Mengapa seluruh badan terasa sakit bila diserang influenza?

Jika influenza merupakan jangkitan saluran pernafasan, mengapa seluruh badan pula terasa sakit?

Feature Image

PERNAHKAH anda mengalami influenza sehingga seluruh badan terasa seolah-olah baru “dipukul”? Kepala berdenyut, otot dan sendi terasa sakit, badan menggigil dan tenaga seakan-akan hilang. Lebih mengejutkan, gejala ini boleh muncul secara mendadak. Semalam masih aktif bekerja dan menjalankan rutin harian, tetapi hari ini hanya mahu berbaring dan berehat.

Persoalannya, jika influenza merupakan jangkitan saluran pernafasan, mengapa seluruh badan pula terasa sakit?

Jawapannya banyak berkait dengan cara sistem pertahanan badan bertindak balas terhadap virus, bukannya kerana virus influenza menyerang setiap otot dan sendi.

Tubuh membunyikan ‘penggera’

Influenza ialah jangkitan saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza. Influenza A dan B merupakan jenis utama yang menyebabkan influenza bermusim dalam kalangan manusia, manakala influenza C biasanya menyebabkan jangkitan lebih ringan. Influenza D pula kebanyakannya menjangkiti haiwan.

Apabila virus influenza menjangkiti sel yang melapisi saluran pernafasan, sistem pertahanan badan segera bertindak. Sel yang dijangkiti bersama sel-sel pertahanan menghasilkan pelbagai bahan kimia yang bertindak seperti “mesej kecemasan”, memberi amaran kepada tubuh bahawa jangkitan sedang berlaku.

Antaranya ialah bahan yang dikenali sebagai sitokin seperti interleukin-1, interleukin-6, TNF dan interferon. Nama-nama ini mungkin kedengaran kompleks, tetapi fungsinya mudah difahami. Sitokin boleh diibaratkan sebagai sistem komunikasi kecemasan dalam badan.

Ia membantu sel-sel pertahanan berkomunikasi dan menyelaraskan tindak balas untuk mengawal jangkitan. Namun, tindak balas yang membantu melawan virus itu juga menyumbang kepada gejala seperti demam, sakit kepala, sakit badan dan keletihan.

Sakit otot atau myalgia merupakan antara gejala yang sinonim dengan influenza. Apabila paha, belakang atau bahu terasa lenguh, kita mungkin menyangka virus sedang menyerang semua otot tersebut. Hakikatnya, tidak semestinya begitu. Bahan yang dihasilkan ketika tindak balas keradangan boleh meningkatkan kepekaan tubuh terhadap kesakitan. Akibatnya, otot terasa berat, lenguh atau sakit walaupun lokasi utama jangkitan sebenarnya berada di saluran pernafasan.

Begitu juga apabila sendi terasa sakit. Dalam kebanyakan kes influenza biasa, ia bukan bermaksud virus menyerang setiap sendi. Ringkasnya, jangkitan mungkin bermula di satu tempat, tetapi “penggera” yang dibunyikan oleh sistem pertahanan badan boleh memberi kesan kepada seluruh tubuh.

Ketika tubuh melawan influenza, banyak proses pertahanan berlaku serentak. Sistem imun diaktifkan, protein pertahanan dihasilkan dan tisu yang terjejas perlu dipulihkan. Bahan yang dihasilkan semasa tindak balas imun juga boleh mempengaruhi otak. Sebab itulah seseorang boleh berasa mengantuk, kurang bertenaga, hilang selera makan dan hanya mahu berehat.

Walaupun keadaan ini tidak menyenangkan, keinginan untuk berehat sebenarnya membantu tubuh mengurangkan aktiviti yang tidak diperlukan ketika sedang melawan jangkitan. Demam pula merupakan sebahagian daripada tindak balas pertahanan badan. Apabila jangkitan dikesan, tubuh menaikkan suhu sebagai sebahagian daripada usaha melawan virus. Perubahan inilah yang menyebabkan seseorang boleh berasa sejuk dan menggigil ketika suhu badan sedang meningkat.

Ubat seperti paracetamol boleh diambil mengikut dos yang sesuai untuk mengurangkan demam dan kesakitan supaya pesakit lebih selesa dan dapat berehat secukupnya.

Influenza bukan selesema biasa

Influenza juga tidak sama dengan selesema biasa walaupun kedua-duanya boleh menyebabkan batuk, sakit tekak serta hidung berair atau tersumbat. Influenza lebih cenderung menyebabkan gejala seluruh badan yang ketara seperti demam atau menggigil, sakit kepala, sakit otot dan keletihan. Gejalanya juga sering muncul dengan lebih mendadak.

Bagi kebanyakan individu yang sihat, influenza akan pulih dengan rehat mencukupi, minum air secukupnya dan rawatan untuk mengurangkan gejala. Namun, influenza boleh menjadi lebih serius dalam kalangan warga emas, kanak-kanak, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit kronik atau sistem pertahanan badan yang lemah.

Kesukaran bernafas, sakit dada, kekeliruan, dehidrasi yang ketara atau gejala yang semakin teruk memerlukan penilaian perubatan. Jadi, apabila influenza membuatkan seluruh badan terasa sakit, jangan terus membayangkan virus sudah merebak ke setiap otot dan sendi.

Sebahagian besar rasa lenguh, demam dan keletihan sebenarnya berkait dengan tindak balas sistem pertahanan badan terhadap jangkitan. Virus menyerang saluran pernafasan, tetapi “mesej kecemasan” daripada sistem imun boleh dirasakan oleh seluruh tubuh.

Apabila influenza menyerang, berilah tubuh masa untuk pulih. Berehat secukupnya, minum air yang mencukupi dan dapatkan rawatan apabila perlu. Rasa letih yang memaksa kita memperlahankan aktiviti mungkin sebenarnya tanda bahawa sistem pertahanan badan sedang bekerja keras melawan jangkitan.