Usah dibiarkan kekeliruan jantina dan identiti menapak di sanubari remaja

Ramai ibu bapa terkejut apabila anak yang dibesarkan sebagai lelaki mula mempersoalkan kelelakiannya atau anak perempuan mula berasa tidak selesa dengan identiti kewanitaannya.

Feature Image (3)

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, masyarakat semakin kerap mendengar kisah remaja yang mengalami kekeliruan berkaitan jantina dan identiti diri. Jika dahulu isu ini dianggap terpencil dan jarang dibincangkan secara terbuka, kini ia menjadi antara topik yang sering muncul dalam media sosial, platform hiburan, bilik darjah, malah dalam sesi kaunseling dan klinik kesihatan mental.

Ramai ibu bapa terkejut apabila anak yang dibesarkan sebagai lelaki mula mempersoalkan kelelakiannya atau anak perempuan mula berasa tidak selesa dengan identiti kewanitaannya. Fenomena ini menimbulkan pelbagai persoalan mengenai punca dan faktor pendorong keadaan tersebut.

Hakikatnya, zaman remaja merupakan tempoh yang paling kompleks dalam perkembangan manusia di mana remaja sedang melalui proses pencarian identiti yang sangat aktif. Mereka cuba memahami tempat mereka dalam masyarakat serta mencari jawapan kepada persoalan tentang nilai hidup, tujuan kewujudan dan peranan sosial.

Dalam proses ini, mereka mudah dipengaruhi oleh pelbagai sumber maklumat di sekeliling mereka, terutama media sosial dan budaya global yang kini mengambil tempat yang sangat besar mengatasi pengaruh tradisional keluarga dan sekolah.

Bayangkan seorang remaja seperti sebuah kapal kecil yang sedang belayar di tengah lautan. Pada zaman dahulu, kapal itu hanya dipandu oleh kompas keluarga, agama dan masyarakat setempat. Namun hari ini, kapal tersebut menerima ribuan isyarat daripada pelbagai arah yang kadangkala saling bercanggah, menyebabkan identiti remaja boleh menjadi kabur dan tidak stabil.

Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kekeliruan identiti ialah pendedahan berlebihan kepada media sosial yang telah menjadi ruang pembentukan worldview generasi muda. Algoritma media sosial cenderung memaparkan kandungan berkaitan jantina dan seksualiti secara berulang kali, menyebabkan remaja melihat isu tersebut sebagai sesuatu yang sangat dominan dalam kehidupan mereka.

Selain media sosial, budaya popular global melalui filem, drama dan muzik kini banyak menampilkan pelbagai bentuk identiti jantina. Bagi sesetengah remaja yang masih dalam proses mengenali diri, pendedahan tanpa bimbingan ini boleh menimbulkan kekeliruan di mana mereka mula mempersoalkan minat atau tingkah laku yang tidak sesuai dengan stereotaip tradisional.

Seorang remaja lelaki yang tidak meminati sukan atau remaja perempuan yang lasak mungkin mula menganggap diri mereka tidak normal, sedangkan personaliti tidak semestinya menentukan identiti jantina.

Dari perspektif psikologi perkembangan, remaja mengalami perubahan emosi yang ketara akibat hormon dan sangat sensitif terhadap penerimaan rakan sebaya. Keinginan untuk diterima menyebabkan mereka sanggup mengubah penampilan dan cara berfikir demi menyesuaikan diri dengan kumpulan tertentu, menjadikan identiti sesuatu yang fleksibel dan mudah berubah.

Faktor keluarga juga memainkan peranan penting di mana hubungan yang renggang dan ketiadaan model peranan boleh menyebabkan remaja mencari jawapan di luar rumah. Apabila mereka menemui komuniti dalam talian yang menawarkan penerimaan tanpa syarat, mereka mungkin berasa lebih selesa berkongsi persoalan identiti dengan individu asing. Dalam banyak keadaan, apa yang dicari sebenarnya bukanlah perubahan identiti, tetapi rasa diterima dan dihargai.

Kita juga perlu memahami bahawa sebahagian remaja yang keliru sebenarnya berhadapan dengan isu kesihatan mental lain seperti kemurungan, trauma atau masalah harga diri yang rendah. Apabila akar masalah tidak dikenal pasti, remaja mungkin menganggap identiti jantina sebagai punca utama kesedihan yang mereka alami.

Perkembangan teknologi maklumat membolehkan remaja menyertai komuniti global dengan mudah. Walaupun ini membuatkan mereka tidak berasa bersendirian, sesetengah komuniti dalam talian cenderung mengukuhkan naratif tertentu tanpa ruang penerokaan menyeluruh, menyebabkan remaja membuat kesimpulan terlalu cepat tentang diri mereka sebelum matang secara psikologi.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, pertembungan antara nilai tradisional agama dan pengaruh global di alam maya mencetuskan tekanan psikologi yang besar kepada remaja. Konflik antara dua dunia ini boleh menyebabkan mereka takut meluahkan perasaan atau menjauhkan diri daripada keluarga kerana merasakan diri tidak difahami.

Islam melihat manusia sebagai makhluk yang diciptakan dengan fitrah tertentu yang melibatkan dimensi jasmani, emosi, intelek dan spiritual. Perbincangan identiti tidak boleh dihadkan kepada aspek fizikal semata-mata kerana gangguan pada salah satu dimensi ini boleh menyebabkan kekeliruan. Pendekatan holistik diperlukan untuk membantu remaja yang bergelut dengan persoalan ini.

Budaya melabel, sama ada secara negatif atau berlebihan, turut memudaratkan perkembangan remaja. Mereka memerlukan ruang dan masa untuk mengenali diri tanpa tekanan untuk menerima sesuatu identiti secara tergesa-gesa.

Ibu bapa perlu membina komunikasi terbuka, meluangkan masa berkualiti dan memantau penggunaan media sosial secara bijaksana untuk membina benteng emosi anak-anak. Pihak sekolah, guru dan kaunselor juga perlu dilatih untuk menjadi pendengar yang baik serta membantu pelajar mengurus emosi dan membina harga diri yang kukuh.

Masyarakat perlu mengelakkan sikap menghukum mahupun menormalisasikan kekeliruan tanpa penilaian teliti. Sebaliknya, pendekatan berasaskan kasih sayang, ilmu pengetahuan dan nilai agama yang seimbang adalah lebih berkesan.

Akhirnya, di sebalik persoalan identiti, terdapat seorang remaja yang sedang mencari makna hidup. Mereka memerlukan keluarga yang penyayang dan masyarakat yang memahami untuk membantu mereka kembali kepada fitrah yang menjadi asas kesejahteraan insan.