Membina peluang kerjaya setelah memilih

Memilih program pengajian bukanlah seperti memilih satu jalan yang menjamin destinasi tertentu, sebaliknya ia lebih dekat kepada konsep kebarangkalian.

Feature Image (9)

Oleh DR. NORLI ANIDA dan HAZIQ HALIFI

SEJAK keputusan kemasukan universiti diumumkan, telefon saya menerima beberapa mesej daripada sepupu dan kenalan. Ada yang gembira kerana anak mendapat program yang ditawarkan. Ada yang kecewa kerana anak tidak memperoleh bidang yang diimpikan. Ada juga yang sukar menerima hakikat bahawa anak tidak berjaya memasuki universiti pilihan.

Saya memahami perasaan itu. Anak saya sendiri baru di Tahun Enam, tetapi saya sudah mula memikirkan laluan kerjayanya. Apakah pekerjaan yang akan wujud nanti? Adakah program pengajian yang popular hari ini masih relevan tiga atau empat tahun selepas seseorang pelajar bergraduasi?

Dengan kecerdasan buatan, automasi dan teknologi berkembang begitu pantas, ditambah perubahan dasar kerajaan serta ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global, kebimbangan tentang peluang pekerjaan memang berasas. Semua perubahan ini boleh mempengaruhi industri yang berkembang, kemahiran yang diperlukan dan jenis pekerjaan yang tersedia.

Namun, memilih program pengajian bukanlah seperti memilih satu jalan yang menjamin destinasi tertentu. Ia lebih dekat kepada konsep kebarangkalian atau probability.

Dalam bahasa mudah, setiap pilihan hanya menaikkan atau menurunkan peluang untuk sesuatu berlaku. Contohnya, mengambil program teknologi tidak menjamin seseorang akan terus mendapat pekerjaan bergaji tinggi tetapi jika program itu memberi kemahiran yang diperlukan industri, pengalaman projek dan latihan praktikal, peluangnya mungkin menjadi lebih baik.

Begitu juga, tidak mendapat program pilihan pertama bukan bermaksud peluang untuk berjaya sudah tertutup. Seorang pelajar yang mengambil bidang perniagaan, misalnya, masih boleh membina kemahiran analisis data dan bekerja dalam industri teknologi. Graduan kejuruteraan pula mungkin akhirnya membina kerjaya dalam pengurusan produk, kewangan atau keusahawanan.

Ibarat membawa payung apabila langit mendung. Payung tidak menjamin kita tidak akan terkena hujan langsung, tetapi ia mengurangkan risikonya. Begitulah juga dengan keputusan pendidikan, kita tidak mampu meramal masa depan dengan tepat, tetapi kita boleh membantu anak membuat pilihan yang meningkatkan kebarangkalian untuk mereka menyesuaikan diri dan berjaya.

Jadi, selain bertanya “Program ini boleh dapat kerja apa?”, ibu bapa dan anak-anak boleh mempertimbangkan beberapa soalan lain. Adakah bidang itu sesuai dengan minat dan kekuatan anak? Apakah kemahiran sebenar yang akan dipelajari? Adakah program tersebut menyediakan projek industri, latihan praktikal atau peluang membina portfolio? Bolehkah kemahiran itu digunakan merentas beberapa pekerjaan? Berapakah kos pengajian dan adakah pulangannya munasabah?

Kita juga perlu membezakan antara nama program dengan nilai pengalaman belajar. Program yang kedengaran hebat belum tentu sesuai untuk semua orang. Universiti terkenal pula bukan satu-satunya pintu menuju kerjaya yang baik. Sikap ingin belajar, kemahiran berkomunikasi, penyelesaian masalah, literasi digital dan kebolehan menyesuaikan diri mungkin lebih tahan lama daripada satu gelaran pekerjaan.

Peranan ibu bapa bukan untuk menentukan seluruh masa depan anak. Kita boleh menjadi rakan berfikir: membantu mereka mengumpul maklumat, membandingkan pilihan, bercakap dengan mereka yang bekerja dalam industri dan menyediakan pelan alternatif.

Anak mungkin tidak mendapat pilihan pertama. Laluan mereka mungkin berubah beberapa kali. Itu bukan semestinya kegagalan.

Dalam dunia yang sentiasa berubah, keputusan terbaik bukanlah keputusan yang kononnya menjamin masa depan. Keputusan terbaik ialah keputusan yang membuka lebih banyak kemungkinan—sambil membantu anak mengenali diri, membina kemahiran dan bersedia untuk terus belajar.

* Dr. Norli Anida merupakan Pensyarah Kanan Matematik di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya serta pengasas DegreeMate.my manakala Haziq Halifi merupakan pengasas JomSkorSPM.my, pembangun DegreeMate.my dan graduan Fakulti Sains Komputer, Universiti Malaya.