Pokok subur, khasiat pun tinggi?
Tidak semua sisa dapur sesuai dijadikan baja secara terus. Penggunaan nutrien yang tepat, kesihatan tanah serta biofertiliser penting untuk memastikan tanaman tumbuh subur dan berkualiti.

PERNAHKAH anda menyiram pokok dengan air basuhan beras atau menaburkan kulit telur ke dalam pasu kerana dikatakan mampu menyuburkan tanaman? Di media sosial, kulit pisang, hampas kopi dan sisa teh sering diperkenalkan sebagai “baja semula jadi”. Menggunakan semula sisa dapur sememangnya baik, tetapi adakah semua bahan ini boleh terus menjadi makanan kepada tumbuhan?
Seperti manusia, tumbuhan memerlukan nutrien dalam jumlah yang sesuai. Nitrogen membantu pertumbuhan daun, fosforus menyokong perkembangan akar dan bunga, manakala kalium membantu tumbuhan kekal sihat. Namun, lebih banyak baja tidak semestinya menjadikan pokok lebih subur. Pembajaan berlebihan boleh merosakkan akar, mengganggu pertumbuhan dan menyebabkan lebihan nutrien terkumpul di dalam tanah. Lebihan ini juga boleh mengalir ke sungai atau sumber air ketika hujan.
Kulit pisang memang mengandungi kalium, manakala kulit telur kaya dengan kalsium. Namun, nutrien tersebut tidak dapat diserap serta-merta. Sisa dapur perlu diuraikan terlebih dahulu oleh hidupan kecil di dalam tanah sebelum sebahagian nutriennya boleh digunakan oleh tumbuhan. Jika dimasukkan terlalu banyak tanpa pemprosesan yang betul, sisa tersebut boleh berbau, menarik serangga atau mengganggu keadaan tanah. Oleh itu, label “semula jadi” tidak bermaksud sesuatu bahan itu pasti selamat, lengkap atau sesuai untuk semua tanaman.
Dalam bidang natural products atau hasil semula jadi, kualiti tumbuhan bukan hanya dinilai berdasarkan saiz, warna daun atau jumlah hasilnya. Tumbuhan menghasilkan pelbagai bahan kimia semula jadi seperti fenolik, flavonoid, alkaloid dan minyak pati. Bahan-bahan ini memberikan warna, aroma dan rasa tertentu, selain membantu tumbuhan melindungi diri daripada serangga, penyakit serta perubahan persekitaran. Sebahagiannya turut berpotensi digunakan dalam produk farmaseutikal, makanan kesihatan dan kosmetik.
Penghasilan bahan semula jadi ini dipengaruhi oleh nutrien, cahaya, air, suhu dan jenis tanah. Rizom kunyit yang lebih besar, misalnya, tidak semestinya mengandungi curcuminoid yang lebih tinggi. Begitu juga, pokok herba yang rimbun belum tentu menghasilkan minyak pati yang lebih banyak atau berkualiti. Baja boleh membantu pertumbuhan, tetapi kesannya terhadap kandungan bahan aktif berbeza mengikut jenis tumbuhan, keadaan persekitaran dan jumlah baja yang digunakan.
Atas sebab itu, pertanian moden semakin memberi perhatian kepada kesihatan tanah, penggunaan baja secara cekap serta pembangunan biofertiliser dan biostimulan. Biofertiliser menggunakan mikroorganisma bermanfaat untuk membantu tumbuhan mendapatkan nutrien. Biostimulan pula menyokong proses semula jadi tumbuhan seperti pertumbuhan akar dan ketahanan terhadap keadaan yang kurang sesuai. Kedua-duanya bukan sekadar nama baharu untuk baja organik, sebaliknya perlu diuji bagi memastikan produk benar-benar selamat dan berkesan.
Keperluan mencari pilihan lain semakin penting apabila konflik dunia mula menjejaskan bekalan baja. Gangguan perdagangan melalui Selat Hormuz pada 2026 telah menjejaskan bekalan tenaga serta bahan penting seperti urea dan ammonia. Harga urea dunia meningkat dengan mendadak sebelum beransur turun apabila negara pengimport memperoleh bekalan daripada sumber lain. Keadaan ini menunjukkan bahawa kos pertanian boleh berubah dengan cepat apabila laluan perdagangan dunia terganggu.
Malaysia mempunyai keupayaan menghasilkan baja nitrogen, namun sektor pertanian masih terdedah kepada perubahan harga bahan mentah, tenaga, pengangkutan dan input dari luar negara. Pada masa yang sama, negara mempunyai banyak sisa pertanian dan kepelbagaian mikroorganisma yang boleh diterokai untuk membangunkan biofertiliser tempatan.
Kerjasama antara universiti, kerajaan dan industri penting bagi memastikan produk yang dibangunkan selamat, berkesan dan sesuai dengan tanaman serta tanah di Malaysia. Biofertiliser mungkin tidak menggantikan baja biasa sepenuhnya, tetapi boleh membantu meningkatkan kecekapan penggunaan nutrien dan mengurangkan kebergantungan kepada input tertentu dari luar negara.
Akhirnya, kita perlu beralih daripada bertanya, “Baja apa yang paling bagus?” kepada persoalan yang lebih tepat: “Apakah yang sebenarnya diperlukan oleh tumbuhan dan tanah ini?” Pokok yang berkualiti bukan sahaja kelihatan subur, tetapi tumbuh dalam tanah yang sihat dan menghasilkan khazanah semula jadinya secara seimbang.

