Pelaburan kesihatan remaja adalah langkah awal bina pemimpin masa depan

Program WIRA memberi tumpuan kepada peningkatan literasi kesihatan remaja, pembentukan amalan gaya hidup sihat, pengukuhan daya tahan mental.

Feature Image (4)

USAHA membina generasi muda yang sihat, berdaya tahan dan bersedia memimpin masa depan perlu dimulakan melalui pendidikan kesihatan yang dekat dengan komuniti. Pendekatan ini menjadi asas kepada pelaksanaan program WIRA – Warrior Initiative for Resilience and Health Advancement bertemakan “Strong Body, Resilient Mind, Future Leaders” yang dijalankan bersama Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 16 Mei 2026.

Inisiatif ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada latihan lapangan 23 pelajar Sarjana Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, dengan penglibatan kira-kira 400 pelajar MTD, kakitangan Universiti Malaya serta rakan pelaksana daripada pelbagai agensi dan institusi.

Program WIRA memberi tumpuan kepada peningkatan literasi kesihatan remaja, pembentukan amalan gaya hidup sihat, pengukuhan daya tahan mental serta pemerkasaan pelajar untuk membuat keputusan kesihatan yang lebih baik. Pada masa yang sama, program ini menjadi ruang pembelajaran lapangan kepada pelajar Sarjana Kesihatan Awam untuk menterjemah ilmu di bilik kuliah kepada amalan sebenar bersama komuniti.

Remaja merupakan kelompok penting dalam pembangunan negara kerana fasa ini adalah tempoh pembentukan identiti, nilai dan tabiat hidup. Amalan seperti pemakanan seimbang, aktiviti fizikal, tidur mencukupi, pengurusan stres, kesejahteraan mental, penjagaan kebersihan diri serta menghindari tingkah laku berisiko boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan dewasa.

Selaras dengan peribahasa Melayu, “melentur buluh biarlah daripada rebungnya,” usaha pencegahan dalam kesihatan awam perlu bermula seawal mungkin. Pendidikan kesihatan pada peringkat remaja bukan sahaja meningkatkan pengetahuan, malah membina asas tingkah laku sihat sebelum masalah kesihatan menjadi lebih serius pada masa hadapan.

Oleh itu, mesej kesihatan kepada remaja perlu disampaikan secara praktikal, interaktif dan sesuai dengan realiti kehidupan mereka. Maklumat sahaja tidak mencukupi; remaja perlu dibantu untuk memahami risiko, membina keyakinan dan mengamalkan pilihan hidup yang lebih sihat.

Melalui program WIRA, pelajar Sarjana Kesihatan Awam terlibat secara langsung dalam perancangan, pelaksanaan dan penilaian aktiviti bersama komuniti MTD. Mereka dilatih mengenal pasti isu kesihatan yang relevan, menyediakan bahan pendidikan, merancang kaedah penyampaian, mengurus aktiviti, berkomunikasi dengan kumpulan sasaran dan bekerjasama dengan pelbagai pihak.

Pengalaman lapangan ini penting dalam membina kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan pelaksanaan program. Ia juga membantu melahirkan bakal profesional kesihatan awam yang bukan sahaja kukuh dari segi teori, tetapi mampu memahami keperluan sebenar masyarakat.

Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk pendidikan pencegahan vape, kesedaran kesihatan mental, ketagihan digital, pemakanan sihat, saringan kesihatan, pendidikan kanser, pencegahan penyakit berjangkit, demonstrasi Basic Life Support (BLS) dan penjagaan kecemasan. Program ini turut menyediakan bimbingan pendidikan dan kerjaya kepada pelajar yang akan melanjutkan pengajian selepas tingkatan lima.

Pendekatan interaktif seperti reruai pendidikan kesihatan, kuiz, sesi soal jawab, perbincangan berkumpulan dan role play digunakan bagi menggalakkan penyertaan aktif pelajar MTD. Melalui role play, remaja dapat memahami situasi kesihatan sebenar melalui lakonan senario harian, termasuk tekanan rakan sebaya, pengurusan stres, penggunaan media digital secara sihat, pemilihan makanan yang lebih baik dan keberanian mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah kesihatan.

Kaedah ini menjadikan pendidikan kesihatan lebih dekat dengan pengalaman remaja. Ia membantu peserta bukan sahaja menerima maklumat, tetapi juga berfikir, bertanya, berinteraksi dan mengaitkan mesej kesihatan dengan kehidupan seharian mereka.

Program WIRA turut mendapat sokongan Jabatan Kesihatan Awam dan Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Unit Pembangunan Penyelidikan dan Pendidikan Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, National Cancer Society Malaysia (NCSM), Klinik Khidmat dan Insaf Murni. Setiap rakan pelaksana membawa kepakaran tersendiri dalam memperkukuh kandungan program, merangkumi kesihatan fizikal, kesihatan mental, pencegahan penyakit, penjagaan kecemasan, kesedaran kanser dan pembangunan masa depan pelajar.

Selain itu, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia turut menyertai program ini melalui perkhidmatan Klinik Gigi Bergerak, yang menyediakan saringan kesihatan pergigian kepada pelajar MTD. Perkhidmatan ini memperkukuh komponen kesihatan menyeluruh dalam program WIRA dan memberi pendedahan awal kepada remaja mengenai kepentingan penjagaan kesihatan oral sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat.

Koordinator Kursus Promosi Kesihatan, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Dr. Idayu Hasan berkata, program itu memberi impak yang besar kepada pelajar dan komuniti MTD.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar Sarjana Kesihatan Awam untuk menterjemahkan pembelajaran di bilik kuliah kepada amalan kesihatan awam sebenar di lapangan. Pelajar bukan sahaja terlibat dalam pelaksanaan aktiviti, tetapi turut dilatih dalam perancangan program, penyampaian mesej kesihatan dan penilaian keberkesanan program. Saya berbangga melihat komitmen, kreativiti dan kesungguhan mereka dalam melaksanakan aktiviti interaktif berkaitan pencegahan vape, kesihatan mental, ketagihan digital, pemakanan sihat dan saringan kesihatan,” katanya.

Ketua pelajar program WIRA, Dr. Shazwani Mohamad berkata, pengalaman menyelaras program itu memberi pendedahan bermakna kepada pelajar Sarjana Kesihatan Awam dalam memahami pelaksanaan aktiviti kesihatan bersama komuniti.

“Program ini memberi pengalaman bermakna kepada kami untuk belajar merancang, melaksanakan dan menilai keberkesanan aktiviti kesihatan di lapangan. Kami juga belajar berkomunikasi dengan lebih berkesan, bekerja sebagai satu pasukan dan menyampaikan mesej kesihatan dengan cara yang lebih mudah difahami oleh pelajar MTD,” katanya.

Dr. Idayu berkata, program itu diharapkan dapat memberi impak bermakna kepada pelajar Promosi Kesihatan, pelajar dan staf RMC serta semua rakan kerjasama yang terlibat.

“Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan kemahiran kepimpinan, komunikasi, kolaborasi dan pelaksanaan program dalam kalangan pelajar tetapi turut meningkatkan kesedaran kesihatan dan amalan positif dalam komuniti MTD,” katanya.

Beliau berkata, program seumpama itu mencerminkan komitmen Universiti Malaya terhadap pembelajaran berasaskan pengalaman, kerjasama rentas sektor dan pembangunan profesional kesihatan awam masa depan yang mampu mencipta impak komuniti secara mampan.

Kejayaan WIRA membuktikan bahawa kesihatan masyarakat memerlukan peranan bersama. Universiti menyediakan kepakaran akademik dan pendekatan berasaskan bukti, MTD menyediakan platform komuniti untuk pendidikan kesihatan remaja, manakala rakan pelaksana memperkukuh program melalui kepakaran khusus dalam bidang masing-masing.

Secara keseluruhannya, WIRA bukan sekadar aktiviti kesedaran kesihatan, tetapi satu bentuk pelaburan dalam pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat. Ia melatih pelajar Sarjana Kesihatan Awam menjadi pengamal yang lebih kompeten, responsif dan berorientasikan komuniti, di samping memberi manfaat langsung kepada remaja melalui peningkatan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran berkaitan amalan hidup sihat.

Inisiatif seperti ini wajar diteruskan kerana ia membina jambatan antara ilmu dan amalan, antara universiti dan masyarakat, serta antara latihan profesional dan impak sosial. Melalui kerjasama pelbagai pihak, program seumpama ini mampu melahirkan komuniti yang lebih celik kesihatan dan generasi profesional kesihatan awam yang bersedia memimpin perubahan ke arah masyarakat yang lebih sihat, berdaya tahan dan berwawasan.