Mata Helang: Titah Adendum, Najib dan politik empati palsu
Najib berada di penjara bukan kerana statusnya tetapi kerana sabitan jenayah. Itu hakikat yang tidak boleh dipadam dengan empati palsu atau sorakan politik.
KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi hari ini yang menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan kewujudan Titah Adendum bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sepatutnya menjadi noktah jelas kepada satu episod panjang manipulasi emosi, kekeliruan undang-undang dan permainan persepsi politik.
Namun seperti lazimnya dalam politik Malaysia, keputusan mahkamah tidak pernah sekadar dibaca sebagai keputusan undang-undang. Ia segera ditarik menjadi senjata naratif, bahan propaganda dan alat mengukur kesetiaan serta kemarahan.
Secara faktanya, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan, disebut atau diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Januari tahun lalu. Hakim juga menegaskan bahawa apa yang dinamakan sebagai Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan. Dalam bahasa mudah, mahkamah berkata ia tidak wujud dari sudut perundangan. Titik… tetapi dalam politik, titik jarang menjadi noktah. Ia sering dijadikan koma untuk sambungan cerita lain.
Bagi sebahagian penyokong Najib, keputusan ini adalah bukti ‘kezaliman sistem’, bukti ‘penganiayaan politik’ dan bukti bahawa undang-undang kononnya tidak berlaku adil. Namun bagi kelompok yang melihat kes ini sebagai simbol kebertanggungjawaban, keputusan tersebut menegaskan satu perkara penting iaitu hukuman terhadap jenayah rasuah tidak boleh dirunding melalui tekanan politik, simpati awam atau mitos titah yang tidak pernah disahkan.
Namun kontroversi sebenar tidak berhenti pada keputusan mahkamah. Ia meletus apabila Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin memuat naik hantaran berbunyi Another reason to celebrate this year end bersama pautan berita bahawa Najib kekal di penjara. Hantaran ringkas itu menjadi pencetus kemarahan luar biasa pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang melihatnya sebagai tindakan tidak berempati, biadab dan menghina penderitaan seseorang.
Reaksi balas daripada pemimpin BN dan UMNO amat keras. Ada yang menyifatkan Yeo Bee Yin tidak matang, tidak berperikemanusiaan, malah ada yang menggesa UMNO menarik diri daripada kerajaan perpaduan kerana ‘dihina rakan sekutu’. Di sinilah kita perlu berhenti sejenak dan bertanya adakah isu sebenar di sini ialah empati atau maruah politik yang tercalar?
Mata Helang berpandangan, kenyataan Yeo Bee Yin sememangnya tidak bijak dari sudut moral dan komunikasi politik. Keadilan jenayah bukan pesta. Hukuman penjara, walaupun terhadap tokoh besar, bukan bahan untuk diraikan secara terbuka. Dalam sebuah negara yang mendakwa mahu membina nilai MADANI, empati sosial sepatutnya menjadi sebahagian daripada akhlak politik. Dalam hal ini, kritikan terhadap Yeo Bee Yin adalah wajar.
Namun, apa yang lebih bermasalah ialah reaksi balas UMNO dan BN yang kelihatan jauh lebih emosional daripada rasional. Mereka tidak sekadar menegur kenyataan tersebut tetapi segera mengheret isu ini ke tahap ancaman politik iaitu tarik sokongan, keluar kerajaan, menjadi pembangkang bermaruah. Persoalannya, sejak bila sokongan politik UMNO dalam kerajaan perpaduan bergantung kepada perasaan terhadap satu hantaran Facebook?
Di sinilah kemunafikan politik mula terserlah. Selama bertahun-tahun, UMNO dan BN mempertahankan Najib bukan atas dasar fakta undang-undang tetapi atas dasar kesetiaan politik dan sentimen simpati. Najib tidak lagi dilihat sebagai individu yang disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana awam tetapi sebagai simbol ‘kezaliman terhadap Melayu’, ‘mangsa dendam politik’ dan ‘bekas pemimpin yang banyak berjasa’. Dalam naratif ini, undang-undang menjadi musuh, bukan alat keadilan.
Lebih ironi, mereka yang hari ini menuntut empati, suatu ketika dahulu tidak pernah menunjukkan empati terhadap rakyat yang menanggung beban akibat skandal kewangan berskala besar. RM42 juta bukan angka kecil. Ia adalah wang awam. Wang yang sepatutnya digunakan untuk sekolah, hospital, subsidi rakyat. Empati terhadap Najib tidak boleh menghapuskan hak rakyat untuk menuntut keadilan.

Pada masa sama, DAP juga tidak boleh berlagak suci. Kenyataan Yeo Bee Yin mencerminkan sikap segelintir elit politik yang melihat hukuman Najib sebagai kemenangan politik, bukan proses keadilan. Inilah kesilapan besar. Apabila keadilan diraikan seperti trofi, ia menghakis kepercayaan bahawa undang-undang benar-benar bebas daripada politik. Ia memberi peluru kepada pihak lawan untuk menuduh sistem kehakiman sebagai alat balas dendam.
Hakikatnya, kes Najib bukan kemenangan DAP, bukan kekalahan UMNO dan bukan hadiah Tahun Baharu kepada sesiapa. Ia adalah ujian kepada negara ini, sama ada kita benar-benar bersedia menerima bahawa tiada siapa kebal daripada undang-undang, termasuk bekas perdana menteri.
Mata Helang juga melihat isu Titah Adendum ini sebagai simptom budaya politik Malaysia yang gemar mencari jalan belakang apabila berhadapan dengan hukuman. Daripada menerima keputusan mahkamah dengan berjiwa besar, pelbagai naratif dicipta seperti titah tersembunyi, konspirasi istana, penganiayaan politik. Semua ini bertujuan untuk mengubah hukuman sah menjadi polemik emosi. Ini berbahaya kerana ia menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Lebih berbahaya, polemik ini mendedahkan kerapuhan kerajaan perpaduan. Apabila satu hantaran media sosial mampu mencetuskan ugutan keluar kerajaan, ia menunjukkan bahawa asas perpaduan itu sangat rapuh dan bersyarat. Kerajaan seumpama ini tidak dibina atas nilai bersama tetapi atas kepentingan sementara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam posisi paling sukar. Di satu pihak, beliau perlu mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang. Di pihak lain, beliau perlu menenangkan rakan sekutu yang masih terikat dengan nostalgia dan kesetiaan lama. Namun kepimpinan sebenar bukan tentang menyenangkan semua pihak tetapi tentang membuat keputusan yang betul walaupun tidak popular.
Kesimpulannya, keputusan Mahkamah Tinggi hari ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak. Kepada UMNO dan BN, hentikan politik simpati terpilih. Kepada DAP, hentikan politik sorakan atas penderitaan dan kepada rakyat, jangan terperangkap dalam drama emosi yang menenggelamkan fakta. Najib berada di penjara bukan kerana statusnya tetapi kerana sabitan jenayah. Itu hakikat yang tidak boleh dipadam dengan empati palsu atau sorakan politik.
Keadilan bukan untuk diraikan, bukan untuk ditangisi secara selektif. Keadilan perlu dihormati dan selagi politik Malaysia gagal membezakan antara empati manusiawi dan manipulasi politik, selagi itulah kita akan terus berputar dalam lingkaran hipokrasi yang sama.
