Apabila pendidikan tidak lagi menjadi pemacu kesamarataan sosioekonomi
Pendidikan yang dahulu dianggap jambatan mobiliti sosioekonomi kini berdepan cabaran baharu apabila pendapatan segera daripada ekonomi gig dan pengaruh media sosial semakin mempengaruhi pilihan pelajar.

SELAMA beberapa generasi, pendidikan telah digambarkan sebagai pemacu kesamarataan sosioekonomi individu yang unggul.
Jika seseorang dilahirkan dalam keluarga yang kurang berkemampuan, formulanya mudah. Belajar bersungguh-sungguh, capai keputusan cemerlang, peroleh ijazah, bina kerjaya, dan tingkatkan taraf sosioekonomi. Di sini, pendidikan menjadi jambatan yang menghubungkan asal usul seseorang dengan masa depan idamannya.
Namun kini, saya semakin tertanya-tanya sama ada jambatan itu kian rapuh.
Sebagai seorang pensyarah, saya melihat pelajar daripada latar belakang berpendapatan rendah semakin sukar untuk nampak mengapa kejayaan akademik itu berbaloi untuk dikejar. Ada yang lebih tertarik kepada pekerjaan seperti penghantaran makanan, perkhidmatan e-hailing, jualan produk online, dan berbagai lagi bentuk pekerjaan gig yang lain.
Mengapa? Ia kerana perkerjaan-pekerjaan ini menawarkan sesuatu yang tidak dapat diberikan oleh pendidikan, iaitu pendapatan segera!
Bayangkan, bagi pelajar yang berdepan tekanan kewangan, RM100 yang diperoleh hari ini adalah sesuatu yang nyata. Sebaliknya, ijazah yang mungkin menjanjikan pendapatan lebih baik pada masa hadapan adalah sesuatu yang belum pasti.
Apabila hari esok kurang menarik berbanding hari ini. Situasi ini mewujudkan konflik asas antara pendidikan dan ekonomi yang mementingkan hasil segera.
Pendidikan sentiasa menuntut kesanggupan seseorang untuk menangguhkan keinginan sekarang demi manfaat masa hadapan.
Pelajar perlu menghabiskan masa bertahun-tahun mempelajari perkara yang manfaatnya mungkin tidak dapat dilihat serta-merta. Mereka membaca, menulis, mengira, menganalisis, menghadapi kegagalan, dan mencuba semula. Mereka melaburkan masa dan usaha sebelum menikmati pulangan ekonomi daripada pelaburan tersebut.
Namun kini, teknologi telah mengubah hubungan kita dengan masa.
Maklumat kini diperoleh dengan serta-merta. Hiburan tersedia serta-merta. Komunikasi berlaku serta-merta. Malah, pendapatan juga semakin boleh diperoleh serta-merta.
Malaysia sudah pun sebati dengan persekitaran digital ini. DataReportal menganggarkan bahawa 97.7 peratus rakyat Malaysia merupakan pengguna internet pada awal tahun 2025, manakala jumlah pengguna media sosial mencecah 25.1 juta orang.
Persoalannya ialah sejauh mana dunia digital mempengaruhi pelajar kita, berbanding pengaruh guru dan pendidikan dalam bilik darjah pada masa kini.
Satu laporan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) tahun 2026 memberikan perspektif yang cukup ketara. Secara global, remaja berusia 15 tahun menghabiskan masa hampir 35 jam seminggu di media sosial. Ini adalah lebih lama berbanding masa yang diperuntukkan untuk kerja rumah dan sesi pembelajaran di sekolah.
Cuba fikirkan sejenak. Seorang pensyarah mungkin hanya berinteraksi dengan pelajar selama dua atau tiga jam seminggu. Sedangkan media sosial bersama pelajar itu selama 35 jam seminggu!
Terkini, seorang pelajar boleh mendapatkan penjelasan melalui video pendek dan bukannya membaca satu bab buku. Kecerdasan buatan (AI) mampu memberikan jawapan dalam masa beberapa saat. Platform media sosial pula sentiasa memaparkan individu yang kelihatan berjaya membina perniagaan, mengumpul kekayaan, atau mencapai kebebasan kewangan tanpa melalui laluan pendidikan konvensional.
Ini lah situasi yang didepani oleh pelajar masa kini. Teknologi telah mengubah cara mereka berfikir dan tahap kesabaran mereka dalam menunggu.
Tentu terlintas di fikiran mereka; “Mengapa perlu menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mempersiapkan kerjaya melalui pelajaran, sedangkan wang boleh diperoleh hari ini?”.
Persoalan ini akan menjadi sangat signifikan bagi pelajar yang datang daripada keluarga dengan kekangan kewangan.
Di sinilah guru dan pensyarah berdepan dengan satu cabaran yang tidak pernah dialami oleh generasi terdahulu. Kami hanya mempunyai tiga jam seminggu bersama pelajar di dalam kelas. Dalam tempoh itu, kami cuba menjelaskan mengapa ilmu itu penting, mengapa pemikiran kritis itu penting, dan mengapa pelajar harus melabur masa untuk membina kepakaran dan bukannya sekadar mengejar ganjaran segera.
Kemudian, kelas pun tamat dan para pelajar kembali ke dunia digital yang tidak pernah ‘padam’. Segala penjelasan dan nasihat tadi hilang begitu sahaja. Kami gagal meraih tumpuan dan pengaruh daripada pelajar.
Dengan itu, guru kian menjadi kurang relevan. Kami terpaksa bersaing dengan persekitaran digital yang tidak pernah berhenti ‘berbicara’ dengan pelajar.
Analisis OECD yang diterbitkan pada tahun 2025 mendapati bahawa pelajar yang menghabiskan masa selama empat jam atau lebih dalam sehari untuk aktiviti santai digital cenderung menunjukkan tahap penglibatan yang lebih rendah dalam pembelajaran, kurang menganggap apa yang dipelajari di sekolah sebagai sesuatu yang berguna, dan kerap ponteng sekolah.
Ya, teknologi digital mampu mendidik, menghubungkan, dan memperkasakan para pelajar. Masalahnya timbul apabila aktiviti penggunaan kandungan digital itu mula menggantikan tumpuan yang mendalam.
Pensyarah berkata, “Tuntutlah ilmu dengan sabar, nescaya kerjaya kamu akan terbina” tetapi, media sosial berulang kali memaparkan kisah individu yang kelihatan berjaya sekelip mata tanpa pelajaran tinggi.
Apabila pendidikan menjadi satu kemewahan dalam hidup yang menuntut kesabaran. Keadaan ini mewujudkan satu paradoks yang membimbangkan.
Pendidikan sepatutnya mengurangkan jurang sosioekonomi. Namun, pelajar yang mungkin paling memerlukan pendidikan itulah yang paling kurang berupaya untuk menunggu ganjarannya. Bagi ramai pelajar yang kurang berkemampuan, pekerjaan ekonomi gig itu menyediakan pendapatan dan fleksibiliti yang penting kepada mereka. Empat ke lima tahun yang digunakan untuk menghabiskan pengajian di universiti, itu adalah tahun-tahun di mana mereka boleh menjana pendapatan. Mereka mula percaya bahawa belajar itu merupakan penggunaan masa yang tidak efisien.
Masalah timbul apabila pendapatan jangka pendek menjadi pengganti kepada pembangunan modal insan jangka panjang.
Cabaran terbesar yang dihadapi oleh dunia pendidikan hari ini bukanlah sekadar kemerosotan prestasi akademik. Ia adalah krisis kepercayaan terhadap pentingnya pendidikan.
Adakah golongan muda sudah tidak percaya bahawa pendidikan merupakan laluan terbaik mereka ke arah taraf sosioekonomi yang lebih tinggi?
Pihak sekolah dan universiti perlu menunjukkan mengapa ilmu pengetahuan mengajar manusia cara membina keupayaan diri yang terus berkembang, menjadi wadah mobiliti sosial, dan memberi manfaat berganda sepanjang hayat.
Mungkin persoalannya kini ialah sama ada kita telah melakukan yang secukupnya untuk meyakinkan pelajar tentang kepentingan pendidikan. Jika tidak, semakin hari, algoritma digital itulah yang sedang menentukan bagaimana masa depan anak-anak kita seharusnya kelihatan.

