Apabila waktu layar mencuri waktu belajar anak-anak

Menguruskan gangguan dan memastikan kekal fokus dalam persekitaran digital yang mempunyai pelbagai rangsangan yang konstan.

Feature Image (1)

DALAM dunia digital yang hubungannya tiada henti, pengurusan masa merupakan salah satu kemahiran yang paling penting untuk diterapkan dalam kalangan pelajar, terutamanya semenjak mereka kecil lagi. Umum mengetahui bahawa teknologi digital telah mengubah landskap pendidikan, menjadikan maklumat lebih mudah diakses berbanding masa lalu.

Sistem pengurusan pembelajaran, video pendidikan, aplikasi kecerdasan buatan dan platform kolaborasi dalam talian telah membuka banyak peluang pendidikan.

Namun demikian, di sebalik fenomena digital ini, wujudnya cabaran yang sentiasa ada, iaitu menguruskan gangguan dan memastikan kekal fokus dalam persekitaran digital yang mempunyai pelbagai rangsangan yang konstan.

Di Malaysia, ruang digital sebenarnya menyokong realiti ini. Berdasarkan Laporan Digital 2025, terdapat 34.9 juta pengguna internet pada awal tahun 2025, mewakili kadar penetrasi internet sebanyak 97.7 peratus.

Laporan yang sama juga merekodkan identiti pengguna media sosial sebanyak 25.1 juta, menggambarkan bahawa platform digital memainkan watak utama dalam kehidupan rakyat di negara kita dan golongan pelajar juga tidak terkecuali.

Faktor kebolehdapatan kemudahan digital, termasuk peranti dan akses internet, meluaskan lagi peluang untuk menyertai dunia dalam talian. Pada 24 April 2025, Jabatan Perangkaan Malaysia menyiarkan Laporan Penyiasatan Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2024 dan dokumen ini menunjukkan bahawa penggunaan telefon mudah alih mencapai 99.5 peratus, sementara akses kepada internet menjangkau 98 peratus.

Angka ini menggambarkan ketersalinghubungan yang tinggi dan situasi ini boleh menyokong pembelajaran yang baik tetapi perlu diingat, keadaan ini secara tidak langsung mencipta banyak kesempatan gangguan, lebih-lebih lagi kepada anak-anak muda kita.

Kebiasaannya, para pelajar memulakan sesi belajar dengan niat dan tujuan yang jelas, meletakkan matlamat yang harus dicapai tetapi kini, notifikasi daripada aplikasi pemesejan, kemas kini media sosial, video-video pendek dan hiburan dalam talian kerap kali mengganggu tumpuan perhatian atau fikiran mereka.

Gangguan yang pada mulanya sedikit boleh menjadi banyak dan kerap, akibatnya produktiviti terjejas dan banyak masa diperlukan untuk menyiapkan kerja akademik.

Akhir-akhir ini, kesan gangguan digital terhadap tumpuan individu semakin menjadi topik hangat bagi para penyelidik di seluruh dunia. Profesor Gloria Mark dari University of California, Irvine, menyatakan bahawa pengguna biasanya hanya mengekalkan fokus pada satu skrin selama kira-kira 47 saat.

Kadar ini membuktikan bahawa tempoh tumpuan pengguna dalam persekitaran digital adalah singkat, sekaligus mencerminkan cabaran untuk mengekalkan fokus terhadap sesuatu tugas dalam tempoh yang lama.

Dalam buku yang bertajuk “Attention Span: A Groundbreaking Way to Restore Balance, Happiness and Productivity”, beliau menjelaskan bahawa gangguan digital yang kerap boleh memecahkan tumpuan, meningkatkan tekanan dan mengurangkan produktiviti seseorang.

Isu ini juga sebenarnya relevan kepada para pelajar tanpa mengira peringkat. Seperti yang kita sedia maklum, kejayaan akademik seseorang bergantung kepada usaha dan kepintaran, dan pada masa yang sama, kebolehan menguruskan tumpuan secara efektif juga perlu diambil kira.

Satu pendapat daripada sesi audio siar American Psychological Association mendedahkan bahawa apabila seseorang itu membuat banyak kerja dalam satu masa atau menukar kerja secara konstan, ia boleh meningkatkan tekanan dan selalunya, golongan ini akan mengambil masa untuk memulakan kerja baru.

Bagi para pelajar, tindakan ini boleh mengurangkan kecekapan kognitif dan menjejaskan kualiti pembelajaran mereka. Pengubahan fokus yang kerap akan menyebabkan tugasan akademik disiapkan dengan lambat dan kebanyakan maklumat yang disimpan kurang berbanding mereka yang fokus pada satu kerja sahaja.

Dalam arena pendidikan, para penyelidik menyatakan pendapat yang sama berkaitan dengan pengurusan tumpuan. Satu kajian yang dijalankan oleh Vizcaíno dan ahli-ahli kumpulan beliau, menemui bahawa para pelajar universiti yang menyertai bengkel pengurusan masa, pemikiran dan tumpuan menunjukkan peningkatan tumpuan dan kemahiran menguruskan masa menjadi lebih baik.

Mereka menyimpulkan bahawa membantu para pelajar mengawal gangguan boleh meningkatkan pencapaian akademik dan kawalan kendiri secara signifikan.

Walau bagaimanapun, penolakan teknologi bukanlah jalan penyelesaian yang tepat dalam dunia tanpa sempadan ini. Aplikasi digital telah mendominasi pendidikan moden dan para pelajar tidak boleh lari daripada belajar untuk menggunakan teknologi.

Justeru, strategi-strategi seperti pengagihan blok masa, penekanan kepada tugas yang lebih penting, penutupan notifikasi yang tidak perlu dan amalan teknik Pomodoro boleh membantu para pelajar untuk mendapatkan semula kawalan ke atas jadual harian mereka dan memastikan fokus yang baik semasa sesi belajar.

Di samping itu, institusi pendidikan juga bertanggungjawab untuk menyiapkan para pelajar dengan kemahiran pengurusan digital kendiri. Di sekolah mahupun universiti, literasi digital telah dimasukkan ke dalam silibus pembelajaran tetapi, kini, terdapat keperluan untuk mendidik anak-anak berkenaan kesejahteraan digital, kawalan kendiri dan penggunaan teknologi yang bertanggungjawab.

Para pelajar bukan sahaja perlu tahu bagaimana menggunakan teknologi, malah mereka juga perlu tahu bagaimana menghalang teknologi daripada mengawal masa dan tumpuan mereka. Ibu bapa, pendidik dan pembuat dasar perlu berganding bahu untuk memupuk amalan digital yang sihat dalam kalangan anak muda.

Objektifnya bukan untuk mengurangkan penggunaan teknologi, tetapi untuk menggalakkan penglibatan dengan aplikasi digital yang lebih sihat, seimbang dan bermatlamat.

Menurut Dr Peter Drucker, pakar yang mencipta idea asas kepada teori pengurusan moden, masa ialah aset kita yang paling terhad kerana masa tidak boleh diganti atau diperbaharui. Dalam zaman digital yang dipenuhi dengan notifikasi berterusan dan arus maklumat yang tiada hujungnya, pendapat ini sangat relevan dan perlu direnungkan bersama.

Bagi para pelajar kini, pengurusan masa yang efektif bukan lagi salah satu kemahiran akademik, tetapi ia telah menjadi kemahiran hidup yang penting dan indikator utama kepada perkembangan masa depan mereka dalam dunia digital yang saling berhubung.

Negara kita, Malaysia tetap meneruskan matlamat dan perancangan untuk menjadi salah sebuah negara yang mempunyai kuasa digital yang tinggi. Oleh itu, para pelajar perlu meningkatkan kebolehan menguruskan masa, perhatian dan keutamaan dengan bijak, sama ada dalam dunia fizikal mahupun digital.

Sesungguhnya, kejayaan yang sebenar adalah apabila para pengguna, terutamanya anak-anak muda kita, masih kekal fokus di tengah lautan gangguan dunia digital yang tinggi ketersalinghubungannya.