KLIA TEKNIKAL juara hatrik tarik tali Sukan Malaysia Airports 2024

SEPANG, 26 Oktober 2024 – KLIA TEKNIKAL menewaskan KLIA AVSEC pada final untuk mencatat kejuaraan hatrik dalam perlawanan tarik tali pada Sukan Malaysia Airports 2024 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan dari 20 hingga 23 Oktober lepas.

Kali pertama KLIA TEKNIKAL menjadi juara adalah pada edisi ke-12 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dekat Kota Bharu, Kelantan iaitu buat pertama kalinya acara tarik tali diperkenalkan pada temasya sukan ini.

Dua tahun kemudian, mereka sekali lagi menjadi juara pada edisi ke-13 di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang sebelum melakar kejayaan ketiga tahun ini.

Pengerusi Malaysia Airports, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata temasya dwitahunan anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Malaysia Airports (KESUMA) kembali dianjurkan pada tahun ini selepas terhenti tahun 2018 disebabkan wabak Covid-19.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada jawatankuasa penganjur di atas komitmen dan kesungguhan mereka dalam menjayakan temasya sukan ini.

“Temasya ini juga merupakan satu landasan untuk menyumbang kepada nilai yang positif termasuk semangat pertandingan yang sihat, muhibah, sikap toleransi, kefahaman dan pembinaan moral serta fizikal yang lebih berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KESUMA, Dayang Julia Kamaruddin berkata, temasya yang bertemakan Semarak Kerjasama Berintegriti ini disertai kakitangan Malaysia Airports dari seluruh pelusuk tanah air.

“Temasya kali ini menyaksikan penglibatan 810 peserta yang mewakili 11 kontinjen bertanding dalam 16 acara sukan.

“Selain memburu kejuaraan, kami harap temasya ini mampu merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.

“Di samping itu, ia juga memberi ruang kepada kita untuk mengukuhkan lagi Esprit de Corps dalam kalangan kontinjen dan kakitangan tanpa mengira jawatan serta kedudukan menerusi acara-acara sukan yang dipertandingkan,” katanya.

Dayang Julia berkata, meskipun tewas pada final acara tarik tali, ia tidak menghalang KLIA AVSEC untuk muncul juara keseluruhan pada edisi ke-14 temasya Sukan Malaysia Airports 2024.