Dari feri ke via ferrata, Kampung Mukut ‘permata’ tersembunyi Pulau Tioman
Mungkin sudah tiba masanya, anak-anak jadi Kampung Mukut yang berada di perantauan pulang ke kampung halaman mereka.
DERUMAN enjin Feri Juara Mutiara yang membelah laut selepas meninggalkan Jeti Mersing menyumbat deria pendengaran kami. Sesekali asap diesel menerjah hidung sehingga menyesakkan pernafasan. Badan terasa terumbang-ambing apabila feri yang dinaiki itu seolah-olah sedang berlawan dengan ombak.
Perjalanan yang mengambil masa antara dua hingga dua jam setengah itu umpama satu tempoh yang sangat panjang. Kami yang pada awalnya teruja untuk menaiki feri mula rasa menyesal. Tekak semakin loya. Kepala pula sudah pening dan berpusing-pusing. Isi perut menolak-nolak ingin keluar. Semua rasa yang tidak menyeronokkan itu cuba ditahan ketat-ketat agar ia tidak mendedahkan aib yang boleh dijadikan bahan bualan rakan-rakan.
Penumpang yang tadi rancak berbual atau berlegar-legar dalam perut feri tiba-tiba senyap dan kaku. Mereka cuba melayan perasaan atau melelapkan mata untuk menghilangkan semua perasaan yang tidak menyeronokkan itu. Dalam hati hanya berharap, cepatlah feri sampai ke destinasi yang dituju.

Semuanya berubah sebaik feri berlabuh di Jeti Kampung Mukut di Pulau Tioman. Mata mula tertacap ke arah batu berkembar yang berdiri megah di belakang kampung itu. Gunung Nenek Semukut atau lebih dikenali sebagai Dragon Horns, puncak kembar granit yang menjadi dambaan peminat sukan ekstrem. Gunung itu akan didaki untuk mencipta kenangan berjalan di via ferrata sepanjang 60 meter pada ketinggian 703 meter dari aras laut.
Sepanjang perjalanan berjalan kaki dari jeti menuju ke Sri Sentosa Chalet, mata tidak dilepaskan untuk memandang Dragon Horns yang berdiri megah, seakan-akan mengalu-alukan kedatangan kami ke kampung itu. Tangan sentiasa diarahkan ke puncak kembar granit yang sesekali dilitupi awan dan kabus tebal itu untuk dirakamkan gambar menggunakan telefon bimbit.
Air Terjun Asah
Di Sri Sentosa Chalet, kedatangan kami disambut dengan minum petang atau ‘welcome drink’. Menu kuih karipap, samosa dan keropok lekor yang masih panas dipadankan dengan air oren sejuk sudah cukup untuk membuka selera, yang kebetulan memang kelaparan selepas dilambung ombak dalam feri.

Selepas menginap masuk ke chalet masing-masing, kami berkumpul di jeti untuk menaiki bot ke Kampung Asah. Perjalanan dengan bot mengambil masa sekitar lima hingga 10 minit manakala perjalanan pulang dengan berjalan kaki sejauh 2.5 kilometer mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit.
Kampung Asah yang terletak di bahagian selatan Pulau Tioman sangat terkenal dengan Air Terjun Asah. Sumber Tourism Malaysia menyifatkan air terjun itu adalah tertinggi di Pulau Tioman manakala sumber lain menyebutnya sebagai antara air terjun yang paling terkenal dan terbesar di pulau itu.
Kajian geologi mengenai Pulau Tioman mendapati kolam berbentuk segi empat di kaki Air Terjun Asah terbentuk akibat proses hakisan pada rekahan batuan granit.
Air Terjun Asah berada dalam persekitaran hutan hujan tropika yang menghijau. Laluan menuju ke kawasan air terjun turut mempunyai nilai biodiversiti, termasuk pelbagai flora dan fauna. Kajian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) turut merekodkan kepelbagaian spesies di sekitar kawasan Asah.
Airnya tidak terlalu sejuk tetapi cukup untuk menyegarkan badan yang dalam keletihan. Airnya masih bersih dan terpelihara. Begitu juga dengan kawasan sekitar yang masih dijaga dengan baik meskipun kedatangan pengunjung boleh dikira dengan jari.
Air terjun ini bukan sekadar tarikan pelancongan, malah mempunyai nilai geologi kerana terbentuk dalam landskap batuan granit Pulau Tioman. Kawasan sekitarnya berpotensi untuk aktiviti rekreasi berasaskan alam seperti meredah hutan dan menikmati persekitaran air terjun.
Air Terjun Asah turut dikaitkan dengan filem Hollywood South Pacific (1958). Sumber pelancongan menyatakan air terjun itu ditampilkan dalam filem berkenaan manakala sumber Tourism Pahang mengesahkan Pulau Tioman menjadi latar filem berkenaan.
Kini, Kampung Asah, sebuah petempatan yang tidak lagi sarancak kawasan kampung utama di Pulau Tioman. Sumber pelancongan menyifatkan kawasan itu sebagai kampung yang sebahagiannya sudah ditinggalkan.
Pakman Perak
Dalam perjalanan pulang dari Air Terjun Asah, kami melintasi sebuah warung yang cukup popular dalam kalangan penduduk Kampung Mukut yang dikenai sebagai Pakman Perak atau Man Fried Chicken (MFC).
Memang tidak dapat dinafikan menu ayam goreng yang dijual lebih sedap daripada ayam goreng KFC. Daging ayam digoreng lembut, cukup rasa dan lebih berselera jika dimakan dengan mi atau kuetiau goreng. Tapi awas, bagi pengunjung yang pertama kali ke warung ini. Perwatakan Pakman yang kasar ketika mengambil pesanan makanan dan raut wajah yang bengis boleh membuatkan kunjungan itu adalah yang terakhir di warung itu.

Pakman sebenarnya bukan seperti itu. Hati lelaki berusia 70-an itu berjaya kami lembutkan, selembut daging ayam goreng MFC. Hanya dalam tempoh dua hari, hubungan kami bersama Pakman ibarat seorang bapa yang sedang menasihati anaknya yang baru pulang daripada perantauan. Banyak rahsia yang dikongsi dan nasihat yang diberikan kepada kami.
Namun, detik ketika Pakman dikerumuni pelajar Sekolah Rendah (SK) Mukut yang meminta tandatangannya kekal dalam ingatan kami. Reaksi Pakman memenuhi permintaan pelajar dari atas skuter elektrik sangat spontan. Tiba-tiba sahaja Pakman menjadi popular dan dikerumuni peminat. Kini, Pakman sama taraf dengan pelakon popular Azhan Rani.
Siapa sangka, Pakman yang berpewatakan kasar dan berwajah bengis pada awal pertemuan menjadi orang terakhir yang kami salam sebelum menaiki feri untuk pulang ke Mersing. Pakman hantar kami sehingga ke pintu feri. Pakman hero kami. Pakman hero Kampung Mukut. Sudah tentu kami merindui Pakman, ayam goreng dan mi goreng Pakman. Kami doakan kesudahan yang baik-baik untuk Pakman dan seluruh ahli keluarganya.
Mukut Venture
Jika anda mahu melakukan aktiviti pendakian ke Gunung Nenek Semukut dan merasai pengalaman memanjat via ferrata batu berkembar granit Dragon Horns, Mukut Venture adalah jawapannya.
Mukut Venture dipimpin anak muda Zhafri Zamros yang cukup berpengalaman dan profesional dalam menguruskan aktiviti pendakian ekstrem serta penjelajahan alam semula jadi. Beliau juga memperoleh sijil pengiktirafan daripada Perhilitan Pahang untuk menawarkan perkhidmatan Via Ferrata Gunung Nenek Semukut.

Meneruskan legasi perniagaan Sri Sentosa Chalet milik bapa dan keluarganya, Zhafri dikelilingi ramai pekerja atau pembantu yang baik dan ramah. Kak Mas mengetuai bahagian dapur bersama beberapa pekerja lain dan masakan beliau sangat sedap dan memenuhi selera kami.
Meskipun unit chalet tidak banyak, ia memadai untuk menampung kumpulan kami seramai 21 orang yang diketuai keluarga pendaki Gunung Everest negara, Dato’ Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B), Muhammad Aliff Abdullah.
Selain dua pelakon popular negara, Azhan Rani dan Zainuri Misfar, expedisi kali ini turut disertai Khalid Abd Hanid, Azmi Mohd Ariffin, Raja Hafiz Raja Ahmad Kamaruddin, Norimah Abd Karim, Noor Azlina Masroni, Noramalina Husin, Noor Hanifati Sabede, Sunidza Busu, Mastura Mohd Isa, Mohamad Amal Iman Mohamed Juhari dan Norzasrudin Mohamed Nor.
Dalam aktiviti pendakian pula, Zhafri dibantu beberapa pemandu pelancong alam semula jadi atau Nature Guide bertauliah seperti Faiz, Ali, Adam dan Aripi yang cemerlang membawa kami sampai ke puncak.
Aktiviti pendakian kami bermula seawal pukul 7.30 pagi pada 16 Ogos 2026. Selepas sarapan, kami melakukan aktiviti pemanas badan yang dipimpin Faiz sebelum bergerak menuju ke pintu gerbang Dragon Horns.
Pendakian dari Check Point 1 hingga Check Point 4 agak mudah, namun laluan semakin sukar selepas melepasi Check Point 5 hingga ke Check Point 8. Jarak antara Check Point 9 dan 10 tidak jauh tetapi memacak. Jarak keseluruhan dari Check Point 1 hingga 10 sekitar 3.5km yang mengambil masa kira-kita 2 hingga 3 jam.

Cuaca sangat baik pada hari pendakian tetapi Dragon Horns dilitupi kabus tebal. Walaupun kabus tebal menutup pemandangan kami untuk menikmati keindahan Kampung Mukut dan Laut China Selatan sehingga ke Mersing, pengalaman kami memanjat via ferrata merupakan satu nikmat yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
Rata-rata ini adalah via ferrata pertama kami. Perasaan takut, gayat, gementar dan pelbagai lagi menerjah hati kami. Kaki tiba-tiba terasa berat, tangan mula gementar dan tubuh badan seram sejuk sebaik meletakkan kaki di anak tangga besi pertama. Segala-galanya serba tidak kena sehingga beberapa seketika. Namun, apabila kami mendapat rentak, rasa seperti pendek pula laluan sejauh 60 meter itu.
Tambahan pula, Nature Guide kami tidak henti-henti menyuruh kami melakukan aksi yang menarik untuk dirakam kamera telefon mereka. Maka, beratus lah gambar dan video kami dalam telefon mereka.
Dalam satu-satu pendakian di via ferrata, hanya 10 pendaki dibenarkan diselang dengan kedudukan Nature Guide yang berada di hadapan, tengah dan belakang. Tugas mereka memberi arahan dan membantu kami berjalan di atas anak tangga besi serta memasang karbiner pada tali keselamatan harness atau abah-abah pada kabel keluli dengan betul bagi mengelak kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
Via Ferrata Gunung Nenek Semukut menggunakan konsep ‘first in, last out’ sebelum kumpulan kedua dibenarkan memulakan pendakian. Namun, via ferrata ini akan ditutup pada Oktober ini untuk kerja-kerja penilaian dan menambah baik laluan pendakian sehingga satu tempoh yang sesuai pada tahun hadapan.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Perhilitan dan komuniti sukan ekstrem Kampung Mukut, terutamanya Mukut Venture bertanggungjawab menambah baik laluan via ferrata. Laluan baharu dijangka sepanjang 200 meter dan bermula serta tamat di lokasi lain, sekali gus memberikan pengalaman pendakian di dinding batu yang lebih mencabar.
KE7B dan Kelab Kembara Kosmopolitan teruja untuk bersama-sama merasmikan laluan baharu Via Ferrata Dragon Horns sebaik ia siap kelak.
Sekolah Kebangsaan (SK) Mukut
Seramai 28 orang murid dan 9 orang guru. Itu jumlah murid dan tenaga pengajar di Sekolah Rendah (SK) Mukut. Jumlah ini nampak kecil tetapi impian mereka tetap tinggi, setinggi Gunung Nenek Semukut.
Sebenarnya, kunjungan hormat ke SK Mukut tidak ada dalam jadual perjalanan kami. Ia hanya bermula dengan pelawaan daripada salah seorang guru yang disampaikan oleh Kak Mas, iaitu tukang masak di Sri Sentosa Chalet. Pelawaan yang sekadar main-main itu kami sambut dengan hati yang terbuka. Bak peribahasa Melayu “kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan’.
Selepas sarapan pagi pada hari terakhir, kami berjalan kaki beramai-ramai dari chalet ke SMK Mukut. Rombongan kami disambut mesra warga sekolah. Kami bergambar beramai-ramai di hadapan pintu masuk sekolah sebelum berkumpul di kawasan kantin untuk sesi perkongsian pengalaman.

Kami diberikan taklimat mengenai sejarah, maklumat terkini pelajar dan guru, pencapaian pelajar, misi serta visi sekolah. Warga sekolah juga rasa bertuah kerana jika sebelum ini mereka hanya dikunjungi pegawai-pegawai pendidikan, kali ini mereka bertemu selebriti dan pendaki-pendaki hebat.
Oleh kerana jumlah murid yang tidak ramai, sesi pembelajaran secara berkumpulan atau gabung kelas dari prasekolah hingga tahun enam terpaksa dilakukan. Kekurangan murid juga menghalang sekolah itu menghantar pasukan untuk menyertai acara sukan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSP). Namun, guru-guru mengambil inisiatif untuk menghantar murid menyertai sukan individu seperti perahu layar. Pencapaian mereka dalam sukan itu juga agak membanggakan, sekali gus memasang impian untuk melahirkan atlet Sukan Malaysia (Sukma) pada masa hadapan.
Sesi motivasi dimulakan dengan pelakon popular Azhan Rani yang berkongsi pengalaman suka-duka sebagai artis, sebelum diambil-alih pendaki Gunung Everest, Dato’ Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang bercerita mengenai beberapa kejayaan menjelajah dunia yang membanggakan negara termasuk menawan puncak tertinggi di dunia, Gunung Everest di Nepal.
Melengkapkan sesi motivasi berkenaan ialah Zainuri Misfar, seorang bekas wartawan Berita Harian dan pelakon hebat dalam filem Hantu Kak Limah. Beliau berkongsi cerita mengenai cita-cita zaman remaja, suka-duka kehidupan wartawan dan keseronokan menjadi pelakon.
Semoga perkongsian pengalaman oleh tokoh-tokoh hebat itu akan membuka minda dan memberikan motivasi kepada murid-murid untuk belajar bersungguh-sungguh, sekali gus menjadi orang yang berjaya suatu masa nanti.
Pada pertemuan itu juga, Dato’ Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin melalui Kelab Kembara Kosmopolitan menyampaikan sumbangan wang tunai untuk kegunaan pihak sekolah. Turut memberikan sumbangan ialah Azhan Rani dan Khalid Abd Hanid.
Bagi menutup pertemuan ringkas itu, murid-murid diberi peluang bertemu dan beramah mesra bersama tiga ikon mereka dalam sesi autograf, sebelum di akhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai yang berlatarbelakangkan Gunung Nenek Semukut.
Kunjungan itu diakhiri dengan reaksi spontan murid-murid yang meminta autograf daripada semua tetamu yang hadir termasuk Pakman Perak yang kebetulan berada di hadapan sekolah, dari atas basikal elektrik beliau.
Penduduk Kampung Mukut
Kampung Mukut ialah sebuah perkampungan yang terletak di selatan Pulau Tioman, Pahang. Ia terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara, air terjun yang cantik serta statusnya sebagai perkampungan sunyi yang jauh daripada kesibukan bandar.
Antara tarikan utama di kampung itu ialah Air Terjun Asah yang membekalkan air bersih kepada penduduk. Kawasan itu pernah menjadi lokasi penggambaran filem Hollywood. Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan pengunjung ialah mendaki Gunung Nenek Semukut, merasai pengalaman berjalan di via ferrata, mandi pantai dan jalan-jalan di dalam hutan hujan tropika.
Sebenarnya, perancangan kami untuk menawan Via Ferrata Gunung Nenek Semukut atau Dragon Horns sudah bermula lebih enam bulan lepas. Selepas kami berjaya menamatkan misi ke Gurkha Hut, kami teringin untuk mencuba laluan Via Ferrata Gunung Kinabalu. Sebagai persediaan, kami merancang untuk mencuba Dragon Horns kerana kebanyakan daripada kami belum pernah menaiki via ferrata.
Banyak kenangan yang dicipta di Kampung Mukut berlaku secara spontan. Watak-watak istimewa seperti Pakman Perak, Cikgu Anis, Kak Mas dan pasukan Mukut Venture yang diketuai Zhafri Zamros melatari pengembaraan selama tiga hari dua malam kami di kampung itu dari 15 hingga 17 Ogos 2026.

Kami memulakan perjalanan dari Jeti Mersing dengan menaiki Feri Juara Mutiara selama kira-kira dua jam untuk sampai di Jeti Kampung Mukut. Ketibaan kami disambut oleh pekerja Sri Sentosa Chalet yang membawa beg-beg kami menggunakan motosikal beroda tiga, manakala kami berjalan kamai ke chalet.
Sepanjang perjalanan ke chalet, kami disapa penduduk kampung yang mengalu-alukan kedatangan kami ke kampung itu. Kemesraan itu bukan dibuat-buat kerana situasi itu berterusan sehingga kami pulang tiga hari kemudian, sekali gus membuktikan penduduk kampung berkenaan memang mesra pelancong.
Pemandangan kami juga banyak terarah kepada dua batu granit yang berdiri megah di belakang kampung itu. Gunung Nenek Semukut atau Dragon Horns menjadi dambaan peminat aktiviti ekstrem. Walaupun sesekali batu itu hilang daripada pandangan kerana dilitupi awan, kami tetap teruja untuk berada di puncak gunung itu dan berjalan di via ferrata yang tertinggi di Semenanjung itu.
Secara kesimpulannya, Kampung Mukut merupakan sebuah kampung kecil di selatan Pulau Tioman. Populasi penduduknya sekitar 200 hingga 300 orang tetapi mempunyai semua kemudahan asas seperti bekalan elektrik, liputan internet, masjid, pondok polis, klinik desa, jeti dan sebagainya.
Penduduk hidup dalam suasana harmoni dan saling mengenali antara satu sama lain. Mungkin ada hubungan kekeluargaan yang mempunyai pertalian darah. Persefahaman dalam urusan harian terutamanya perniagaan. Hanya ada satu kedai runcit yang beroperasi manakala kedai sarapan pagi, minum petang dan makan malam beroperasi seakan-akan mengikut shif. Masing-masing ada waktu perniagaan sendiri. Medium pengangkutan hanya motosikal dan basikal.
Kampung itu juga mempunyai tarikan tersendiri seperti Air Terjun Asah, Gunung Nenek Semukut dan pantai cantik yang boleh dijadikan daya tarikan untuk menggamit kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
Jadi, jika pelancong inginkan percutian yang tenang dan jauh daripada hiruk-pikuk, Kampung Mukut adalah pilihan terbaik.
Menurut cerita, jeti lama di kampung itu roboh dipukul ombak beberapa tahun lalu. Situasi itu menyebabkan jalan perhubungan ke kampung berkenaan terputus beberapa tahun sebelum jeti baru dibina. Situasi itu turut menjejaskan aktiviti pelancongan di kampung berkenaan.
Bagaimanapun, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dan ditambah baik jika mahu menjadi destinasi utama tumpuan melancong. Di sepanjang jalan utama, terdapat banyak bangunan rumah, chalet dan penginapan yang terbengkalai atau terbiar. Hanya menunggu masa untuk roboh, sekali gus merosakkan pemandangan dan keindahan kampung itu.
Tempat-tempat penginapan seperti chalet, resort atau hotel perlu ditambah. Begitu juga dengan pusat perniagaan. Perlu pelbagaikan sumbar alam semula jadi yang terdapat di kampung itu. Mewujudkan aktiviti pantai di sekitar kampung seperti snorkeling, diving dan sebagainya. Pantai yang berbatu dan tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda itu mungkin boleh ditambah baik menjadi pantai yang mesra pelancong.
Mungkin sudah tiba masanya, anak-anak jadi Kampung Mukut yang berada di perantauan pulang ke kampung halaman mereka. Majukan kampung itu kerana di situ banyak lokasi pelancongan yang menarik. Pihak berkuasa tempatan, Ahli Parlimen atau Adun di kawasan itu juga sudah boleh buka mata. Jangan hanya nampak kuman di seberang laut tetapi tidak nampak gajah di pelupuk mata.
