Kuasai kemahiran baharu bidang profesional demi kerjaya cemerlang
Tenaga kerja baharu perlu menelusuri beberapa kemahiran yang perlu bagi pekerja profesional untuk membangunkan bakat mereka.
DUNIA profesional kini sentiasa berkembang dan hari ini evolusi itu sebahagian besarnya didorong oleh kemajuan teknologi.
Walaupun begitu, kemahiran yang muncul pada masa kini seharusnya menekankan keupayaan semula jadi manusia berbanding memanipulas alat teknologi.
Kemahiran baharu yang dikenal pasti penting dalam laporan Masa Depan Pekerjaan pada Forum Ekonomi Dunia menunjukkan bahawa ramai profesional harus berusaha untuk membangunkan kemahiran insaniah atau kemanusiaan mereka bagi meningkatkan kepakaran sedia ada.
Tenaga kerja baharu perlu menelusuri beberapa kemahiran yang perlu bagi pekerja profesional untuk membangunkan bakat mereka.
Pemikiran analitikal dan inovasi
Mengekalkan kemahiran analitikal yang tinggi adalah asas untuk membina dan menilai hujah. Tambahan pula, walaupun automasi dan kecerdasan buatan mengambil alih tugas tertentu, keupayaan unik manusia untuk berfikir secara kritis tidak akan pernah ketinggalan zaman.
Pekerja profesional perlu bina keupayaan untuk menggunakan logik dan akal untuk mencipta penyelesaian inventif dengan pembangunan profesional. Bermula dengan pengetahuan asas falsafah, perdebatan dan pemikiran kritis, sehingga kepada program lanjutan mengenai strategi.
Pembelajaran aktif dan strategi pembelajaran
Sama ada mereka yang sedang dalam perjalanan untuk dinaikkan pangkat atau sedang mempertimbangkan perubahan kerjaya, keupayaan untuk mencari dan mencerna maklumat baharu adalah berharga.
Majikan sentiasa mencari individu yang akan terus mengutamakan pertumbuhan profesional. Terdapat banyak cara untuk berbuat demikian. Pekerja profesional perlu cabar diri dengan mengambil projek baharu di tempat kerja, mendaftar untuk kelas atau menghadiri seminar dan bengkel ilmu baharu.
Kreativiti, keaslian dan inisiatif
Pemikiran kreatif boleh membuka jalan kepada peluang yang lumayan seperti mencari pasaran yang belum diterokai, mewujudkan kecekapan atau melancarkan inisiatif baharu. Pekerja yang profesional perlu mengasah imaginasi dengan pengetahuan tentang inovasi atau keusahawanan dan ubah kreativiti mereka menjadi aset organisasi yang hebat dengan mempelajari cara menggunakannya.
Orang yang mempunyai kemahiran berfikir kreatif boleh meningkatkan kemahiran tersebut dengan mempelajari cara menentukan peluang yang berbaloi dengan risiko dan bertindak ke atasnya. Keupayaan mereka untuk menterjemahkan imaginasi ke dalam tindakan mungkin menjadi punca kepada pencapaian hebat mereka yang seterusnya.
Reka bentuk dan pengaturcaraan teknologi
Masa depan adalah teknologi, jadi mempelajari cara mereka bentuk dan memprogram perisian adalah kemahiran yang akan kekal mendapat permintaan tinggi. Bagi pemimpin perniagaan dan pengurus, mengetahui cara bertutur dalam bahasa tersebut adalah penting untuk berkomunikasi dengan pasukan.
Sama ada ingin menjadi seorang pengaturcara atau jurutera atau hanya ingin meningkatkan literasi digital, terdapat banyak pilihan di hujung jari. Daripada program kendiri hingga kem latihan dan kursus dalam talian dan di kampus, terdapat banyak peluang untuk belajar tentang teknologi dan pengaturcaraan.
Penyelesaian masalah yang kompleks
Pemimpin dalam setiap industri berhadapan dengan masalah yang mudah dan kompleks. Mereka yang berjaya mahir dalam menangani isu-isu yang pelbagai rupa dan memecahkannya kepada bahagian-bahagian yang mudah difahami.
Berfikir secara mendalam tentang masalah yang kompleks melibatkan tiga amalan: mencabar keyakinan, menangani masalah terbesar pada perinkat awal, dan memberi perhatian kepada naluri dan pengalaman.
Kepimpinan dan pengaruh sosial
Menjadi seorang pemimpin yang bekerja keras dan memberi inspirasi memerlukan latihan bertahun-tahun yang tidak mudah diperoleh. Walau bagaimanapun, terdapat cara untuk meningkatkan kemahiran yang diperlukan untuk membawa kehebatan pengurusan diri ke tahap yang lebih tinggi. Pengaruh sosial, sebagai contoh, adalah bagaimana CEO baharu membimbing perniagaan mereka.
Daripada terlalu bergantung pada prosedur tradisional dan pertumbuhan ekonomi, pemimpin baharu perlu lebih bergantung pada modal insan. Dengan mengetahui cara menggalakkan cita-cita pada tahap peribadi, pekerja profesional akan dapat memotivasikan diri dari bawah ke atas.
Kecerdasan emosi
Kecerdasan emosi semakin mendapat perhatian pada organisasi berskala global. Ia mengenai mengetahui cara melihat ke dalam diri untuk mengukur persepsi diri sendiri. Bagi seorang pengurus, nilai kecerdasan emosi adalah keupayaan untuk berhubung dengan orang lain dan menjangka keperluan mereka.
Sekali lagi, apabila kecerdasan buatan dan teknologi menjadi lebih berleluasa, sifat-sifat unik manusia seperti kecerdasan emosi akan menjadi semakin penting bagi majikan.
Penaakulan dan penyelesaian masalah
Pekerja profesional akan sentiasa menghadapi halangan di tempat kerja tetapi yang penting adalah bagaimana jika anda dapat mengatasinya dengan lebih tepat? Penyelesaian masalah adalah kemahiran yang boleh diperhalusi dan diperkukuhkan. Dengan berbuat demikian, anda mewujudkan kecekapan yang lebih baik untuk diri sendiri dan organisasi anda.
Terdapat banyak peluang untuk pembangunan profesional sebenarnya. Sebaik sahaja kita menentukan bidang yang perlu diperkukuhkan, mulakan langkah ini. Pasti para pekerja profesional akan berterima kasih kepada diri sendiri nanti.
