Suara Siswa UiTM gesa dasar afirmatif diperluas kepada penempatan kolej kediaman
Terdapat ketidakseragaman antara dasar pengambilan pelajar dan penempatan kolej kediaman apabila faktor keperluan digunakan bagi memperluas akses kemasukan, namun penempatan kolej masih ditentukan menerusi sistem merit.
KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2026 – Suara Siswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) menggesa universiti itu menyelaraskan dasar penempatan kolej kediaman dengan prinsip dasar kemasukan bagi memastikan kemudahan bersubsidi disalurkan kepada mahasiswa yang benar-benar memerlukan.
Dalam kenyataan hari ini, Suara Siswa UiTM memaklumkan, terdapat ketidakseragaman antara dasar pengambilan pelajar dan penempatan kolej kediaman apabila faktor keperluan digunakan bagi memperluas akses kemasukan, namun penempatan kolej masih ditentukan menerusi sistem merit.
Ia merujuk kenyataan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin bahawa universiti itu tidak lagi mengambil pelajar antarabangsa sejak dua tahun lalu bagi memberi tumpuan kepada Bumiputera, khususnya anak keluarga B40, masyarakat Orang Asli serta penduduk Sabah dan Sarawak.
“Pendirian itu menunjukkan UiTM mengiktiraf bahawa latar belakang sosioekonomi dan keadaan seseorang pelajar boleh mempengaruhi peluang untuk mendapat akses kepada pendidikan tinggi.
“Namun, prinsip itu dilihat tidak diterapkan secara seragam dalam penempatan kolej kediaman,” menurut kenyataan itu.
Suara Siswa UiTM memaklumkan, sistem e-Merit yang digunakan bagi penempatan kolej mengambil kira pencapaian akademik, kokurikulum, jawatan serta penyertaan mahasiswa dalam aktiviti tertentu.
Menurut kenyataan itu, keadaan itu menyebabkan mahasiswa yang mendapat peluang pendidikan berdasarkan faktor keperluan kemudiannya perlu bersaing berdasarkan pencapaian untuk mendapatkan tempat tinggal.
“Persoalannya, adakah pencapaian akademik dan penglibatan dalam aktiviti merupakan ukuran mencukupi untuk menentukan siapa yang paling memerlukan tempat tinggal?
“Mahasiswa tidak memulakan pengajian daripada keadaan sosioekonomi yang sama. Mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah mungkin mempunyai tanggungjawab keluarga, perlu bekerja sambilan, tinggal jauh dari kampus atau mempunyai akses pengangkutan terhad,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, keadaan berkenaan pada masa sama boleh mengehadkan peluang mahasiswa terbabit menyertai aktiviti yang menghasilkan merit.
Suara Siswa UiTM memaklumkan, sistem penempatan berasaskan merit berpotensi menyebabkan faktor yang pada asalnya diambil kira bagi memperluas akses pendidikan kembali menjadi halangan apabila mahasiswa memerlukan sokongan selepas diterima masuk.
Ia turut merujuk laporan Utusan Malaysia pada 22 Ogos yang menunjukkan mahasiswa dengan merit tinggi masih gagal mendapat penempatan kolej kediaman, termasuk seorang mahasiswa yang memperoleh 41.25 merit dan seorang lagi lebih 60 merit.
“Bagi Suara Siswa UiTM, perkara itu bukan sekadar persoalan sama ada seseorang mahasiswa mempunyai merit yang mencukupi, sebaliknya persoalan lebih asas ialah sama ada sumber kolej yang terhad sedang diagihkan berdasarkan siapa yang paling memerlukannya,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, kegagalan mendapatkan penempatan kolej boleh menyebabkan mahasiswa menanggung kos sewa dan pengangkutan tambahan, sekali gus memberi kesan kepada mahasiswa daripada keluarga berkemampuan kewangan terhad.
Suara Siswa UiTM berkata akses kepada pendidikan tidak seharusnya berakhir selepas mahasiswa menerima tawaran kemasukan, sebaliknya kemampuan untuk terus menghadiri kuliah, menanggung kos kehidupan dan menamatkan pengajian juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada keupayaan memanfaatkan peluang pendidikan.
Ia berkata persoalan mengenai penggunaan merit dalam penempatan kolej bukan perkara baharu.
Kenyataan itu memaklumkan, pada Oktober 2019, Bernama dan Malaysia Gazette melaporkan gesaan Presiden Youth Build Nation (YBN) Haissazc Shuqkin Hisham supaya universiti mengutamakan pelajar B40 dan menghentikan pendekatan merit dalam penempatan kolej.
“Pengulangan persoalan yang sama menunjukkan keperluan untuk menilai semula prinsip yang digunakan dalam pengagihan kolej kediaman,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, Suara Siswa UiTM menggesa UiTM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelaskan sejauh mana faktor sosioekonomi, jarak kediaman, akses pengangkutan dan keperluan sebenar mahasiswa diberi pertimbangan dalam sistem penempatan kolej.
Ia turut menggesa supaya prinsip dasar afirmatif yang digunakan bagi memperluas akses pendidikan turut diperluaskan kepada sistem pengagihan kolej kediaman.
“Jika dasar afirmatif mengiktiraf bahawa ketidaksamaan latar belakang boleh menjadi halangan kepada akses pendidikan tinggi, prinsip yang sama wajar digunakan dalam pengagihan sumber universiti yang diperlukan bagi memastikan mahasiswa terus memanfaatkan pendidikan tersebut.
“Dasar afirmatif tidak seharusnya berhenti pada pengambilan, sebaliknya turut hadir dalam agihan sokongan yang membolehkan mahasiswa daripada kelompok kurang berkemampuan kekal dan berjaya dalam pendidikan tinggi,” menurut kenyataan itu.
