Ketika tradisi Aidiladha semakin dilupakan

Bagi sebahagian besar generasi muda hari ini, Aidiladha datang dan pergi tanpa kesan.

Feature Image (3)

MASYARAKAT Islam kaya dengan tradisi yang diwarisi daripada generasi silam. Antaranya termasuklah tradisi dalam sambutan Aidiladha. Setiap tahun, Aidiladha disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia diisi dengan pelbagai ibadat sunat seperti takbir, puasa sunat Hari Tarwiyah dan Hari Arafah dan ibadah korban.

Bagi yang mengerjakan ibadah haji, mereka melaksanakan tuntutan fardu, wajib dan sunat haji di Mekah. Di samping itu, dalam menghayati Aidiladha, masyarakat Islam turut mewarnainya dengan pelbagai tradisi yang baik. Antaranya ialah tradisi balik kampung, memasak juadah raya, baju raya, duit raya, kuih raya, ziarah menziarahi, ziarah kubur, rumah terbuka dan kenduri korban.

Kini, kemeriahan sambutan ini terasa semakin pudar. Generasi muda semakin meninggalkan warisan tradisi sambutan Aidiladha. Berbanding Aidilfitri, sambutannya lebih meriah dan kadangkala melangkaui ke bulan Zulkaedah. Kesuraman ini dapat dilihat dalam pelaksanaan solat Aidiladha, yang mana kanak-kanak dan golongan remaja tidak ramai menyertainya. Begitu juga tradisi beraya atau ziarah menziarahi dari rumah ke rumah. Tradisi baik ini semakin ditinggalkan dan dalam masa yang sama, ramai dalam kalangan masyarakat Islam yang menutup pintu dan tidak membuat persediaan raya.

Aidiladha pula, bagi sebahagian besar generasi muda hari ini, datang dan pergi nyaris tanpa kesan. Ia sekadar cuti umum sahaja. Tambahan pula, solat Aidiladha hanya dihukumkan sebagai sunat. Kesunyian inilah yang sepatutnya merisaukan walau hari raya Aidiladha akan tetap hadir dan berlalu pergi tetapi penghayatan terhadapnya semakin pudar serta menjadi petanda terhakisnya rantaian pewarisan makna pengorbanan yang diperturunkan kepada generasi demi generasi melalui tradisi yang baik.

Bukan sekadar saf solat sunat Aidiladha semakin kosong berbanding populasi setempat yang ramai tetapi tradisi ziarah-menziarahi yang dahulu menjadi nadi hari raya kini hampir lenyap dan ramai yang memilih berada di rumah, menonton televisyen dan menggunakan gajet. Rumah terbuka juga jarang dianjurkan dan tiada juadah khas atau makanan perayaan yang disediakan. Yang paling ketara, tiada persiapan untuk menyambut Aidiladha dan tiada penantian sebagaimana menjelang Aidilfitri. Semuanya berlalu seperti biasa tanpa ada sambutan perayaan. Terdapat segelintir yang memilih untuk meneruskan rutin seperti biasa tanpa ada rasa istimewanya sambutan Aidiladha.

Selain itu, sambutan Aidiladha juga mengalami penyempitan makna akibat salah faham. Jika dahulu ia sinonim dengan erti pengorbanan tetapi ia melalui proses penyempitan makna kepada dua tanggapan utama. Pertama, Aidiladha difahami sebagai raya bagi orang yang telah mengerjakan haji, jadi orang yang tidak pernah mengerjakan haji akan merasakan hari raya ini tidak berkait dengan dirinya dan tiada masalah jika tidak meraikannya. Kedua, Aidiladha difahami sebagai hari raya orang yang melaksanakan ibadah korban. Jadi orang yang menyambutnya adalah orang yang terlibat dengan ibadah korban, lalu mereka merasakan bahawa sambutan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan diri mereka.

Mereka tidak meraikannya kerana mereka bukan kalangan orang yang telah mengerjakan haji dan bukan orang yang berkorban. Dengan itu, ramai yang memilih untuk meneruskan rutin seperti biasa atau pergi bercuti ke luar negara atau dalam negara berbanding pulang ke kampung halaman, melaksanakan ibadah korban bersama dan menziarahi sanak saudara. Proses meninggalkan tradisi ini termasuk dalam pengertian detradisionalisasi, iaitu proses penghakisan, pengurangan, penolakan dan pengabaian suatu tradisi yang pernah diamalkan dalam masyarakat sehingga tradisi tersebut kehilangan makna, fungsi dan pengaruh dalam kehidupan dan akhirnya ia ditinggalkan atau diisi dengan tradisi yang baharu.

Jika dahulu, tradisi menjadi amalan bersama dalam masyarakat dan diwariskan daripada generasi kepada generasi, namun kini ia semakin menjadi amalan dan pilihan yang bersifat individu. Sifat individualistik ini lama-kelamaan mampu menghakis tradisi masyarakat. Akibat proses detradisionalisasi, sambutan Aidiladha semakin jauh daripada golongan remaja dan kanak-kanak dan segelintir masyarakat Islam. Apa yang membimbangkan, apabila berlaku kekosongan tersebut, terdapat kelompok yang beralih meraikan perayaan kaum dan agama lain bagi mengisi kelompangan jiwa. Umpamanya mereka akan meraikan perayaan seperti Songkran dan Halloween, yang jelas bertentangan dengan apa yang disyariatkan.

Walaupun uruf masyarakat bersifat dinamik dan sentiasa berubah, persoalannya ialah sama ada perubahan tersebut menuju ke arah yang lebih positif atau sebaliknya, serta sama ada ia membentuk semangat kebersamaan ataupun individualistik. Jadi, proses retradisi perlu dilakukan untuk pemerkasaan tradisi yang baik dalam masyarakat Islam. Ia termasuk dalam uruf yang sahih dan boleh diamalkan.

Di sinilah proses internalisasi dan sosialisasi tradisi Aidiladha dihidupkan kembali kepada generasi muda. Penanaman nilai tentang kepentingan sambutan Aidiladha dan sosialisasinya digerakkan melalui persiapan menjelang raya, puasa sunat Hari Tarwiyah dan Hari Arafah, laungan takbir mursal di surau, balik kampung, gotong-royong memasak, membawa anak solat Aidiladha, dan menyaksikan sembelihan korban.

Semua ini bukan amalan yang biasa tetapi wasilah yang menjadikan makna Aidiladha dapat dihayati dengan baik. Apabila amalan-amalan sokongan ini luput daripada masyarakat, teras ibadah akan ditinggalkan sedikit demi sedikit dari semasa ke semasa. Retradisi Aidiladha tidak bermaksud menghidupkan semua tradisi lama tanpa sebarang tapisan.

Sebaliknya, ia bermaksud mengembalikan tradisi yang selari dengan syariat dan uruf sahih, terutamanya amalan yang mampu memperkukuhkan makna Aidiladha dalam kehidupan masyarakat. Tradisi seperti membawa anak-anak ke masjid, menyaksikan ibadah korban, bergotong-royong menyediakan juadah dan menziarahi ahli keluarga merupakan medium pendidikan yang berkesan untuk memindahkan nilai pengorbanan kepada generasi baharu.

Dalam konteks ini, Aidiladha merupakan anugerah yang dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW di samping Aidilfitri. Ia merupakan sambutan yang disyariatkan dan sewajarnya diraikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Justeru, pengembalian penghayatan Aidiladha perlu dilakukan melalui penyertaan serta penglibatan anak muda dan kanak-kanak dalam persiapan, menggalakkan puasa sunat Hari Tarwiyah dan Hari Arafah, menghidupkan takbir dan mengembalikan budaya ziarah. Dalam usaha tersebut, institusi keluarga berperanan sebagai tempat penyemaian makna dan nilai, manakala masjid serta komuniti menjadi ruang untuk nilai tersebut dikongsi dan disosialisasikan.

Jika tidak, Aidiladha akan tetap hadir saban tahun dalam lembaran kalendar, namun makna dan penghayatannya mungkin semakin pudar dalam hati generasi masa kini. Sesungguhnya amalan tradisi yang tidak dipelihara dan diwariskan dengan baik akan semakin sukar ditemukan dalam kehidupan generasi yang mendatang, bahkan berisiko terhakis sedikit demi sedikit daripada amalan masyarakat.