tulang berlaku apabila sel-sel abnormal dalam tulang membiak secara tidak terkawal. Secara umumnya, kanser yang melibatkan tulang boleh dibahagikan kepada dua kategori utama.
Pertama, kanser tulang primer, iaitu kanser yang bermula daripada sel tulang itu sendiri seperti osteosarkoma, Ewing sarcoma dan kondrosarkoma. Kanser jenis ini lebih jarang berlaku dan sering melibatkan golongan muda.
Kedua, kanser tulang sekunder atau metastasis tulang, iaitu kanser yang merebak ke tulang daripada organ lain seperti payudara, prostat, paru-paru atau buah pinggang. Keadaan ini lebih kerap ditemui berbanding kanser tulang primer.
Walaupun kanser tulang dianggap jarang, kesannya terhadap pergerakan, fungsi anggota dan kualiti hidup pesakit amat besar. Oleh itu, pengesanan awal sangat penting.
Bilakah sakit tulang perlu dibimbangi?
Tidak semua sakit tulang menandakan kanser. Namun, terdapat beberapa tanda amaran yang tidak wajar diabaikan.
Antaranya ialah sakit tulang yang berlarutan melebihi beberapa minggu walaupun telah berehat atau mengambil ubat tahan sakit. Sakit yang semakin teruk dari semasa ke semasa, terutama pada waktu malam sehingga mengganggu tidur, juga memerlukan perhatian.
Selain itu, kewujudan bengkak atau ketulan pada tulang atau sendi, kesukaran menggerakkan anggota badan, serta kejadian patah tulang akibat kecederaan ringan juga boleh menjadi petunjuk kepada masalah yang lebih serius.
Sekiranya seseorang mengalami satu atau beberapa gejala ini, pemeriksaan lanjut oleh doktor adalah disarankan.
Mengapa pesakit sering datang lewat?
Dalam amalan klinikal, ramai pesakit kanser tulang mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah berada pada tahap lanjut.
Antara sebab utama ialah mereka menganggap sakit yang dialami hanyalah masalah biasa seperti terseliuh atau sakit otot. Ada juga yang bergantung kepada ubat tahan sakit untuk tempoh yang panjang tanpa menjalani pemeriksaan lanjut.
Tidak kurang juga yang takut untuk mengetahui diagnosis sebenar kerana bimbang jika disahkan menghidap kanser. Malangnya, kelewatan mendapatkan rawatan boleh mengurangkan pilihan rawatan yang tersedia.
Hakikatnya, pemeriksaan awal bukan bermaksud seseorang itu pasti menghidap kanser. Sebaliknya, ia merupakan langkah penting untuk mengenal pasti punca sebenar kesakitan dan memulakan rawatan yang sesuai.
Apabila doktor mengesyaki kemungkinan kanser tulang, beberapa langkah akan dilakukan.
Ia bermula dengan pengambilan sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal. Pesakit mungkin seterusnya menjalani pemeriksaan sinar-X bagi melihat keadaan tulang yang terlibat.
Jika perlu, ujian lanjut seperti imbasan CT atau MRI akan dilakukan untuk menentukan saiz tumor dan tahap penyebarannya. Dalam sesetengah keadaan, ujian seperti PET-CT turut digunakan.
Namun, biopsi atau pengambilan sampel tisu merupakan langkah paling penting kerana hanya melalui pemeriksaan patologi diagnosis dapat disahkan dengan tepat.
Rawatan kini semakin maju
Ramai masih beranggapan bahawa kanser tulang pasti berakhir dengan amputasi anggota badan. Hakikatnya, kemajuan perubatan telah mengubah landskap rawatan penyakit ini.
Kini, pembedahan penyelamatan anggota (limb salvage surgery) menjadi pilihan utama dalam banyak kes. Melalui prosedur ini, bahagian tulang yang terlibat dibuang dan digantikan dengan implan khas atau kaedah rekonstruksi lain.
Selain pembedahan, rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi juga memainkan peranan penting bergantung kepada jenis dan tahap penyakit.
Matlamat rawatan moden bukan sekadar memanjangkan hayat pesakit, tetapi memastikan mereka dapat mengekalkan fungsi anggota dan menjalani kehidupan yang berkualiti.
Perjalanan pesakit tidak berakhir selepas menjalani pembedahan atau kemoterapi. Fasa pemulihan sama penting dengan rawatan itu sendiri.
Fisioterapi membantu pesakit mendapatkan semula kekuatan otot dan keupayaan bergerak. Pemantauan berkala pula diperlukan bagi mengesan kemungkinan penyakit berulang atau komplikasi berkaitan rawatan.
Selain aspek fizikal, sokongan emosi daripada keluarga dan rakan-rakan juga amat penting. Diagnosis kanser sering menimbulkan ketakutan dan kebimbangan. Pesakit memerlukan dorongan untuk terus bersemangat menjalani rawatan dan pemulihan.
Jangan takut untuk diperiksa
Masyarakat perlu lebih peka terhadap perubahan yang berlaku pada tubuh sendiri. Literasi kesihatan yang baik boleh membantu seseorang mendapatkan rawatan lebih awal.
Jika sakit tulang berlarutan tanpa sebab yang jelas, jangan sekadar berharap ia akan hilang sendiri. Berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan penilaian lanjut.
Pemeriksaan awal tidak menjadikan sesuatu penyakit itu lebih buruk. Sebaliknya, ia membuka peluang untuk diagnosis yang tepat dan rawatan yang lebih berkesan.
Akhirnya, mesej yang ingin disampaikan adalah mudah, jangan abaikan sakit tulang yang berpanjangan dan jangan takut mengetahui kebenaran.
Dalam banyak keadaan, tindakan mendapatkan rawatan beberapa bulan lebih awal boleh menentukan sama ada fungsi anggota dapat diselamatkan dan kualiti hidup dapat dikekalkan.
Kesedaran, keberanian untuk mendapatkan pemeriksaan dan sokongan daripada masyarakat merupakan kunci penting dalam membantu pesakit kanser tulang menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

