UM dan JAS Langkawi bentuk kerjasama pelihara alam sekitar
Program itu melibatkan 90 peserta termasuk 66 pelajar tahun kedua Pengajian Alam Sekitar UM, dua pensyarah pengiring serta pegawai kanan daripada beberapa agensi kerajaan berkaitan.
Oleh: DR. AMIRAH SARIYATI MOHD YAHYA dan DR. NUR SYABEERA BEGUM NASIR AHMAD
KUALA LUMPUR, 12 Mei 2026 – Universiti Malaya (UM) menerusi Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah Cawangan Langkawi menerusi penganjuran program “Executive Talk: Langkawi and Its Coastal Environment” pada 26 April lepas.
Program yang diadakan di Dewan Auditorium Angkatan Pertahanan Malaysia, Jalan Ayer Hangat, Langkawi itu melibatkan kira-kira 90 peserta termasuk 66 pelajar tahun kedua Pengajian Alam Sekitar UM, dua pensyarah pengiring serta pegawai kanan daripada beberapa agensi kerajaan berkaitan.
Antara agensi terlibat ialah JAS Negeri Kedah, JAS Kedah Cawangan Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Program berkenaan dianjurkan sempena sambutan Hari Bumi yang disambut setiap 22 April dan dirasmikan Pengarah JAS Negeri Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab.

Menurut penganjur, program setengah hari itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peranan, tanggungjawab serta cabaran yang dihadapi agensi kerajaan dalam mengurus tadbir pembangunan Langkawi yang pesat berkembang sebagai destinasi pelancongan utama negara, tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.
Antara topik yang dibincangkan termasuk pemantauan kualiti alam sekitar di Langkawi, pengurusan sisa elektronik (e-waste), pembangunan bandar pelancongan serta pengurusan pelancongan mampan di pulau peranginan itu.
Program itu turut menjadi platform kepada pelajar untuk mendapatkan penjelasan berkaitan pengurusan alam sekitar, aplikasi teknologi seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan penderiaan jauh (remote sensing) dalam pentadbiran sesebuah daerah.
Langkawi yang terkenal dengan landskap batu kapur, hutan paya bakau dan formasi batuan purba Formasi Machinchang merupakan UNESCO Global Geopark pertama di Asia Tenggara serta menjadi contoh terbaik keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.

Penganjur berkata program seumpama itu bukan sahaja merapatkan hubungan antara universiti dan agensi kerajaan, malah membantu pelajar membuat persediaan menghadapi latihan industri serta alam pekerjaan pada masa depan.
Menurut mereka, sokongan daripada pihak fakulti, jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dijangka dapat memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan agensi pelaksana dalam usaha memelihara alam sekitar negara.
* Penulis daripada Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
