Memaknakan karya sastera dalam kalangan generasi muda
Beberapa karya novel telah diadaptasi kepada persembahan drama siri, telefilem dan filem yang dilihat berjaya mencipta fenomena dari sudut pola tontonan di Malaysia.

PERCAMBAHAN kreativiti dan inovasi dalam dunia seni sememangnya sentiasa terbuka dan aspek penyesuaian telah menjadikan sebuah medium penyampaian itu semakin menarik serta unik jika ditelusuri perihal kemampuan membawakan naratif kepada masyarakat.
Lebih mengujakan apabila sesebuah medium penyampaian diolah gaya penyampaian kepada medium yang lain dengan lebih kreatif. Dengan kata mudah, pengadaptasian karya penulisan sastera ke persembahan skrin sama ada televisyen mahupun filem.
Usaha ini sebenarnya telah lama dilakukan dan kejayaan telah pun terbukti berdasarkan penerimaan masyarakat malah masih lagi berlangsung hingga ke hari ini. Sebagai contoh, terdapat sejumlah karya novel telah diadaptasi kepada persembahan drama siri, telefilem dan juga filem yang dilihat berjaya mencipta fenomena dari sudut pola tontonan di Malaysia.
Nama-nama besar yang melintasi barisan penulis tanahair telah melakukan suatu impak positif apabila berjaya menjalinkan karya penulisan novel ke persembahan skrin yang mampu memberikan suasana baharu buat pembangunan industri kreatif negara.
Tidak terhad kepada itu, malah ada juga hasil adaptasi novel yang turut dicalonkan untuk beberapa siri anugerah penyiaran tempatan yang menandakan bahawa hasil kreatif ini mempunyai daya saing dan peminat tersendiri. Hal ini membuktikan bahawa kualiti penceritaan yang digarap dalam bentuk tulisan mampu diterjemahkan dan diangkat ke persembahan skrin jika dilakukan dengan baik serta mampu menghidupkan hala tuju pada masa hadapan dalam menumpukan tarikan masyarakat untuk menonton karya adaptasi.
Adaptasi penulisan sastera ke layar skrin secara amnya, bukanlah hanya menjurus kepada novel dan peralihan penyampaian semata-mata tetapi merupakan salah satu cara untuk membuka peluang kepada generasi muda terutamanya dalam memindahkan idea sastera kepada medium penyampaian yang lebih dekat dengan mereka.
Keterbatasan waktu untuk membaca atau kurangnya minat pada karya penulisan telah menyebabkan mereka tidak dapat menghargai dan menyelami karya penulisan sastera yang ada. Gabungan elemen audio visual yang digarap dalam penyampaian karya sastera memungkinkan golongan muda dapat menyerap kisah-kisah masyarakat yang disadur dengan elemen tradisional, budaya dan mesej yang sangat signifikasi.
Karya adaptasi dilihat mampu dijadikan sebagai alat yang berkesan dalam mengajak dan memperkasakan semula minat dalam kalangan generasi muda untuk mendalami mesej yang terkandung dalam karya penulisan sastera terutamanya novel.
Penyampaian dengan gara persembahan skrin yang menarik mampu untuk mengungkap segala mesej yang hendak disampaikan dengan tujahan isu-isu kemasyarakatan yang dekat dengan suasana masyarakat kini. Mesej yang mendasari persoalan kasih sayang, kekeluargaan, perjuangan hidup, pengorbanan demi negara dan pelbagai lagi fokus kehidupan yang relevan merentasi zaman.
Tidak terhad hanya menonton karya adaptasi, malah jika diteliti sesiapa sahaja yang menonton mempunyai kemungkinan untuk mendapatkan naskah asli iaitu naskah novel adaptasi tak kira sama ada membeli mahupun berkongsi membaca bagi mendapatkan gambaran secara jelas maksud si penulis.
Dalam erti kata lain, bagi mendalami jalan cerita untuk tujuan pemahaman secara tuntas melalui imaginasi pembacaan. Hal ini dilihat sebagai suatu petanda baik kerana bakal melahirkan generasi yang mahu bertindak melakukan penilaian individu secara intuisi kefahaman sendiri iaitu daya pertimbangan dalam merasai secara gerak hati tatkala membaca.
Namun perlu ada tarikan khusus yang mampu menarik minat generasi mudah untuk memiliki novel sebagai bahan bacaan. Salah satu gagasan yang perlu diambilkira adalah berkenaan kandungan sesebuah novel. Harus diperhalusi tentang perkaitan kandungan naratif dengan latar zaman kini yang rata-rata generasi muda terdedah dengan teknologi dan aplikasi yang pelbagai.
Maka, penyesuaian naratif dengan generasi kini harus diperhebatkan agar kandungan mesra generasi muda dapat diwujudkan. Penulis novel perlu membawakan sesuatu yang mampu menarik perhatian generasi muda untuk kembali memulakan pembacaan novel tanpa menidakkan nilai komersial yang perlu ada. Lihat sahaja kandungan yang ada di dalam pelbagai aplikasi terkini yang mampu menarik minat generasi muda kerana kandungan visual yang pelbagai pengisian.
Ekoran itu, penulisan kandungan sastera seperti karya novel harus berupaya untuk mencari titik kekuatan dalam menyemai minat golongan ini. Hal ini penting kerana melalui pembacaan karya sastera tak kira novel, cerpen, drama, puisi dan pelbagai genre sastera dapat melahirkan generasi yang berfikiran kritis dalam memahami kandungan yang sarat dengan mesej positif yang menepati nilai ilmiah dan tahap kematangan yang sesuai dengan adab serta tatasusila masyarakat Malaysia.
Karya sastera mampu membuka mata generasi muda tentang segala aspek kehidupan yang bersesuaian dengan konsep mencintai warisan bangsa menerusi pembacaan yang bersifat semasa berbanding dengan pendedahan yang diperolehi daripada media sosial. Dan jika mempunyai potensi untuk diadaptasi ke layar skrin, maka akan menjadikannya sebagai kolaborasi antara penulisan kandungan dan kandungan visual yang berkesan.
Berbalik kepada karya adaptasi novel, tak kira secara drama bersiri, telefilem mahupun filem jika diperhalusi pembikinannya secara keseluruhan dapatan maka karya adaptasi ini mampu untuk memperkasa dan menerap mesej-mesej berguna secara terancang dan teliti melalui pendekatan media penyiaran. Walau pun agak sukar untuk menyatakan penerimaan mesej adalah berbentuk seragam namun yang pasti kejayaan bakal terlakar melalui langkah kecil yang dilaksanakan secara konsisten.
Di sisi akhir, kolaborasi antara penulisan karya sastera dan pendekatan audio visual dapat membangkitkan penjanaan idea serta memaksimumkan keterlibatan golongan sasar untuk turut serta mendalami ilmu pengetahuan dan pengalaman yang berteraskan kupasan kehidupan yang melingkari masyarakat dalam gaya yang tertib tanpa mengabaikan budaya ilmu yang secara lazimnya banyak ditekankan dalam karya sastera.
