Apabila ingatan hilang, sokongan sosial menjadi harapan
Apabila mendengar perkataan demensia, ramai yang menganggapnya sebagai penyakit biasa akibat proses penuaan.

MALAYSIA sedang melangkah ke arah menjadi sebuah negara tua. Perubahan ini merupakan petanda positif yang menunjukkan jangka hayat rakyat semakin panjang dan tahap kesihatan semakin baik. Namun, di sebalik pencapaian tersebut, negara juga bakal berhadapan dengan satu cabaran besar yang sering dipandang sepi, iaitu peningkatan kes demensia dalam kalangan warga emas.
Apabila mendengar perkataan demensia, ramai yang menganggapnya sebagai penyakit biasa akibat proses penuaan.
Hakikatnya, tanggapan itu kurang tepat. Demensia bukan sekadar masalah mudah lupa. Ia merupakan keadaan yang menjejaskan fungsi otak sehingga seseorang mengalami kemerosotan daya ingatan, kesukaran berfikir, perubahan tingkah laku dan akhirnya bergantung kepada orang lain untuk menjalani kehidupan seharian. Lebih menyedihkan, penyakit ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang menghidapinya, malah turut mengubah kehidupan ahli keluarga yang menjaga mereka.
Realiti yang semakin dekat
Bayangkan seorang ibu yang suatu ketika dahulu menjadi tempat anak-anak bergantung harap. Beliaulah yang menyediakan makanan, mengurus rumah tangga dan menjadi tempat berkongsi cerita. Namun, apabila demensia menyerang, beliau mula terlupa nama anak sendiri, gagal mengenali rumah yang didiami sejak puluhan tahun, malah ada kalanya tidak lagi mampu mengurus keperluan diri. Situasi seperti ini bukan sekadar kisah yang dipaparkan dalam drama atau filem. Ia merupakan realiti yang semakin banyak berlaku dalam masyarakat kita.
Malaysia dijangka mengalami peningkatan ketara jumlah warga emas dalam beberapa tahun akan datang. Seiring dengan perubahan demografi ini, bilangan individu yang menghidap demensia juga dijangka terus meningkat. Keadaan tersebut bukan sahaja memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara, malah turut memberi kesan kepada institusi keluarga, ekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakat secara keseluruhannya.
Malangnya, ramai masih melihat penjagaan warga emas yang menghidap demensia sebagai tanggungjawab mutlak ahli keluarga. Walaupun keluarga merupakan sistem sokongan yang paling utama, hakikatnya mereka juga berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Menjaga individu yang mengalami demensia memerlukan kesabaran yang tinggi, komitmen masa yang panjang serta kekuatan emosi dan kewangan. Tidak sedikit ahli keluarga yang terpaksa mengurangkan waktu bekerja, berhenti kerja atau berdepan tekanan mental kerana perlu memberikan penjagaan sepanjang masa. Dalam keadaan tertentu, konflik keluarga juga boleh berlaku apabila tanggungjawab menjaga ibu atau bapa hanya dipikul oleh seorang anak sahaja.
Atas sebab itu, sudah tiba masanya kita melihat isu demensia sebagai tanggungjawab bersama. Sokongan sosial tidak seharusnya terhad kepada ahli keluarga semata-mata. Jiran, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan, institusi keagamaan, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan turut mempunyai peranan yang penting. Kehadiran komuniti yang memahami keadaan pesakit demensia mampu mengurangkan rasa terasing yang dialami oleh warga emas serta membantu meringankan beban keluarga.
Sokongan sosial juga tidak semestinya berbentuk bantuan kewangan. Kadangkala, perkara yang paling bermakna ialah kesanggupan meluangkan masa untuk berbual, menemani warga emas melakukan aktiviti harian atau membantu penjaga berehat seketika. Perbuatan yang kelihatan kecil inilah sebenarnya mampu memberi kesan besar kepada kesejahteraan emosi warga emas dan penjaga mereka.
Membina masyarakat mesra demensia
Dalam masa yang sama, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai demensia perlu diperkasakan. Masih ramai yang menganggap perubahan tingkah laku warga emas sebagai sikap degil atau sengaja mencari perhatian. Sedangkan perubahan tersebut mungkin merupakan simptom awal penyakit demensia. Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan ramai pesakit lewat mendapatkan rawatan dan keluarga pula tidak mengetahui cara penjagaan yang sesuai.
Malaysia juga memerlukan lebih banyak komuniti yang mesra demensia. Kemudahan awam, pusat aktiviti warga emas, rumah jagaan, masjid, surau dan pusat komuniti boleh memainkan peranan sebagai ruang yang selamat dan inklusif untuk warga emas terus berinteraksi dengan masyarakat. Selain itu, latihan kepada penjaga, program pendidikan masyarakat dan sokongan psikososial perlu diperkukuhkan supaya keluarga tidak berasa keseorangan dalam menghadapi cabaran ini.
Hakikatnya, menjaga warga emas yang menghidap demensia bukan sekadar memastikan mereka makan, mandi atau mengambil ubat mengikut jadual. Mereka juga memerlukan kasih sayang, penghormatan dan peluang untuk terus menjalani kehidupan yang bermaruah.
Walaupun ingatan mereka semakin pudar, maruah dan nilai seorang insan tidak pernah hilang.
Akhirnya, ukuran sebenar kemajuan sesebuah negara bukan hanya dinilai melalui pembangunan ekonomi atau kecanggihan teknologi, tetapi juga melalui cara masyarakatnya melayani golongan yang paling memerlukan perhatian. Apabila Malaysia melangkah ke arah negara tua, kita perlu bersedia bukan sahaja dengan hospital dan kemudahan kesihatan, tetapi juga dengan masyarakat yang lebih penyayang, prihatin dan saling menyokong.
Ini adalah kerana apabila ingatan seseorang semakin hilang, sokongan sosial daripada keluarga, komuniti dan masyarakatlah yang akan menjadi harapan paling bermakna.

