Daripada penjaga ilmu kepada arkitek pengetahuan, pustakawan mendepani era AI

Era AI menuntut perpustakaan dan pustakawan berubah daripada sekadar mengurus maklumat kepada rakan strategik yang menghubungkan data, manusia, penyelidikan dan inovasi.

Feature Image

Oleh: MOHD ALFARABIE MOHD NASIR
Pustakawan Kanan, Jabatan Perpustakaan UiTM Shah Alam

KUALA LUMPUR, 23 September 2026 – Apabila kecerdasan buatan (AI) mampu menghasilkan jawapan dalam beberapa saat, merumuskan ribuan halaman maklumat dan membantu manusia membuat pelbagai tugasan kompleks, satu persoalan semakin relevan, iaitu apakah perpustakaan dan pustakawan masih diperlukan?

Jawapannya bukan terletak pada berapa banyak buku yang tersusun di rak, jumlah pangkalan data yang dilanggan atau berapa ramai pengunjung yang memasuki perpustakaan. Sebaliknya, nilai perpustakaan masa hadapan semakin bergantung kepada keupayaannya membantu manusia menentukan maklumat mana yang benar, bukti mana yang boleh dipercayai dan bagaimana pengetahuan itu boleh diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak.

Persoalan inilah yang menjadi antara inti pati Program Kepimpinan Perpustakaan UiTM Siri 10 anjuran Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang menghimpunkan dua tokoh berpengalaman dalam ekosistem sains, inovasi dan pendidikan tinggi negara, iaitu Fellow Akademi Sains Malaysia (ASM), Hazami Habib dan Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail.

Program pada 21 September 2026 itu membuka ruang kepada warga Perpustakaan UiTM melihat profesion kepustakawanan daripada perspektif yang lebih luas, bukan sekadar mengurus maklumat, tetapi membina ekosistem ilmu yang mampu mendepani perubahan teknologi, penyelidikan, pendidikan tinggi dan keperluan masyarakat.

Perpustakaan perlu kekal “vibrant”

Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Azizi Jantan menekankan bahawa pelbagai inisiatif yang digerakkan oleh Perpustakaan UiTM perlu dipetakan dengan perubahan dan hala tuju pendidikan tinggi negara.

Beliau mengingatkan bahawa perpustakaan perlu terus berkembang sebagai sebuah “vibrant centre of learning” dan pada masa sama mengekalkan falsafah humanising library dalam menghadapi perubahan teknologi.

Dengan kekuatan 39 rangkaian perpustakaan dan 556 warga, Perpustakaan UiTM mempunyai kapasiti yang besar untuk menggerakkan perubahan sekiranya kekuatan tersebut diterjemahkan melalui kolaborasi, pemetaan keutamaan dan pelaksanaan inisiatif yang memberikan impak sebenar kepada universiti.

Kekuatan sesebuah perpustakaan, dalam konteks ini, bukan hanya pada saiz fizikal atau koleksinya tetapi sejauh mana ia menjadi sebahagian daripada kecemerlangan universiti dan kehidupan intelektual masyarakat kampus.

Apabila maklumat terlalu banyak, kepercayaan menjadi semakin bernilai

Jika suatu ketika dahulu cabaran manusia ialah mendapatkan maklumat, era digital dan AI telah membalikkan keadaan tersebut. Maklumat kini bukan lagi sesuatu yang sukar diperoleh. Sebaliknya, manusia berhadapan dengan limpahan maklumat yang datang daripada pelbagai sumber dengan tahap kesahihan yang berbeza. Di sinilah kedua-dua penceramah melihat ruang baharu kepada profesion pustakawan.

Profesor Emerita Datuk Dr. Asma menyifatkan cabaran hari ini bukan lagi sama ada perpustakaan akan terus bertahan. Menurut beliau, “survival is not the same as relevance.”

Perpustakaan boleh terus wujud, tetapi kewujudan fizikal semata-mata tidak menjadikannya relevan. AI pula mampu menghasilkan kandungan yang kelihatan meyakinkan sehingga pengguna mungkin sukar membezakan fakta, manipulasi, bias atau maklumat yang tidak mempunyai asas bukti. Dalam persekitaran sebegini, keupayaan pustakawan menilai sumber, kesahihan bukti, asal-usul maklumat dan integriti pengetahuan menjadi semakin penting.

Justeru, beliau melihat peranan pustakawan perlu bergerak daripada penjaga maklumat kepada kurator, daripada penyedia maklumat kepada rakan pengetahuan, daripada jurulatih pangkalan data kepada pendidik literasi AI, serta daripada pengurus koleksi kepada arkitek ekosistem pengetahuan.

Teknologi tidak semestinya menghapuskan profesion pustakawan. Sebaliknya, AI menjadikan beberapa nilai teras profesion ini ketepatan, bukti, integriti, etika dan kepercayaan semakin diperlukan.

Daripada “knowledge keeper” kepada “knowledge architect”

Pandangan tersebut mempunyai persamaan kuat dengan gagasan yang diketengahkan Hazami Habib menerusi perbincangan mengenai Open Science dan Open Innovation.

Menurut beliau, pustakawan perlu melihat diri mereka bukan lagi sekadar knowledge keeper, tetapi sebagai “knowledge architect”.

Perubahan istilah ini membawa perubahan pemikiran yang besar. Seorang arkitek ilmu bukan sekadar menyimpan pengetahuan. Mereka menghubungkan manusia dengan data, penyelidik dengan penyelidik lain, universiti dengan industri, ilmu dengan pembuat dasar, serta pengetahuan dengan masalah sebenar masyarakat.

Tanpa hubungan tersebut, pengetahuan yang bernilai boleh terus tersimpan tanpa memberikan manfaat yang sepatutnya.
Hazami mengingatkan bahawa jika ilmu tidak dihubungkan dan dimanfaatkan, “knowledge tinggal dalam gudang.”

Justeru, perpustakaan masa hadapan tidak seharusnya sekadar menjadi tempat pengetahuan disimpan. Ia perlu menjadi ruang di mana pengetahuan ditemukan, dihubungkan, diuji, dikongsi dan diterjemahkan kepada inovasi serta penyelesaian.

Open Science membuka nilai baharu kepada data penyelidikan

Dalam konteks ini, Open Science memberikan satu lagi ruang strategik kepada perpustakaan akademik. Nilai penyelidikan bukan hanya terletak pada artikel jurnal yang diterbitkan pada penghujung sesuatu kajian. Di sebalik penerbitan tersebut terdapat data mentah, pemerhatian, eksperimen dan pengalaman penyelidik yang mungkin mempunyai nilai besar kepada penyelidik lain. Melalui pengurusan data penyelidikan yang baik, pustakawan boleh bekerjasama dengan penyelidik bagi memastikan data dapat ditemukan, diakses dan digunakan semula mengikut prinsip yang sesuai.

Hazami mengaitkannya dengan prinsip FAIR: Findable, Accessible, Interoperable and Reusable. Pendekatan ini turut membuka kemungkinan kepada institusi seperti UiTM membangunkan repository berasaskan kekuatan dan identitinya sendiri, termasuk khazanah berkaitan Jawi, tamadun Melayu serta bidang penyelidikan yang menjadi kekuatan universiti.

Data dan khazanah yang tersusun bukan sahaja memelihara memori intelektual institusi, tetapi juga berpotensi mempercepatkan penyelidikan baharu kerana generasi seterusnya tidak semestinya perlu bermula semula dari titik kosong.
Open Science seterusnya boleh membuka jalan kepada Open Innovation, apabila ilmu dan data dihubungkan dengan kepakaran, industri, kerajaan dan masyarakat untuk menghasilkan penyelesaian bersama. Di sinilah perpustakaan boleh memainkan peranan sebagai penghubung dalam rantaian pengetahuan tersebut.

Jangan bersaing dengan AI

Satu mesej penting yang muncul daripada kedua-dua sesi ialah pustakawan tidak perlu melihat AI sebagai pesaing.
Mesin mempunyai kelebihan mengendalikan jumlah data yang besar, mengenal pasti pola dan menghasilkan pelbagai kemungkinan dengan pantas. Namun, manusia masih mempunyai peranan penting dalam memberikan konteks, membuat pertimbangan, menilai implikasi etika serta menentukan tindakan yang wajar.

Profesor Emerita Datuk Dr. Asma merumuskan hubungan masa hadapan itu melalui gabungan pustakawan + AI + pertimbangan manusia.

AI boleh mengenal pasti pola, tetapi manusia memberikan konteks. AI boleh menghasilkan kemungkinan, tetapi pustakawan membantu mengesahkan bukti. AI boleh meningkatkan kecekapan, tetapi manusia perlu melindungi integriti.

Semakin pintar mesin menghasilkan jawapan, semakin penting pula keupayaan manusia bertanya soalan yang lebih baik.
Atas sebab itu, literasi maklumat yang selama ini menjadi kekuatan perpustakaan perlu berkembang kepada literasi AI dan pengetahuan. Pengguna bukan sahaja perlu tahu bagaimana mencari maklumat, tetapi juga bagaimana maklumat dihasilkan, disahkan, dimanipulasi atau dipengaruhi oleh algoritma.

Pustakawan sendiri perlu terlebih dahulu menguasai kompetensi tersebut sekiranya mahu menjadi pendidik dan rakan strategik kepada ahli akademik, penyelidik dan pelajar.

Digitalisasi belum tentu transformasi

Satu lagi peringatan penting ialah kecenderungan menyamakan digitalisasi dengan transformasi. Memindahkan koleksi kepada bentuk digital, menyediakan e-jurnal, repository atau menggunakan teknologi baharu sememangnya memperluas akses. Namun, menurut Profesor Emerita Datuk Dr. Asma, digitalisasi tidak dengan sendirinya bermaksud transformasi telah berlaku. Transformasi sebenar berlaku apabila teknologi mengubah manusia dan menghasilkan nilai.

Persoalan yang perlu ditanya bukan hanya berapa banyak bahan dimuat turun, berapa ramai pengguna hadir ke perpustakaan atau berapa banyak latihan dianjurkan.

Sebaliknya: adakah intervensi perpustakaan menjadikan seseorang pelajar pemikir yang lebih baik? Adakah penyelidik menghasilkan penyelidikan yang lebih berkualiti? Adakah akses ilmu menjadi lebih inklusif? Adakah pengguna lebih mampu membezakan bukti yang sahih daripada maklumat janaan AI yang mengelirukan?

Perubahan ini memerlukan perpustakaan bergerak daripada budaya mengukur output kepada outcome dan impact.
Angka tetap diperlukan, tetapi angka perlu mempunyai cerita tentang perubahan yang dihasilkan.

Pustakawan perlu bergerak “upstream”

Transformasi juga menuntut perpustakaan tidak lagi menunggu di penghujung proses universiti. Profesor Emerita Datuk Dr. Asma menggesa pustakawan bergerak upstream terlibat lebih awal dalam reka bentuk kurikulum, dasar AI universiti, integriti penyelidikan, pengurusan data penyelidikan, ekosistem pembelajaran sepanjang hayat, ekuiti digital dan kedaulatan ilmu.

Maksudnya, perpustakaan tidak lagi sekadar menerima strategi untuk dilaksanakan. Perubahan ini membawa perpustakaan daripada kedudukan sebagai support service kepada academic and strategic partner.

Keperluan tersebut menjadi semakin mendesak apabila profil pengguna pendidikan tinggi turut berubah. Pelajar universiti masa hadapan bukan semata-mata mereka yang memasuki kampus pada usia sekitar 18 hingga 20 tahun dan meninggalkannya selepas memperoleh ijazah.

Pembelajaran sepanjang hayat, mikrokelayakan dan pendidikan dalam talian mewujudkan komuniti pelajar yang boleh kembali kepada universiti pada pelbagai peringkat kehidupan. Jika pendidikan tinggi sedang melalui proses unbundling, perkhidmatan perpustakaan juga perlu berkembang bersama perubahan itu.

Inklusiviti menjadi ukuran impak

Transformasi perpustakaan juga tidak lengkap sekiranya teknologi hanya memudahkan mereka yang sememangnya sudah mempunyai akses. Profesor Emerita Datuk Dr. Asma membawa perhatian kepada keperluan pengguna yang berbeza, termasuk individu dengan ketidakupayaan pendengaran, penglihatan dan neurodiversiti seperti autisme.

Pertanyaan yang perlu diajukan bukan semata-mata sama ada sesuatu sumber sudah didigitalkan, tetapi sama ada perubahan itu benar-benar membolehkan lebih ramai manusia mendapatkan ilmu. Dalam erti kata lain, akses tidak semestinya bermaksud inklusiviti.

Perpustakaan masa hadapan perlu memahami keperluan pelajar secara lebih menyeluruh dan memastikan ruang, sumber serta teknologi tidak secara tidak sengaja mewujudkan halangan baharu. Akhirnya, perubahan terbesar mungkin bukan pada bangunan, sistem atau teknologi, tetapi pada cara pustakawan melihat profesion mereka sendiri.

Hazami mengajak pustakawan bergerak daripada “consumer of information” kepada “producer of ideas.”
Mereka bukan hanya perlu mengetahui apa yang telah diterbitkan, tetapi mampu melihat hubungan antara pelbagai sumber pengetahuan dan membantu melahirkan idea, penyelidikan serta inovasi baharu.

Profesor Emerita Datuk Dr. Asma pula menegaskan bahawa dalam dunia AI, perpustakaan boleh berkembang sebagai infrastruktur kepercayaan universiti tempat integriti ilmu, bukti dan pertimbangan manusia terus dipertahankan ketika kandungan sintetik dan manipulasi digital semakin sukar dibezakan.

Kedua-dua pandangan akhirnya bertemu pada satu titik yang sama. Masa depan perpustakaan bukan pertarungan antara manusia dengan teknologi. Ia adalah tentang bagaimana teknologi digunakan untuk memperkuatkan kebijaksanaan manusia.

Bagi Perpustakaan UiTM, kekuatan 39 rangkaian perpustakaan dan ratusan warganya memberikan asas yang besar untuk memulakan perubahan tersebut. Namun, kekuatan sebenar tidak akan ditentukan oleh jumlah semata-mata. Ia bergantung kepada keupayaan membina kompetensi, menghubungkan kepakaran, memilih keutamaan dan berani mengambil tempat sebagai rakan strategik dalam pembelajaran, penyelidikan dan inovasi universiti.

Kerana dalam dunia yang semakin kaya dengan data tetapi semakin mencabar dari sudut kepercayaan, nilai perpustakaan mungkin tidak lagi terletak pada sebanyak mana maklumat yang mampu disimpan.

Nilainya terletak pada sejauh mana ilmu itu dapat dipercayai, dihubungkan dan diterjemahkan kepada manfaat kepada manusia.

Dan di situlah pustakawan masa hadapan perlu berdiri bukan sekadar sebagai penjaga ilmu, tetapi sebagai arkitek pengetahuan yang membina jambatan antara data, manusia dan impak.