Bengkel Dry Needling perkukuh kompetensi klinikal pengamal fisioterapi
Dry needling merupakan salah satu teknik intervensi fisioterapi yang semakin mendapat perhatian dalam rawatan gangguan muskuloskeletal.
Christopher Lo Chi Ngai menunjukkan demonstrasi teknik dry needling sambil menerangkan aspek penilaian klinikal dan pertimbangan keselamatan kepada para peserta.
Oleh: FARAH IZZAH ABD AZIZ
KUALA LUMPUR, 8 Julai 2026 – Seiring dengan perkembangan amalan fisioterapi berasaskan bukti, penguasaan teknik intervensi klinikal yang selamat dan berkesan menjadi antara keperluan utama dalam kalangan pengamal fisioterapi.
Menyedari kepentingan tersebut, Pusat Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan Bengkel Basic Dry Needling Training for Lower Quadrant pada 14, 21, 22 dan 23 Jun 2026.

Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains Kesihatan, Romizan Jathin. Program ini turut mendapat bimbingan Dr. Saiful Adli Bukry selaku penasihat program serta dipimpin oleh Pengarah Program, Fadlin Sakina Abd Kadir.
Program yang dilaksanakan secara pembelajaran hibrid ini merangkumi sesi teori dalam talian sebelum diteruskan dengan latihan praktikal intensif di makmal Pusat Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam. Seramai 29 peserta yang terdiri daripada pengamal fisioterapi dan profesional kesihatan dari pelbagai institusi telah menyertai bengkel tersebut.
Bengkel ini dikendalikan oleh Christopher Lo Chi Ngai, seorang fisioterapis berdaftar di Singapura dan Hong Kong yang mempunyai lebih 15 tahun pengalaman dalam bidang fisioterapi muskuloskeletal dan dry needling. Melalui sesi ceramah, demonstrasi dan latihan praktikal, peserta didedahkan kepada konsep, penilaian klinikal serta aplikasi teknik dry needling dalam pengurusan masalah muskuloskeletal anggota bawah.

Dry needling merupakan salah satu teknik intervensi fisioterapi yang semakin mendapat perhatian dalam rawatan gangguan muskuloskeletal kerana potensinya membantu mengurangkan kesakitan, meningkatkan fungsi pergerakan serta menyokong proses rehabilitasi pesakit apabila diaplikasikan secara berasaskan bukti dan mengikut garis panduan klinikal.
Selain meningkatkan kemahiran teknikal, program ini turut menekankan aspek keselamatan, penaakulan klinikal dan amalan fisioterapi berasaskan bukti. Bagi memastikan penguasaan kompetensi yang diperlukan, peserta dikehendaki menjalani penilaian teori dan praktikal sebelum dianugerahkan sijil penyempurnaan program.

Penganjuran bengkel ini bukan sahaja memperkukuh kompetensi klinikal peserta, malah mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkasakan pendidikan profesional, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat serta menyokong pembangunan amalan fisioterapi berasaskan bukti demi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara.
