UNITEN sokong agenda Net Zero negara

Teknologi EWAYS dilihat sebagai solusi pintar dan bersepadu dalam menangani cabaran pelupusan sisa elektronik secara bertanggungjawab.

Poster Terkini

SEIRING usaha global menuju kelestarian dan matlamat Net Zero, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) memperkenalkan E-Waste Accountability Solution (EWAYS) iaitu satu inovasi teknologi pintar dalam pengurusan sisa elektronik (e-waste).

Dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik UNITEN, EWAYS dilihat sebagai solusi pintar dan bersepadu dalam menangani cabaran pelupusan sisa elektronik secara bertanggungjawab, sekali gus menyokong inisiatif kerajaan ke arah pelepasan karbon sifar bersih (Net Zero) menjelang tahun 2050.

Ketua penyelidik EWAYS, Nik Amalena Najebah Nik Azman berkata platform ini membantu pengguna individu dan organisasi mengukur, mengurus dan mengurangkan impak kepada alam sekitar hasil daripada pembuangan e-waste yang tidak terkawal.

“E-waste yang tidak diurus dengan betul bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau melalui pelupusan tidak selamat.

“Ia juga boleh menjejaskan kesihatan manusia dan ekosistem sekeliling. EWAYS membantu mengurangkan kesan ini dengan menyediakan rujukan dan panduan tindakan yang terancang,” jelas beliau.

Selain itu, EWAYS turut berperanan sebagai Pusat Sehenti untuk maklumat berkaitan pengurusan e-waste di Malaysia. Ia menyediakan informasi penting seperti lokasi pusat pengumpulan berdaftar, kaedah pelupusan yang selamat serta tip penggunaan barangan elektronik secara bijak dan mesra alam.

Lebih menarik, platform ini dilengkapi dengan e-waste Calculator iaitu ciri inovatif yang membolehkan pengguna menganggarkan kadar pelepasan karbon dioksida (CO₂) yang berpunca daripada pembuangan e-waste secara tidak selamat.

Ini secara tidak langsung meningkatkan kesedaran awam terhadap kesan alam sekitar dan menggalakkan perubahan sikap ke arah kehidupan yang lebih lestari.