Klanggroup Holdings Perkukuh Pertumbuhan Dengan Program Sukuk RM4.0 Bilion
SHAH ALAM, 6 Julai 2026 – Klanggroup Holdings Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai WorldKlang Group Holdings Sdn Bhd) (“Klanggroup” atau “Kumpulan”), sebuah pemaju hartanah Malaysia yang mengkhusus dalam pembangunan tanah perindustrian dan kilang, melalui syarikat pembiayaan milik penuhnya, Klanggroup Capital Berhad, telah mengemukakan Program Nota Jangka Sederhana Islam (“IMTN”) berjumlah RM3.0 bilion dan Program Kertas Komersial Islam (“ICP”) berjumlah RM1.0 bilion yang distrukturkan berasaskan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar (secara kolektif dikenali sebagai “Program Sukuk Wakalah”) kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Langkah ini menandakan penyertaan sulung Kumpulan dalam pasaran modal Islam.
Program Sukuk Wakalah tersebut telah diberikan penarafan awal AA3(s)/Stabil dan P1(s) masing-masing oleh RAM Rating Services Berhad. Penarafan yang kukuh ini mencerminkan profil kredit Klanggroup sebagai penjamin korporat, dengan jaminan tersebut merupakan obligasi langsung, tanpa subordinasi dan tanpa syarat yang mempunyai kedudukan setara (pari passu) dengan obligasi Klanggroup yang lain yang juga tidak bersubordinasi, tanpa syarat dan tidak bercagar.
Hasil daripada Program Sukuk Wakalah ini akan digunakan bagi membiayai perbelanjaan modal, modal kerja, tujuan korporat am, pembangunan projek, pelaburan serta pemerolehan aset yang sedang dan/atau akan dilaksanakan oleh Kumpulan pada masa hadapan. Pengeluaran dana di bawah kemudahan ini dijangka dibuat secara berperingkat sepanjang tempoh program hutang tersebut dengan mengambil kira, antara lain, peluang pelaburan dan pemerolehan bank tanah, keperluan modal kerja serta alternatif pembiayaan lain yang tersedia kepada Kumpulan.
Encik Danny Ong, Pengarah Eksekutif Klanggroup Holdings, berkata “Selama lebih sedekad, kami telah membangunkan Klanggroup berlandaskan satu keyakinan yang jelas, iaitu pembangunan perindustrian yang terletak di lokasi strategik dan dibina dengan berkualiti mampu mewujudkan nilai yang berkekalan kepada perniagaan serta komuniti di sekitarnya. Program Sukuk Wakalah sulung ini merupakan lembaran baharu dalam perjalanan kami – langkah pertama kami memasuki pasaran modal Islam serta satu manifestasi keyakinan terhadap asas kukuh yang telah kami bina selama ini.”
Beliau menambah, “Program Sukuk Wakalah ini menawarkan alternatif pembiayaan yang kukuh dan fleksibel bagi menyokong pelan pertumbuhan jangka panjang Kumpulan.”
Hong Leong Investment Bank Berhad telah dilantik sebagai Penasihat Utama, Pengatur Utama dan Pengurus Utama bagi Program Sukuk Wakalah ini. Program ini turut mendapat khidmat nasihat daripada Prof. Dato’ Dr. Aznan bin Hasan sebagai Penasihat Syariah dan Lee Choon Wan & Co. sebagai Peguamcara.
Klanggroup telah membina rekod operasi selama lebih sedekad dalam membangunkan tanah perindustrian dan kilang untuk perusahaan sederhana dan besar menerusi jenama Excellent Technology Park dan K International Industrial Park. Kedudukan awal Kumpulan di koridor-koridor perindustrian utama, khususnya di Klang-Meru, serta lokasinya yang berhampiran Pelabuhan Klang, telah menyokong kadar pengambilan projek yang memberangsangkan merentasi pelbagai kitaran pasaran hartanah, didorong oleh pembeli yang kebanyakannya terdiri daripada pemilik-pengendali perniagaan.
Sehingga akhir Disember 2025, Kumpulan telah menyiapkan atau sedang melaksanakan projek yang meliputi lebih daripada 800 ekar, dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) melebihi RM5 bilion, di samping baki bank tanah seluas kira-kira 550 ekar yang dianggarkan mempunyai GDV sebanyak RM3.4 bilion.
Bagi syarikat, tahun 2025 merupakan tempoh persediaan strategik dan pelaksanaan yang intensif, membolehkan Kumpulan mencatat hasil sebanyak kira-kira RM900 juta, disokong oleh keupayaan pembinaan dalaman serta pelaksanaan projek yang berdisiplin.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://klanggroup.com.
