PKTAAB semai minat STEM dari bilik darjah ke dunia sebenar

Pemahaman menjadi lebih mudah apabila pelajar melihat sendiri bagaimana sesuatu berlaku, menjalankan eksperimen, bertanya dan memerhatikan hasilnya.

Feature Image (4)

Menghasilkan sabun daripada minyak terpakai.

KUALA LUMPUR, 1 September 2026 – “Sains susah”, “saya tidak faham sains” atau “saya memang tidak minat sains” merupakan ungkapan yang sering kita dengar daripada pelajar.

Bagi sesetengah mereka, sains kelihatan kompleks, dipenuhi istilah sukar, formula yang perlu diingati dan konsep yang sukar dibayangkan. Namun, tanpa disedari, kita sebenarnya hidup bersama sains setiap hari.

Daripada makanan yang dimasak, sabun yang digunakan, ubat yang diambil ketika sakit sehinggalah DNA yang membawa maklumat genetik dalam tubuh, kehidupan manusia hampir mustahil dipisahkan daripada sains.

Justeru, persoalannya bukan sekadar mengapa pelajar kurang meminati sains tetapi bagaimana kita boleh membantu mereka melihat sains daripada perspektif berbeza.

Buku teks dan penerangan guru penting untuk membina asas pengetahuan. Namun, bagi sesetengah konsep, pemahaman menjadi lebih mudah apabila pelajar melihat sendiri bagaimana sesuatu berlaku, menjalankan eksperimen, bertanya dan memerhatikan hasilnya.

Peserta dan sukarelawan bergambar kenangan pada penghujung program.

Pembelajaran secara praktikal atau hands-on mampu mengubah sesuatu yang abstrak menjadi pengalaman sebenar.

Usaha menyemai minat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga tidak seharusnya menjadi tanggungjawab sekolah dan guru semata-mata. Universiti, penyelidik, industri dan komuniti mempunyai kepakaran serta pengalaman yang boleh dimanfaatkan bagi melengkapkan pendidikan di sekolah.

Semangat inilah yang membawa sekumpulan pensyarah, penyelidik dan pelajar pascasiswazah dari Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) ke SMK Tun Abang Haji Openg, Kuching, Sarawak.

Program “Menyemai Minat Sains, Mencetus Inspirasi Masa Depan” pada 5 Ogos 2026, sempena International BioHealth Sciences Conference (IBSC) 2026, melibatkan 125 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat.

Pasukan PKTAAB dengan kepakaran dalam biologi molekul, virologi, farmakokinetik dan genetik memberi peluang kepada pelajar mengenali kepelbagaian bidang yang sebenarnya berada di sebalik perkataan “sains”.

Melihat sendiri DNA

Pelajar bukan sekadar mendengar penerangan mengenai DNA. Mereka berpeluang melakukan sendiri aktiviti pengekstrakan DNA daripada buah strawberi. Konsep yang sebelumnya hanya dilihat melalui rajah buku teks kini dapat diperhatikan dengan mata sendiri.

Konsep genetik dan pewarisan turut diterokai melalui aktiviti interaktif, sementara pameran penyelidikan kanser dan bioperubatan menunjukkan bagaimana ilmu sains asas boleh berkembang menjadi persoalan penyelidikan yang cuba dijawab oleh saintis.

Pengalaman ini turut menyampaikan mesej bahawa sains tidak bergerak secara terasing. Dalam dunia penyelidikan sebenar, terutama berkaitan kesihatan dan penyakit, pelbagai disiplin perlu bekerjasama.

Seseorang yang meminati genetik misalnya mungkin suatu hari nanti bekerjasama dengan pakar virologi, farmakologi atau biologi molekul. STEM sebenarnya membuka banyak laluan, bukan mengehadkan pelajar kepada satu kerjaya sahaja.

Daripada minyak terpakai menjadi sabun

Sains juga tidak semestinya memerlukan peralatan canggih. Kadangkala bahan pembelajaran terbaik berada di dapur rumah.

Melalui aktiviti EcoSoap, pelajar diperkenalkan kepada penggunaan minyak masak terpakai untuk menghasilkan sabun melalui proses saponifikasi.

Dr. Siti Razila menerima cenderahti program.

Mereka dapat melihat bagaimana tindak balas kimia berlaku dalam situasi sebenar apabila bahan yang dianggap sisa bertukar menjadi produk yang mempunyai kegunaan baharu.

Aktiviti ini menggabungkan pembelajaran kimia, kreativiti dan kesedaran terhadap kelestarian. Lebih penting, ia mengajar pelajar melihat “sisa” daripada perspektif berbeza.

Minyak masak terpakai yang sebelumnya dianggap bahan buangan sebenarnya masih mempunyai nilai apabila digabungkan dengan pengetahuan dan kreativiti.

Pemahaman sedemikian penting kerana pendidikan kelestarian bukan sekadar meminta generasi muda menghafal kepentingan menjaga alam sekitar. Mereka perlu memahami mengapa sesuatu tindakan penting dan bagaimana ilmu boleh digunakan untuk menghasilkan penyelesaian lebih baik.

Kesihatan manusia dan alam sekitar juga saling berkait. Kita bergantung kepada persekitaran untuk mendapatkan air, makanan dan udara, manakala cara manusia menggunakan sumber serta menguruskan sisa akhirnya memberi kesan kembali kepada kesejahteraan manusia.

Ilmu tidak harus terhenti di makmal

Pengalaman bersama pelajar sekolah ini turut mengingatkan bahawa ilmu yang dibangunkan di universiti tidak seharusnya terhenti di makmal, persidangan atau penerbitan akademik.

Universiti mempunyai penyelidik, mahasiswa, kemudahan dan kepakaran yang boleh dimanfaatkan untuk membawa sains lebih dekat kepada masyarakat.

Satu program selama beberapa jam mungkin tidak serta-merta menentukan sama ada seseorang pelajar akan memilih kerjaya STEM. Namun, pengalaman kecil boleh menjadi titik permulaan.

Seorang pelajar mungkin mengingati DNA yang berjaya diekstrak. Seorang lagi mungkin tertarik dengan genetik atau penyelidikan kanser. Yang lain mungkin masih tertanya-tanya bagaimana minyak masak terpakai boleh bertukar menjadi sabun.

Itulah sebenarnya permulaan kepada sains iaitu rasa ingin tahu.

Sains sememangnya berada di sekeliling kita. Cabaran kita bukan hanya meyakinkan generasi muda bahawa sains itu penting, tetapi memberikan lebih banyak peluang kepada mereka untuk melihat, mengalami dan menerokainya sendiri.

Apabila sekolah, universiti, penyelidik, industri dan masyarakat bersama-sama membawa sains lebih dekat kepada kehidupan pelajar, mungkin suatu hari nanti ungkapan “sains itu susah” akan berubah menjadi satu pertanyaan yang jauh lebih bermakna: “Apa lagi yang boleh saya cuba?”