Joon Gi bakal buat persembahan sulung di Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Julai 2024 – Pelakon dan penyanyi serba boleh Korea Selatan, Lee Joon Gi bakal membuat persembanhan sulung di Malaysia pada 22 September ini.

Dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment dan Hit Maker Entertainment, dengan Sliding Doors Entertainment selaku Penganjur Bersama, 2024 LEE JOON GI ASIA TOUR in Kuala Lumpur pasti akan melakar kenangan indah jika anda berkunjung ke Mega Star Arena, KL.

Peminat yang sebelum ini hanya menonton lakonan menerusi K-drama dan filem di skrin, kini anda dapat menatap wajahnya secara langsung.

Pada pertemuan itu kelak, penonton bukan sahaja berpeluang berinteraksi dengan Joon Gi, malah dapat menonton persembahan menarik beliau yang terkenal dengan gerak tari dan vokal yang mengkagumkan.

Joon Gi memulakan kerjaya dalam bidang seni sebagai model dan mendapat peluang berlakon untuk watak kecil sahaja.

Namun namanya mula menjadi popular selepas beliau melakonkan watak utama dalam filem “The King and the Clown”, diikuti dengan siri romantik komedi “My Girl” yang melonjakkan lagi namanya dalam industri.

Beliau juga digelar sebagai “Raja Sageuk” atau “Raja Drama Bersejarah” kerana sering melakonkan watak utama dalam banyak drama bersiri seperti “Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo”, “Scholar Who Walks the Night”, “Arang and the Magistrate” dan “Iljimae”.

Sesuai dengan reputasinya sebagai pelakon serba boleh, beliau telah membintangi K-drama pelbagai genre seperti “Arthdal Chronicles”, “Again My Life”, “Flower of Evil” bersama Moon Chae Won, “Lawless Lawyer” dengan Seo Yea Ji dan banyak lagi. Lee Joon Gi membuat debut di Hollywood menerusi filem “Resident Evil: The Final Chapter”.

Sepanjang karier lakonannya, Joon Gi telah memenangi pelbagai anugerah daripada Anugerah Grand Bell Korea Selatan, Anugerah Drama SBS, Anugerah Drama KBS dan juga di pentas antarabangsa, antaranya di Festival Filem Antarabangsa Hawaii dan Festival Filem Antarabangsa Shanghai.

Sebagai penyanyi, Joon Gi telah mengeluarkan beberapa lagu yang mempamerkan gaya yang berbeza.

Beliau juga mahir dalam seni mempertahankan diri dengan tali pinggang hitam dalam taekwondo, hapkido dan taekkyeon.

Pelbagai faedah ditawarkan kepada peminat untuk setiap pembelian tiket yang boleh dibeli di www.ticketingtix.com mulai 12 tengah hari, Jumaat, 26 Julai 2024 pada harga yang tertakluk
kepada yuran pemprosesan RM4.