Menilai watak Negara Merdeka melalui cermin Siyasah Syariyyah

Satu kerugian besar jika kita menyambut kedua-dua hari bersejarah ini tanpa menilai sejauh mana gaya kepimpinan di sekeliling kita benar-benar mendekati acuan Nabawi.

Feature Image (1)

SEJARAH tidak pernah mencatatkan sebuah ketamadunan agung lahir daripada kekosongan nilai. Di hujung Ogos tahun 2026 ini, takwim Malaysia membukakan ruang tadabbur yang sangat luas apabila dua lipatan sejarah besar bertembung, iaitu sambutan Maulidur Rasul pada hari Selasa dan Sambutan Hari Kemerdekaan pada Isnin minggu hadapan.

Pertembungan dua tarikh ini bukanlah suatu kebetulan yang sia-sia. Ia adalah sebuah isyarat masa yang menuntut kita menilai semula watak kenegaraan kita. Sebagai sebuah watan yang merdeka, sejauh mana pasak urus tadbir dan kepimpinan yang menggerakkan negara ini benar-benar berpaksikan kepada acuan Siyasah Syariyyah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW di Madinah atau adakah kita masih terperangkap dalam acuan materialistik yang ditinggalkan oleh penjajah?

Jika kita selami dengan mata hati, jambatan utama yang menghubungkan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan adalah satu perkataan keramat, iaitu kepimpinan. Malaysia mencapai kemerdekaan hasil kebijaksanaan kepimpinan tokoh terdahulu, manakala ketamadunan Madinah terbina kukuh berteraskan kepimpinan agung Rasulullah SAW.

Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, adalah satu kerugian besar jika kita menyambut kedua-dua hari bersejarah ini tanpa menilai sejauh mana gaya kepimpinan di sekeliling kita benar-benar mendekati acuan Nabawi.

Integriti: Sifat al-Amin yang Melampaui Zaman

Sebelum dilantik menjadi Rasul, Nabi Muhammad SAW sudah pun memegang gelaran al-Amin, iaitu individu yang sangat dipercayai dan amanah. Gelaran ini bukan satu strategi imej atau penjenamaan bermusim, tetapi ia adalah pengiktirafan masyarakat terhadap keperibadian tulen Baginda.

Di sinilah titik refleksi utama kita. Dalam dunia moden yang serba kompetitif, kita kadang-kadang terperangkap dalam budaya “tanam tebu di pinggir bibir”, bijak menyusun kata namun culas dalam pembuktian. Dalam hal ini Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali di dalam karya agung beliau, Ihya’ Ulum al-Din, pernah menitipkan pesanan berat mengenai integriti ini iaitu:”Kerosakan rakyat adalah subur daripada kerosakan para pemimpinnya manakala kerosakan pemimpin itu adalah berpunca daripada kerosakan ulama (ilmuwan) yang gilakan kedudukan”.

Kritikan klasik ini sangat mendalam. Apabila amanah mula dipandang ringan dan dipandu oleh kepentingan peribadi, sistem sesebuah organisasi atau negara akan mula rapuh dari dalam. Kemerdekaan sejati bukan sekadar bebas daripada cengkaman penjajah fizikal, tetapi kebebasan jiwa dan tadbir urus daripada sebarang rantaian pecah amanah yang merugikan rakyat.

Model Madinah: Kedudukan sebagai Beban Kewajipan

Falsafah kepimpinan Islam tidak pernah meletakkan susuk pemimpin di atas takhta yang kebal daripada teguran. Hal ini disuburkan dengan penuh indah melalui ucapan sulung Khalifah Abu Bakar al-Siddiq sejurus setelah beliau dibai’ah secara rasmi sebagai Khalifah. Beliau dengan penuh tawaduk mengisytiharkan kepada khalayak rakyat: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik untuk memimpin kamu, sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kamu. Oleh itu, jika aku melakukan kebaikan, maka bantulah aku; dan jika aku melakukan kesilapan, maka betulkanlah aku”.

Bahkan Rasulullah SAW sendiri bersabda: “Tidaklah seseorang yang Allah SWT amanahkan kepadanya untuk memimpin suatu rakyat, lalu dia tidak menjaga mereka dengan penuh nasihat dan amanah, melainkan dia tidak akan mencium bau syurga.”.

Pemimpin, di mana-mana peringkat sekalipun, perlu mengelakkan diri daripada menganggap jawatan sebagai satu keistimewaan feudal. Ulama muktabar dalam bidang Siyasah Syariyyah, Imam al-Mawardi menegaskan di dalam kitab al-Ahkam Al-Sultaniyyah bahawa:”Kepimpinan itu diletakkan sebagai menggantikan peranan kenabian dalam menjaga urusan agama dan mentadbir urusan dunia”.

Maka, apabila kedudukannya dipandang sebagai tugasan suci untuk memelihara maslahat umat , tiada ruang lagi untuk pemimpin bertindak egoistik atau menjadi seperti “kacang lupakan kulit”.

Apabila pemimpin meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan, turut merasai denyut nadi dan kesusahan mereka yang sedang bergelut dengan kos sara hidup, maka rantaian amanah itu akan berjalan dengan berkat. Begitu juga apabila setiap daripada kita, bermula daripada pembuat dasar negara sehinggalah kepada ketua keluarga di rumah, memimpin dengan nilai al-Amin, Malaysia akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan diberkati.

Kejayaan Kepimpinan Melalui Kerjasama Pemimpin dan Rakyat

Apabila memperkatakan tentang kejayaan kepimpinan sesebuah negara, sejarah Islam telah menunjukkan bagaimana kestabilan sesebuah negara itu ditentukan melalui kerja sama yang era antara pemimpin dan rakyat.

Sehebat manapun kepimpinan itu apabila rakyatnya membelakangkan kemaslahatan negara dan mementingkan diri sendiri maka negara tidak mampu ditadbir dengan baik. Perbandingan ini berlaku antara era kepimpinan Sayydina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Ali.

Saidina Ali diangap sahabat yang hebat, faqih dan mampu memimpin negara dengan cemerlang namun di zaman pemerintahan beliau, berlaku pelbagai pergolakan dan penentangan yang akhirnya membawa peperangan yang merugikan rakyat dan negara.

Dalam hal ini, sejarah Islam merakamkan satu dialog yang sangat tajam apabila seorang rakyat daripada golongan Khawarij bertanya kepada Saidina Ali bin Abu Talib mengenai keadaan negara yang bergolak. Lelaki itu bertanya kenapa zaman pemerintahan Saidina Ali tidak seaman dan sedamai zaman Khalifah Abu Bakar dan Umar al-Khattab. Maka, dengan penuh hikmah Saidina Ali menjawab: “Kerana pada zaman Abu Bakar dan Umar, rakyatnya adalah orang-orang seperti aku. Manakala pada zaman aku, rakyatnya adalah orang-orang seperti kamu.”

Jawapan ini memukul kesedaran kita bahawa kualiti sesebuah negara merdeka adalah refleksi dua hala; pemimpin yang adil memerlukan sokongan rakyat yang berakhlak dan bertanggung jawab, bukannya masyarakat yang hanya tahu mengkritik tetapi culas dalam melaksanakan tanggungjawab sivik dan moral terhadap negara.

Memerdekakan Jiwa Melalui Sunnah

Merdeka itu bukan hanya berakhir penguasaan kuasa asing di tanah air kita, tetapi ia adalah kebebasan akal dan sistem hidup daripada belenggu nafsu yang merosakkan masa depan diri, masyarakat dan negara. Hakikatnya kemerdekaan fizikal tanah air sudah lama selesai diusahakan oleh generasi terdahulu. Tugas kita hari ini adalah memerdekakan minda dan cara kita memimpin daripada acuan kepentingan peribadi, sebaliknya beralih kepada acuan Nabawi yang murni.

Menyambut Maulidur Rasul di ambang Hari Kebangsaan sepatutnya menjadi momentum untuk kita menilai kembali komitmen diri terhadap negara tercinta ini. Memuji keagungan Nabi Muhammad SAW tidak boleh terhad kepada alunan selawat di mikrofon sahaja, tetapi ia mesti diterjemahkan dalam bentuk karakter hidup kita seharian.

Marilah kita merdekakan minda kita dengan meletakkan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan tertinggi. Apabila nilai amanah dan rahmah Baginda mengalir dalam urat nadi para pemimpin dan rakyatnya, barulah kemerdekaan Malaysia akan menjadi sebuah kemerdekaan yang bernyawa, subur dengan keberkatan dan dilindungi daripada sebarang bentuk penjajahan zaman moden.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul dan Selamat Hari Kebangsaan!