Berintegriti di jalan raya walau tiada yang melihat

Integriti pengguna jalan raya penting dalam membentuk budaya pemanduan berhemah, mengurangkan kemalangan dan melindungi nyawa melalui tanggungjawab bersama.

Feature Image

SETIAP hari, jutaan rakyat negara kita menggunakan jalan raya untuk ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menjalankan urusan perniagaan dan memenuhi keperluan kehidupan seharian. Namun, dalam kesibukan mengejar masa dan tuntutan kehidupan, sejauh manakah kita menghayati nilai integriti ketika berada di jalan raya? Adakah kita mematuhi peraturan kerana kesedaran dan tanggungjawab, atau sekadar kerana takut dikenakan hukuman?

Persoalan ini semakin relevan apabila melihat statistik kemalangan jalan raya di Malaysia. Berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 638,060 kemalangan jalan raya direkodkan pada tahun 2024, berbanding 599,967 kes pada tahun 2023, iaitu terdapat peningkatan sebanyak 6.3 peratus.

Lebih membimbangkan, jumlah kematian akibat nahas jalan raya meningkat daripada 6,023 orang pada tahun 2023 kepada 6,469 orang pada tahun 2024, dan seterusnya kepada 6,581 orang pada tahun 2025. Ini bermakna secara purata, 18 nyawa terkorban setiap hari di jalan raya Malaysia.

Angka ini bukanlah sekadar nilai statistik. Di sebalik setiap angka terdapat insan yang kehilangan nyawa, keluarga yang kehilangan orang tersayang dan kehidupan yang berubah dalam sekelip mata. Walaupun kemalangan berpunca daripada pelbagai faktor, pembudayaan integriti merupakan salah satu pendekatan penting dalam mengurangkan risiko kemalangan.

Integriti Tanpa Pengawasan

Integriti di jalan raya merujuk kepada penghayatan nilai kejujuran, amanah, disiplin, tanggungjawab dan etika dalam kalangan pengguna jalan raya, walaupun tanpa pengawasan pihak berkuasa. Ukuran sebenar integriti seseorang bukanlah bagaimana beliau bertindak ketika diperhatikan, tetapi bagaimana beliau bertindak apabila tiada sesiapa yang melihat.

Sebagai contoh, terdapat pemandu yang memperlahankan kenderaan apabila menghampiri kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), namun kembali memecut setelah melepasi kawasan tersebut. Ada juga yang tergesa-gesa memakai tali pinggang keledar apabila menghampiri sekatan jalan raya. Tingkah laku sedemikian memperlihatkan pematuhan yang didorong oleh kebimbangan terhadap hukuman, bukannya kesedaran terhadap kepentingan keselamatan.

Sebaliknya, pengguna jalan raya yang berintegriti akan mematuhi had laju, berhenti di lampu isyarat merah walaupun jalan lengang dan memakai tali pinggang keledar tanpa perlu diingatkan. Mereka memahami bahawa setiap peraturan diwujudkan untuk melindungi keselamatan dan nyawa manusia.

Undang-undang dibangunkan untuk mengawal tingkah laku, tetapi integriti membentuk tingkah laku. Perbezaan inilah yang perlu difahami dalam usaha membangunkan masyarakat yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.

Utamakan Kepentingan Bersama

Antara manifestasi kelemahan integriti di jalan raya ialah sikap mementingkan diri sendiri. Perbuatan memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan, meletakkan kenderaan sesuka hati dan tidak memberikan laluan kepada kenderaan kecemasan merupakan contoh yang sering dapat diperhatikan. Pemandu yang memotong barisan mungkin berjaya menjimatkan beberapa minit perjalanan, namun tindakannya menafikan hak pengguna lain yang sabar menunggu giliran.

Bayangkan sekiranya ambulans yang membawa pesakit kritikal gagal tiba di hospital tepat pada masanya kerana lorong kecemasan dipenuhi kenderaan yang tidak sepatutnya berada di situ. Keuntungan beberapa minit bagi seseorang mungkin membawa akibat yang tidak ternilai kepada orang lain.

Integriti juga menuntut pengguna jalan raya supaya menghormati golongan yang lebih terdedah kepada risiko kemalangan. Berdasarkan Laporan Perangkaan Kemalangan Jalan Raya 2025 PDRM, sebanyak 4,542 daripada 6,581 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, iaitu hampir 69 peratus daripada keseluruhan kematian.

Statistik ini memperlihatkan betapa pentingnya sikap saling menghormati antara pengguna jalan raya, tanpa mengira jenis kenderaan yang digunakan. Jalan raya bukanlah milik individu tertentu, sebaliknya merupakan kemudahan awam yang perlu digunakan secara adil, berhemah dan bertanggungjawab.

Keselamatan Tanggungjawab Moral

Dari perspektif kejuruteraan, keselamatan jalan raya lazimnya dikaitkan dengan tiga komponen utama iaitu manusia, kenderaan dan persekitaran jalan. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan melalui penambahbaikan reka bentuk jalan, pembinaan infrastruktur berkualiti, teknologi keselamatan kenderaan dan penguatkuasaan undang-undang.

Namun, keberkesanan usaha tersebut turut bergantung pada tingkah laku pengguna jalan raya. Kenderaan yang dilengkapi teknologi keselamatan tercanggih sekalipun tidak mampu menghapuskan sepenuhnya risiko akibat pemanduan berbahaya.

Dari sudut fizik, peningkatan kelajuan kenderaan daripada 80 kilometer sejam kepada 110 kilometer sejam meningkatkan tenaga kinetik hampir 89 peratus bagi kenderaan yang sama. Peningkatan tenaga ini berpotensi memburukkan kesan perlanggaran. Oleh itu, mematuhi had laju bukan sekadar memenuhi tuntutan undang-undang, tetapi merupakan keputusan yang mempunyai implikasi langsung terhadap keselamatan.

Lesen memandu memberikan seseorang kebenaran untuk mengendalikan kenderaan, tetapi turut membawa amanah untuk melindungi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Integriti Tanggungjawab Semua

Perbincangan mengenai integriti tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pemandu dan penunggang motosikal. Sebaliknya, integriti perlu diterapkan dalam keseluruhan ekosistem pengangkutan, daripada peringkat perancangan, reka bentuk dan pembinaan sehinggalah kepada penyelenggaraan serta penguatkuasaan.

Jurutera dan perunding perlu memastikan reka bentuk jalan memenuhi piawaian keselamatan. Kontraktor pula perlu melaksanakan kerja pembinaan dan penyelenggaraan mengikut spesifikasi tanpa berkompromi terhadap kualiti demi keuntungan.

Pengendali lebuh raya dan agensi berkaitan perlu memastikan kerosakan turapan, lubang jalan, sistem saliran, pencahayaan, papan tanda serta kemudahan keselamatan diberikan perhatian sewajarnya. Penyelenggaraan jalan yang tidak berkualiti bukan semata-mata isu teknikal, tetapi turut menjadi persoalan integriti apabila berpunca daripada kecuaian, ketidakpatuhan terhadap spesifikasi atau pengabaian tanggungjawab.

Begitu juga dengan pengendali pengangkutan awam yang perlu memastikan kenderaan selamat digunakan dan pemandu memperoleh rehat mencukupi. Pihak penguat kuasa pula perlu melaksanakan tanggungjawab secara telus, adil dan profesional.

Kegagalan mana-mana pihak melaksanakan amanah dengan penuh integriti boleh mendedahkan masyarakat kepada risiko kemalangan. Justeru, keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab kolektif, bukannya tanggungjawab pengguna semata-mata.

Kesedaran Mengatasi Hukuman

Kerajaan menerusi Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022–2030 menyasarkan pengurangan sebanyak 50 peratus jumlah kematian akibat nahas jalan raya menjelang penghujung tahun 2030. Pencapaian sasaran ini memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan kejuruteraan, pendidikan, penguatkuasaan dan pembudayaan integriti.

Hakikatnya, mustahil untuk menempatkan anggota penguat kuasa atau memasang kamera pengawasan di setiap persimpangan dan sepanjang rangkaian jalan raya negara.

Masyarakat perlu beralih daripada budaya takut kepada hukuman kepada budaya kesedaran dan tanggungjawab kendiri.

Usaha ini perlu bermula sejak kecil. Ibu bapa harus menyedari bahawa tingkah laku mereka ketika memandu turut diperhatikan dan dicontohi oleh anak-anak. Perbuatan melanggar lampu isyarat merah atau memotong barisan secara tidak langsung mendidik generasi muda bahawa peraturan boleh diabaikan demi kepentingan peribadi.

Institusi pendidikan, pusat latihan memandu dan media juga perlu memberikan penekanan kepada aspek moral, empati dan etika, selain pengetahuan teknikal serta perundangan.

Integriti Cerminan Ketamadunan

Kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan panjang rangkaian lebuh raya, kecanggihan pengangkutan atau kemodenan infrastruktur, tetapi turut dinilai berdasarkan keupayaan rakyatnya menggunakan kemudahan tersebut dengan penuh tanggungjawab. Dalam usaha Malaysia menjadi sebuah negara maju, pembangunan infrastruktur fizikal perlu bergerak seiring dengan pembangunan nilai, etika dan kematangan masyarakat.

Integriti di jalan raya bermula apabila kita memilih untuk melakukan perkara yang betul, bukan kerana takut dihukum, tetapi kerana ada nyawa yang wajib dihargai. Jadikanlah setiap perjalanan sebagai ruang untuk mempraktikkan nilai integriti. Sesungguhnya, jalan raya yang selamat bukan hanya dibina dengan hamparan asfalt, konkrit dan kecanggihan teknologi, tetapi juga dengan kejujuran, disiplin, rasa hormat dan tanggungjawab setiap pihak yang menggunakannya.

Jika setiap pengguna jalan raya mempunyai integriti, keselamatan bukan lagi sesuatu yang perlu dipaksakan, sebaliknya menjadi budaya yang diamalkan.