Literasi dasar seharusnya jadi agenda penting dalam pembangunan negara

Kesedaran dalam kalangan masyarakat amat penting kerana dapat meningkatkan pematuhan terhadap dasar dan undang-undang yang diperkenalkan.

Feature Image (1)

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, masyarakat Malaysia menyaksikan pelbagai dasar baharu diperkenalkan, termasuk peluasan perlindungan PERKESO kepada pekerja gig, penyasaran semula subsidi serta perubahan struktur tarif elektrik.

Walaupun kebanyakan dasar ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh kedudukan fiskal negara, sebahagiannya akhirnya dipinda, ditangguhkan atau ditarik balik susulan bantahan daripada pelbagai pihak.

Fenomena yang sering dilabel sebagai “U-turn kerajaan” ini bukanlah sesuatu yang wajar jika berlaku secara berulang kerana ia boleh mencerminkan kelemahan dalam proses penggubalan dasar, pelaksanaan dan komunikasi awam.

Hakikatnya, banyak dasar dan inisiatif kerajaan dirangka dengan niat yang baik demi kepentingan rakyat. Namun, ada antaranya gagal mencapai impak yang diharapkan bukan kerana dasar tersebut tidak berkualiti, tetapi kerana tahap kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap rasional, manfaat serta implikasinya masih rendah. Justeru, usaha memperkukuh literasi dasar perlu dijadikan antara agenda utama dalam pembangunan negara.

Kesedaran dalam kalangan masyarakat amat penting kerana dapat meningkatkan pematuhan terhadap dasar dan undang-undang yang diperkenalkan. Apabila rakyat memahami tujuan sesuatu dasar, mereka lebih cenderung untuk menerima dan mematuhinya.

Sebagai contoh, caruman PERKESO bukan sekadar potongan gaji, sebaliknya merupakan mekanisme perlindungan sosial yang memberi jaminan kepada pekerja sekiranya berlaku kemalangan, hilang upaya atau kematian.

Selain itu, literasi dasar yang baik mampu mengurangkan penyebaran maklumat palsu. Dalam era digital yang menyaksikan maklumat bergerak begitu pantas, pelbagai isu semasa mudah disalah tafsir dan dimanipulasi melalui media sosial. Tanpa kemampuan menilai maklumat secara kritis, masyarakat mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat sehingga menimbulkan salah faham terhadap dasar kerajaan.

Kesedaran yang tinggi juga membantu rakyat membuat keputusan kewangan yang lebih bijak. Apabila masyarakat memahami perubahan dasar seperti struktur tarif utiliti, subsidi bersasar atau caruman perlindungan sosial, mereka dapat merancang kewangan dengan lebih berkesan serta mengurangkan kejutan akibat perubahan kos sara hidup.

Di samping itu, kesedaran terhadap hak, tanggungjawab dan manfaat yang disediakan oleh kerajaan membolehkan lebih ramai rakyat menikmati perlindungan sosial serta bantuan yang disediakan. Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan individu, malah menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara secara menyeluruh.

Walaupun usaha meningkatkan kesedaran masyarakat bukanlah perkara baharu, pendekatan yang digunakan perlu berubah mengikut perkembangan semasa. Dalam era digital, komunikasi dasar tidak lagi boleh bergantung kepada pengumuman rasmi semata-mata. Sebaliknya, ia perlu bersifat lebih interaktif, mudah difahami dan dekat dengan masyarakat.

Kerajaan perlu beralih daripada pendekatan sekadar mengumumkan dasar kepada mendidik masyarakat mengenai kepentingannya. Setiap dasar baharu sewajarnya disertakan dengan infografik, video pendek, soalan lazim (FAQ) serta contoh situasi sebenar yang menerangkan mengapa dasar diperkenalkan, siapa yang terlibat, manfaat yang bakal diperoleh dan bagaimana pelaksanaannya memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Selain itu, kerajaan perlu memperluaskan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sebelum sesuatu dasar dilaksanakan. Penglibatan ahli akademik, wakil industri, badan bukan kerajaan (NGO), majikan, kesatuan pekerja dan wakil pengguna dapat membantu mengenal pasti cabaran pelaksanaan lebih awal, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sesuatu dasar.

Platform media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram dan YouTube juga perlu dimanfaatkan secara lebih strategik. Medium ini bukan sekadar saluran penyebaran maklumat, malah boleh digunakan untuk mengadakan sesi soal jawab secara langsung, video penerangan ringkas dan perkongsian fakta yang mudah difahami. Pendekatan ini lebih berkesan dalam menangani salah faham dan penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Media massa turut memainkan peranan penting sebagai jambatan antara kerajaan dengan rakyat. Laporan yang seimbang, analisis oleh pakar serta penerangan berasaskan fakta dapat membantu masyarakat memahami rasional sesuatu dasar, sekali gus membentuk persepsi yang lebih objektif.

Penglibatan komuniti juga perlu diperkasakan bagi memastikan mesej yang disampaikan benar-benar sampai kepada masyarakat. Pemimpin masyarakat, pihak berkuasa tempatan, institusi keagamaan, persatuan penduduk, badan profesional dan NGO boleh berperanan sebagai ejen penyebaran maklumat di peringkat akar umbi. Pendekatan secara bersemuka membolehkan masyarakat mengemukakan soalan, mendapatkan penjelasan dan memahami sesuatu dasar dengan lebih jelas.

Paling penting, masyarakat perlu didedahkan kepada asas-asas dasar awam melalui pendidikan formal dan bukan formal. Topik seperti perlindungan sosial, percukaian, subsidi, keselamatan sosial dan pengurusan kewangan wajar diperkenalkan sejak di bangku sekolah, diteruskan di institusi pengajian tinggi serta diperkukuh melalui program komuniti. Pendedahan sejak awal akan melahirkan masyarakat yang lebih celik dasar, berfikiran kritis dan mampu menilai sesuatu polisi berdasarkan fakta, bukannya persepsi atau sentimen.

Akhirnya, literasi dasar bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan dalam membina masyarakat yang matang dan negara yang berdaya tahan. Dasar yang dirangka dengan teliti tidak akan mencapai matlamatnya jika rakyat tidak memahami rasional, manfaat dan implikasinya. Dalam era ledakan maklumat hari ini, jurang terbesar antara kerajaan dengan rakyat bukanlah jurang pelaksanaan, tetapi jurang kefahaman.

Justeru, kerajaan perlu memperkukuh komunikasi dasar secara lebih telus dan inklusif manakala masyarakat pula perlu membudayakan sikap mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih sebelum membuat penilaian.

Apabila literasi dasar menjadi budaya, rakyat akan lebih bersedia menerima perubahan, menyokong reformasi yang membawa manfaat kepada negara serta mengurangkan keperluan kerajaan melakukan perubahan dasar pada saat akhir.

Sesungguhnya, kejayaan pembangunan negara bukan sahaja bergantung pada dasar yang baik, tetapi juga pada rakyat yang memahami, mempercayai dan menghayati setiap dasar yang dilaksanakan.