Jalur Gemilang semarak patriotisme warga perpustakaan UiTM

Penganjuran majlis berlangsung dalam suasana sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M, sekali gus menyatukan semangat cintakan negara dengan penghayatan nilai ilmu, adab, amanah dan ihsan.

Feature Image (3)

KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2026 – Kibaran Jalur Gemilang mewarnai suasana di Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam hari ini menerusi Majlis Penyerahan Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

Majlis itu bukan sekadar simbolik penyerahan bendera, sebaliknya membawa mesej bahawa kemerdekaan yang diwarisi perlu terus diisi dengan ilmu, integriti dan khidmat kepada masyarakat.

Lebih bermakna, penganjuran majlis berlangsung dalam suasana sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M, sekali gus menyatukan semangat cintakan negara dengan penghayatan nilai ilmu, adab, amanah dan ihsan.

Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Azizi Jantan, dalam amanatnya mengajak warga Jabatan Perpustakaan melihat Jalur Gemilang bukan sekadar lambang yang dikibarkan sempena bulan kemerdekaan, tetapi sebagai simbol sejarah, pengorbanan, identiti dan tanggungjawab kepada negara.

“Pada kibarnya ada sejarah. Pada warnanya ada pengorbanan. Pada lambangnya ada identiti dan pada tangan yang memegangnya, ada tanggungjawab kepada negara,” katanya.

Beliau berkata generasi hari ini mungkin bukan generasi yang berjuang mendapatkan kemerdekaan, namun mereka merupakan generasi yang diberi amanah untuk mengisi kemerdekaan.

Katanya, bagi warga universiti, amanah itu diterjemahkan menerusi ilmu, manakala warga perpustakaan pula berperanan membina masyarakat yang membaca, berfikir dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang benar.

“Sebagai warga yang diberikan amanah dalam organisasi pula, nilai kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui integriti, profesionalisme dan penyampaian perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Azizi berkata semangat berkenaan mempunyai hubungan erat dengan perjalanan UiTM sebagai sebuah institusi pendidikan yang berkembang daripada Dewan Latehan RIDA kepada Maktab MARA, Institut Teknologi MARA dan seterusnya UiTM.

Menurut beliau, perjalanan institusi itu memperlihatkan bagaimana pendidikan dan ilmu mampu membuka peluang serta mengubah kehidupan anak bangsa, manakala perpustakaan mempunyai peranan tersendiri dalam meneruskan perjuangan menerusi pendidikan.

“Kita bukan sekadar mengurus buku; kita mengurus ilmu. Kita bukan sekadar menyediakan ruang membaca, kita menyediakan ruang untuk manusia berfikir. Kita bukan sekadar memelihara koleksi; kita memelihara khazanah, warisan dan memori institusi,” katanya.

Beliau berkata peranan perpustakaan kini jauh melangkaui pengurusan koleksi kerana dalam landskap maklumat yang semakin kompleks, perpustakaan turut bertanggungjawab membuka akses kepada ilmu, membudayakan pembacaan dan pembelajaran sepanjang hayat serta membantu masyarakat mendapatkan maklumat yang benar dan dipercayai.

Katanya, usaha itu semakin penting ketika masyarakat berdepan lambakan kandungan dan maklumat dalam persekitaran digital.

Dalam pada itu, Azizi berkata sambutan Maulidur Rasul turut memberikan dimensi lebih bermakna kepada penganjuran majlis berkenaan apabila semangat kemerdekaan dikaitkan dengan nilai yang ditunjukkan Rasulullah SAW dalam membina manusia dan masyarakat.

Beliau berkata kemerdekaan mengajar manusia tentang kebebasan, manakala Rasulullah SAW menunjukkan bagaimana kebebasan perlu dipandu oleh iman, ilmu dan akhlak.

“Nilai tersebut boleh diterjemahkan dalam kehidupan dan budaya kerja melalui pelaksanaan amanah dengan jujur, membantu rakan yang memerlukan, menjaga tutur kata, menghormati antara satu sama lain serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata penghayatan nilai itu turut selari dengan Model BUDI UiTM menerusi akal budi yang membimbing pemikiran berasaskan ilmu, hati budi yang membentuk empati dan keikhlasan serta budi pekerti yang diterjemahkan melalui sikap, tutur kata dan tindakan.

Azizi berkata Jalur Gemilang yang diserahkan kepada warga Jabatan Perpustakaan bukan sekadar untuk dipegang atau dikibarkan, sebaliknya perlu dihayati nilai yang terkandung di sebaliknya.

Beliau menyeru warga jabatan itu supaya menerima Jalur Gemilang bukan sekadar dengan tangan, tetapi dengan hati.

“Jalur Gemilang menjadi peringatan bahawa negara ini adalah amanah. Maulidur Rasul pula mengingatkan bahawa setiap amanah perlu dilaksanakan dengan akhlak dan ihsan, manakala UiTM terus membawa tanggungjawab membina masa depan anak bangsa melalui ilmu dan pendidikan,” katanya.

Sempena HKHM 2026 yang membawa tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, warga Jabatan Perpustakaan turut diseru memperbaharui tekad untuk memerdekakan fikiran dengan ilmu, menyuburkan jiwa dengan iman, menghayati nilai MADANI dalam tindakan, menghiasi peribadi dengan adab serta melaksanakan amanah dengan integriti dan ihsan.

Majlis itu turut membawa mesej bahawa kemerdekaan memberikan negara kepada rakyat, ilmu menyediakan masa depan dan akhlak menentukan bagaimana masa depan itu dibina.

Bagi warga perpustakaan, amanah berkenaan akan terus digalas bagi memastikan perpustakaan kekal sebagai ruang pertemuan ilmu, adab, amanah, warisan dan kemanusiaan.