Jangan diabaikan ancaman senyap kanser kepala dan leher

Kanser kepala dan leher merangkumi kanser yang berlaku pada rongga mulut, lidah, tekak, peti suara, hidung, sinus dan kelenjar air liur.

Feature Image (1)

RAMAI menganggap ulser mulut yang tidak sembuh, suara serak berpanjangan atau benjolan kecil di leher hanyalah masalah kesihatan biasa. Ada yang memilih untuk membeli ubat di farmasi atau menunggu sehingga simptom hilang sendiri.

Namun, dalam sesetengah keadaan, tanda-tanda yang kelihatan kecil ini sebenarnya boleh menjadi petunjuk awal kepada kanser kepala dan leher, sejenis penyakit yang sering dikesan hanya apabila sudah berada pada peringkat lanjut.

Kanser kepala dan leher merangkumi kanser yang berlaku pada rongga mulut, lidah, tekak, peti suara, hidung, sinus dan kelenjar air liur. Walaupun kurang mendapat perhatian berbanding kanser payudara atau paru-paru, penyakit ini memberi kesan besar terhadap kehidupan pesakit kerana boleh menjejaskan pertuturan, pemakanan, pernafasan dan penampilan diri.

Beban penyakit kanser di Malaysia semakin meningkat. Kementerian Kesihatan melaporkan hampir 250,000 kes kanser direkodkan antara tahun 2017 hingga 2023, manakala kanser kini merupakan penyebab kematian ketiga tertinggi di negara ini.

Di peringkat global pula, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat 20 juta kes baharu kanser pada tahun 2022 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada lebih 35 juta kes menjelang tahun 2050 jika faktor-faktor risiko tidak dikawal dengan lebih berkesan.

Daripada perspektif bioperubatan, kanser kepala dan leher bukanlah penyakit yang muncul secara tiba-tiba. Ia terbentuk melalui proses yang mengambil masa bertahun-tahun apabila sel-sel normal mengalami kerosakan pada bahan genetik atau DNA akibat pendedahan berulang kepada bahan karsinogen. Apabila kerosakan ini gagal dibaiki oleh mekanisme pertahanan badan, sel akan terus membahagi tanpa kawalan sehingga membentuk ketumbuhan.

Merokok masih menjadi faktor risiko paling utama. Asap rokok mengandungi puluhan bahan kimia yang boleh merosakkan DNA dan menyebabkan mutasi pada gen yang berfungsi mengawal pertumbuhan sel. Risiko menjadi lebih tinggi apabila tabiat merokok digabungkan dengan pengambilan alkohol secara berlebihan. Kedua-dua faktor ini saling memperkukuhkan kesan antara satu sama lain sehingga meningkatkan risiko kanser beberapa kali ganda berbanding individu yang tidak merokok atau tidak mengambil alkohol.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penyelidik turut memberi perhatian kepada Human Papillomavirus (HPV), khususnya HPV-16. Virus ini bukan sahaja dikaitkan dengan kanser serviks, malah kini dikenal pasti sebagai antara penyebab utama kanser orofaring yang melibatkan bahagian belakang tekak dan pangkal lidah. Jangkitan HPV boleh mengubah fungsi gen yang mengawal pembahagian sel sehingga meningkatkan risiko pembentukan kanser.

Selain itu, individu yang sering terdedah kepada habuk industri, asap, bahan kimia tertentu atau persekitaran kerja yang tercemar juga mempunyai risiko yang lebih tinggi. Pendedahan berpanjangan boleh mencetuskan keradangan kronik dan kerosakan DNA yang akhirnya menyumbang kepada perkembangan penyakit.

Cabaran terbesar ialah simptom awal kanser kepala dan leher sering disalah anggap sebagai masalah biasa. Ulser mulut yang tidak sembuh melebihi dua minggu, suara serak berterusan, sakit tekak yang berpanjangan, kesukaran menelan, pendarahan dari mulut atau hidung serta benjolan pada leher tidak seharusnya dipandang ringan. Pemeriksaan awal boleh membuat perbezaan besar terhadap peluang rawatan dan kadar kelangsungan hidup pesakit.

Berita baiknya, sebahagian besar faktor risiko penyakit ini sebenarnya boleh dicegah. Berhenti merokok, mengurangkan pengambilan alkohol, mendapatkan vaksin HPV mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia, menjaga kebersihan mulut serta menjalani pemeriksaan kesihatan berkala merupakan langkah yang terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko penyakit.

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu mengubah persepsi bahawa kanser hanya berlaku kepada warga emas atau mereka yang mempunyai sejarah keluarga. Hakikatnya, gaya hidup, tabiat harian dan pendedahan kepada faktor persekitaran memainkan peranan yang sama penting dalam menentukan risiko seseorang.

Kanser kepala dan leher bukan sekadar penyakit yang menjejaskan satu bahagian tubuh. Ia boleh mengubah keupayaan seseorang untuk bercakap, makan, bernafas dan menjalani kehidupan harian. Oleh sebab itu, pencegahan dan pengesanan awal perlu menjadi keutamaan.

Akhirnya, mesej paling penting ialah jangan abaikan perubahan kecil pada tubuh sendiri. Ulser yang tidak sembuh, suara yang serak berpanjangan atau benjolan pada leher mungkin kelihatan remeh tetapi tindakan mendapatkan pemeriksaan lebih awal boleh menyelamatkan nyawa.

Dalam menghadapi kanser, masa adalah faktor yang amat berharga. Lebih awal penyakit dikesan, lebih tinggi peluang untuk dirawat dengan berkesan dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.