Apabila jawapan semakin mudah, apa lagi yang perlu dipelajari?

Pendidikan masa depan perlu melangkaui STEM dengan menggabungkan sains, teknologi, kemanusiaan dan kreativiti. Dalam era AI, ilmu, pemikiran kritis dan kebijaksanaan menjadi semakin penting.

Feature Image (1)

Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, tidak lagi wajar dilihat secara terpisah daripada kemahiran kemanusiaan.

KITA mendapatkan jawapan tentang hampir apa sahaja. Kecerdasan buatan pula menjadikan proses mencari, meringkas dan menghasilkan informasi semakin pantas tetapi di tengah-tengah lambakan informasi ini, satu persoalan yang lebih penting perlu ditanya, adakah semua informasi itu benar-benar menjadi ilmu?

Persoalan ini semakin relevan apabila dunia mula membayangkan bentuk pekerjaan dan pendidikan masa depan. Perbincangan tentang STEM, iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, tidak lagi wajar dilihat secara terpisah daripada kemahiran kemanusiaan.

McKinsey misalnya, telah menegaskan bahawa persoalannya bukan lagi memilih antara STEM atau bidang kemanusiaan, tetapi mengenal pasti kemahiran yang mampu bertahan dan bidang yang mempunyai permintaan yang berkembang. Dalam era AI, kemahiran teknikal perlu dilengkapi dengan kreativiti, pertimbangan, empati, komunikasi, rundingan dan kemahiran interpersonal yang sukar diautomasi.

Sehubungan itu, perkembangan konsep STEAM, yang menghubungkan STEM dengan seni dan kreativiti, mencerminkan keperluan pendidikan masa depan untuk menggabungkan pelbagai disiplin dan cara berfikir, bukan sekadar memilih satu bidang sebagai laluan paling “selamat”.

Laporan Future of Jobs Report 2025 oleh World Economic Forum menunjukkan bahawa 39 peratus kemahiran utama pekerja dijangka berubah menjelang 2030. Selain kecerdasan buatan (AI) dan big data, kemahiran seperti pemikiran analitikal, kreatif, daya tahan, kepimpinan, empati dan pendengaran aktif, serta pembelajaran sepanjang hayat kekal penting dalam membentuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan.

Maka, mungkin sudah tiba masanya kita berhenti melihat STEM dan kemanusiaan (humanities) sebagai dua dunia yang bersaing kerana masalah sebenar manusia tidak datang dalam bentuk “subjek”. Kesihatan, misalnya, memerlukan sains perubatan, teknologi, psikologi, komunikasi, etika dan dasar. Perubahan iklim memerlukan sains, ekonomi, dasar awam dan perubahan tingkah laku. AI pula bukan hanya persoalan teknologi, tetapi turut menyentuh undang-undang, falsafah, budaya, etika dan kehidupan manusia.

Di sinilah pendidikan multidisiplin menjadi penting. Namun, pendidikan masa depan bukan sekadar menggabungkan lebih banyak subjek. Kita juga perlu kembali bertanya tentang makna ilmu.

Informasi memberitahu kita sesuatu. Ilmu membawa kita lebih jauh iaitu kepada tahu, faham, mampu menilai, menjelaskan dan mempertimbangkan mengapa sesuatu itu berlaku atau wajar dilakukan. Ilmu memberi makna kepada apa yang kita ketahui dan mengubah cara kita melihat serta bertindak. Dalam pengertian yang lebih luas, ilmu membawa seseorang daripada ketidaktahuan kepada kefahaman, daripada kegelapan kepada pencerahan, dan seterusnya berupaya mencerahkan orang lain.

Dalam era AI, perbezaan ini menjadi semakin penting. Jika mesin boleh menghasilkan informasi dalam beberapa saat, nilai pendidikan tidak boleh hanya terletak pada kemampuan menghafal dan mengumpulkan informasi. Yang semakin berharga ialah kemampuan memahami, menilai, menghubungkan dan menggunakan pengetahuan dengan bertanggungjawab.

Justeru, pendidikan yang memanusiakan manusia bukanlah pendidikan yang menolak teknologi. Sebaliknya, ia adalah pendidikan yang bersifat semasa dan berorientasikan masa depan dengan menggunakan teknologi untuk memperkukuh keupayaan manusia, bukan menggantikan nilai kemanusiaan.

Dalam konteks Malaysia, pendekatan ini membuka ruang yang menarik kepada pelajar sekolah menengah agama, termasuk SMKA. Pelajar yang meminati bidang sains tidak semestinya perlu meninggalkan Pengajian Islam atau Bahasa Arab untuk mengejar bidang profesional. Mereka boleh dibentuk dengan kedalaman ilmu dalam satu bidang, tetapi pada masa yang sama mempunyai kefahaman merentas disiplin.

Program seperti Sarjana Muda Pengajian Islam dan Sains yang ditawarkan oleh Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) menunjukkan bahawa sempadan antara disiplin tidak semestinya menjadi sempadan kepada pelajar. Sains boleh berkembang bersama pengajian Islam, Bahasa Arab, etika dan kefahaman tentang manusia dan masyarakat.

Akhirnya, mungkin persoalan pendidikan masa depan bukan lagi “STEM atau kemanusiaan?”, tetapi “Apakah gabungan ilmu yang diperlukan untuk menghadapi masa depan yang belum kita kenali?”

Oleh itu, pendidikan yang benar-benar bersedia untuk masa depan ialah pendidikan yang bukan sekadar menghasilkan manusia yang tahu, tetapi manusia yang faham, memberi makna dan menggunakan ilmu untuk menjadikan kehidupan lebih baik.

Hasil akhir pendidikan bukanlah sebanyak mana informasi yang mampu dikumpulkan, tetapi sejauh mana seseorang mampu menggunakan ilmu untuk membuat keputusan yang benar dan tepat, berdasarkan pertimbangan ilmu yang sahih, konteks semasa, penilaian terhadap bukti serta kebijaksanaan dalam menilai informasi yang diterima.

Keupayaan ini menjadi semakin penting dalam dunia digital yang dibanjiri data, algoritma dan informasi. Kita mungkin mempunyai lebih banyak informasi daripada generasi sebelumnya, tetapi pada masa yang sama berdepan risiko “lemas” dalam lautan data sehingga kita cenderung menerima sesuatu sebagai benar hanya kerana ia tular, dihasilkan oleh teknologi atau kelihatan meyakinkan.

Dalam keadaan ini, pendidikan perlu membentuk manusia yang bukan sahaja pantas mendapatkan jawapan, tetapi mampu berhenti seketika untuk bertanya: Adakah informasi ini benar? Apakah buktinya? Apakah konteksnya? Apakah kesannya? Dan apakah keputusan yang wajar dibuat berdasarkan ilmu yang kita miliki?

Jika STEM membantu kita memahami dan membina dunia, STEAM mengingatkan kita bahawa dunia tetap dihuni manusia. Maka, masa depan pendidikan bukan sekadar tentang melahirkan manusia yang lebih berpengetahuan, tetapi manusia yang celik teknologi, matang dalam pertimbangan, kritis terhadap informasi, berpegang pada nilai dan mampu menggunakan ilmu untuk membuat keputusan yang benar serta membina kehidupan yang lebih baik.