Apabila maklumat awam menjadi senjata

OSINT membuka peluang penyiasatan digital, namun penggunaannya tanpa kawalan boleh mengancam privasi, keselamatan individu dan mencetuskan penyalahgunaan maklumat.

Feature Image (1)

PERISIKAN Sumber Terbuka atau Open-Source Intelligence (OSINT) semakin mendapat perhatian sebagai satu kaedah yang berkesan dalam pengumpulan maklumat risikan, penyiasatan jenayah dan keselamatan negara.

Dengan maklumat yang begitu mudah diperoleh melalui media sosial, laman sesawang, platform digital, rekod awam, imej satelit dan pangkalan data dalam talian, individu serta organisasi kini boleh mengumpul, menganalisis dan mentafsir maklumat tanpa semestinya mempunyai akses kepada maklumat risikan terperingkat atau keupayaan penyiasatan yang canggih.

Pada zahirnya, perkembangan ini dilihat sebagai sesuatu yang positif. Ia membuka ruang kepada lebih ramai pihak untuk menjalankan pengumpulan maklumat risikan, memperkukuh keupayaan penyiasatan dan membolehkan maklumat diperoleh di luar batasan institusi tradisional.

Namun begitu, perkembangan ini perlu dilihat secara lebih kritikal. Hakikat bahawa sesuatu maklumat boleh diakses secara terbuka tidak bermakna proses pengumpulan, analisis, penggunaan atau penyebarannya secara automatik menjadi sah dan wajar. Terdapat tanggapan berbahaya bahawa apa sahaja maklumat yang ditemui di internet boleh digunakan sesuka hati hanya kerana ia boleh diakses oleh orang awam.

Bahaya sebenar OSINT bukan sekadar terletak pada ketersediaan maklumat, tetapi pada keupayaan untuk menghubungkan pelbagai maklumat yang pada asalnya kelihatan tidak berkaitan, lalu membentuk apa yang dianggap sebagai maklumat risikan. Maklumat sedemikian boleh mendedahkan identiti seseorang, menjejaskan keselamatan, memudahkan aktiviti jenayah dan berpotensi mengakibatkan kemudaratan yang serius.

Cuba kita fikirkan berapa banyak maklumat yang ditinggalkan oleh seseorang melalui aktiviti digital seharian. Sekeping gambar yang dimuat naik ke media sosial, lokasi yang ditandakan ketika bercuti, komen di platform awam, profil pekerjaan atau interaksi dengan rakan dan ahli keluarga sebenarnya boleh mendedahkan jauh lebih banyak maklumat daripada apa yang dimaksudkan oleh individu tersebut.

Secara berasingan, maklumat ini mungkin kelihatan tidak penting. Namun, apabila dikumpulkan dan dianalisis secara menyeluruh, ia boleh mendedahkan identiti, pergerakan, hubungan, rutin harian dan kelemahan seseorang.

Persoalannya, sejauh manakah seseorang benar-benar memahami berapa banyak maklumat tentang dirinya yang boleh dibina semula melalui jejak digital yang ditinggalkannya? Dari perspektif kriminologi, kita sedang berhadapan dengan persekitaran di mana maklumat yang asalnya dikongsikan untuk tujuan interaksi sosial boleh disalahgunakan bagi tujuan pengawasan, eksploitasi dan pemangsaan.

Kesannya boleh merangkumi perbuatan menghendap, pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran (doxxing), gangguan, kecurian identiti, ugutan dan juga ancaman terhadap keselamatan fizikal. Kita perlu berhenti menyamakan kebolehcapaian sesuatu maklumat dengan keizinan untuk menggunakannya.

Apa yang lebih membimbangkan ialah OSINT bukan hanya boleh digunakan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang, organisasi risikan atau jabatan kerajaan.

Penjenayah juga mempunyai akses kepada maklumat yang sama. Kumpulan jenayah terancang, penipu, pemerdagang orang, penggodam dan pelbagai pihak yang melakukan kesalahan boleh mengeksploitasi maklumat yang tersedia secara terbuka untuk mengenal pasti bakal mangsa, memahami kelemahan mereka dan merancang pendekatan yang meyakinkan bagi memanipulasi mangsa.

Maklumat mengenai pekerjaan, keadaan keluarga, aktiviti kewangan dan hubungan sosial seseorang boleh digunakan untuk melakukan penyamaran identiti, manipulasi sosial (social engineering) dan penipuan yang disasarkan.

Kita tidak boleh memandang ringan implikasi perkara ini. Aktiviti jenayah tidak semestinya memerlukan kemahiran penggodaman yang canggih. Ada kalanya, apa yang diperlukan hanyalah keupayaan untuk mengumpul maklumat mengenai bakal mangsa dan memahami bagaimana maklumat tersebut boleh dieksploitasi.

Dalam konteks penipuan dalam talian dan jenayah terancang rentas negara, maklumat yang tersedia secara terbuka boleh menjadi sumber yang sangat bernilai kepada rangkaian jenayah. Maklumat yang sama yang membantu pihak penguatkuasaan mengenal pasti penjenayah juga boleh membantu penjenayah mengenal pasti mangsa mereka. Inilah paradoks OSINT yang perlu diberikan perhatian lebih serius.

Satu lagi perkembangan yang membimbangkan ialah amalan individu dan komuniti dalam talian menjalankan penyiasatan sendiri menggunakan OSINT, sebelum menerbitkan hasil penemuan mereka di media sosial. Walaupun ada yang berpendapat bahawa tindakan sedemikian dapat meningkatkan akauntabiliti dan mendedahkan salah laku, kita perlu mempersoalkan di manakah berakhirnya penelitian awam yang sah dan bermulanya tindakan menghukum secara sendiri di ruang digital (digital vigilantism).

Terdapat perbezaan yang sangat asas antara mengenal pasti sesuatu petunjuk awal dengan membuktikan bahawa seseorang telah melakukan kesalahan jenayah. Sekeping gambar, akaun media sosial, rekod geolokasi atau interaksi dalam talian tidak dengan sendirinya membuktikan liabiliti jenayah seseorang.

Namun begitu, semakin ramai individu dikenal pasti, dituduh dan dihukum oleh masyarakat secara terbuka berdasarkan maklumat yang dikumpul serta ditafsirkan oleh pihak yang mungkin tidak mempunyai latihan penyiasatan atau akses kepada keseluruhan fakta.

Apabila sesuatu tuduhan menjadi tular, kesannya mungkin tidak dapat dipulihkan. Maklumat peribadi boleh terdedah, ahli keluarga turut menjadi sasaran perhatian awam, pekerjaan terjejas dan individu berkenaan berhadapan dengan ugutan serta gangguan. Dalam banyak keadaan, internet seolah-olah menjatuhkan hukuman sebelum proses undang-undang diberikan ruang untuk berjalan. Kita tidak boleh membiarkan pendemokrasian pengumpulan maklumat risikan bertukar menjadi pendemokrasian hukuman.

Dapatan OSINT hanyalah petunjuk risikan yang masih perlu disahkan, bukannya pengganti kepada penyiasatan yang sewajarnya, standard pembuktian atau penentuan oleh mahkamah. Prinsip anggapan tidak bersalah tidak boleh diketepikan hanya kerana sesuatu tuduhan disokong oleh maklumat yang tersebar dalam talian.

Daripada perspektif keselamatan negara, implikasinya juga amat serius. Maklumat berkaitan kem tentera, infrastruktur kritikal, premis kerajaan, anggota keselamatan dan pergerakan operasi mungkin boleh diperoleh melalui gambar, imej satelit dan aktiviti di media sosial.

Apabila dianalisis secara sistematik, maklumat yang kelihatan biasa ini boleh mendedahkan kelemahan keselamatan, corak pergerakan dan sasaran yang berpotensi. Pihak yang mempunyai niat bermusuhan, organisasi pengganas dan rangkaian ekstremis boleh mengeksploitasi maklumat tersebut untuk tujuan tinjauan awal, mengenal pasti sasaran, menyebarkan propaganda dan merancang operasi.

Apa yang lebih membimbangkan ialah individu yang berkongsi maklumat sedemikian mungkin langsung tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang mendedahkan butiran yang sensitif dari sudut keselamatan. Pengumpulan maklumat risikan tidak lagi terhad kepada aktor negara seperti dahulu.

Aktor bukan negara kini mempunyai keupayaan yang semakin canggih untuk mengumpul dan mentafsir maklumat yang tersedia secara terbuka. Perbezaan antara maklumat awam dengan maklumat yang sensitif dari sudut operasi keselamatan semakin sukar ditentukan.

Kemunculan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) menjadikan keadaan ini lebih kompleks. AI mampu mempercepatkan proses pengumpulan, pemprosesan, penghubungkaitan dan analisis sejumlah besar maklumat yang boleh diakses secara terbuka.

Teknologi ini boleh mengenal pasti corak, menghubungkan individu dengan rangkaian tertentu dan membina profil berdasarkan cebisan jejak digital. Namun begitu, kelajuan dan keupayaan analisis tidak boleh disamakan dengan ketepatan.

Gambar boleh dimanipulasi, video boleh dikeluarkan daripada konteks sebenar, akaun boleh dikaitkan secara salah dengan seseorang dan identiti digital boleh disalahgambarkan. Kandungan yang dijana oleh AI juga menjadikan proses pengesahan semakin rumit.

Bahayanya bukan sekadar maklumat palsu boleh disebarkan, tetapi maklumat palsu tersebut boleh dipersembahkan dalam bentuk analisis yang kelihatan meyakinkan, sehingga memberikan gambaran seolah-olah ia mempunyai kredibiliti sedangkan hakikatnya tidak.

Kita perlu mempersoalkan sama ada penyiasat dan pihak yang membuat keputusan kini terlalu bergantung kepada hasil analisis teknologi tanpa meneliti secukupnya kebolehpercayaan, sumber asal dan konteks maklumat yang dianalisis.

Mungkin persoalan paling penting ialah mengenai akauntabiliti. Siapakah yang mengawal selia dan memastikan pengamal OSINT bertanggungjawab terhadap tindakan mereka? Apabila agensi penguatkuasaan undang-undang mengumpul maklumat risikan, aktiviti tersebut sepatutnya tertakluk kepada perlindungan undang-undang dan mekanisme kawalan institusi yang berkenaan tetapi bagaimana pula apabila individu persendirian, entiti komersial atau kumpulan dalam talian menjalankan aktiviti yang sama?

Apakah batasan yang menghalang mereka daripada mengumpul, menganalisis, membina profil dan menyebarkan maklumat peribadi seseorang? Apakah saluran yang boleh digunakan oleh individu yang tersalah dikenal pasti, didedahkan maklumat peribadinya atau menjadi sasaran? dan siapakah yang perlu bertanggungjawab sekiranya maklumat yang dikumpulkan melalui OSINT menyumbang kepada gangguan, kerosakan reputasi atau kemudaratan fizikal?

Ini bukan sekadar persoalan berkaitan teknologi. Ia melibatkan persoalan undang-undang, hak asasi manusia, privasi dan akauntabiliti institusi. Di Malaysia, isu-isu ini wajar diberikan perhatian yang lebih serius memandangkan penyiasatan digital dan pengumpulan maklumat risikan semakin penting dalam penguatkuasaan undang-undang serta keselamatan negara.

Kerangka undang-undang sedia ada perlu diteliti berdasarkan cara maklumat peribadi dikumpul, diproses, didedahkan dan berpotensi disalahgunakan. Kita tidak seharusnya membenarkan istilah seperti risikan, ketelusan atau kepentingan awam dijadikan alasan mudah untuk menghalalkan amalan yang menceroboh privasi tanpa mekanisme akauntabiliti yang sewajarnya.

Ini sama sekali tidak bermaksud OSINT perlu ditolak atau tidak digalakkan. Kepentingannya dalam penyiasatan jenayah moden, pengumpulan maklumat risikan dan penilaian ancaman memang tidak dapat dinafikan. Namun, kegunaannya tidak seharusnya mengecualikannya daripada penelitian dan kawalan.

Penekanan yang lebih besar perlu diberikan kepada aspek kesahan, keperluan dan perkadaran dalam pengumpulan maklumat, kebolehpercayaan sumber, pengesahan dapatan serta akauntabiliti terhadap akibat penggunaannya.

Agensi penguatkuasaan undang-undang juga perlu mengekalkan perbezaan yang jelas antara maklumat risikan dengan bahan bukti. Maklumat risikan boleh memberikan hala tuju kepada sesuatu penyiasatan, tetapi maklumat tersebut masih perlu diuji, disokong dengan bukti lain dan dinilai mengikut keperluan pembuktian yang ditetapkan oleh undang-undang.

Hakikatnya, OSINT bukanlah sesuatu yang sememangnya baik atau buruk. Implikasinya bergantung kepada siapa yang menggunakannya, untuk tujuan apa, di bawah kuasa atau autoriti yang bagaimana dan dengan perlindungan apakah yang disediakan. Kebimbangan sebenar ialah kita semakin selesa dengan tanggapan bahawa apa sahaja maklumat yang boleh diakses secara terbuka boleh dikumpul, dianalisis dan digunakan tanpa perlu mempersoalkan kesannya.

Dalam keghairahan kita menerima pakai penyiasatan berasaskan risikan dan kemajuan teknologi, kita mungkin sedang mewujudkan persekitaran yang menyaksikan hak privasi semakin terhakis, individu semakin terdedah kepada pemangsaan digital dan pihak yang tidak tertakluk kepada akauntabiliti memperoleh kuasa untuk menyiasat, mendedahkan dan secara tidak langsung menghukum orang lain.

Maklumat yang tersedia kepada umum tidak bermakna penggunaannya bebas daripada akibat. Keupayaan untuk mengakses sesuatu maklumat tidak seharusnya disamakan dengan hak untuk mengeksploitasinya. Mungkin persoalan yang lebih penting bukanlah sejauh mana banyaknya maklumat risikan yang boleh kita kumpulkan melalui OSINT, tetapi sejauh mana kemudaratan yang mungkin kita wujudkan dalam proses tersebut.