Bukan sekadar trend, pilihan sekolah anak antara prestij ibu bapa dan kesediaan emosi

Memilih sekolah menengah untuk anak bukan sekadar mengejar nama atau prestij. Ibu bapa perlu mendengar suara anak dan menilai kesesuaian sekolah dengan keperluan serta potensinya.

Feature Image (4)

Oleh: RABIHAH ABD WAHAB

SETIAP kali tiba musim permohonan dan kemasukan murid Tahun Enam ke Tingkatan Satu, persoalan yang sama kembali memenuhi fikiran ramai ibu bapa, iaitu sekolah manakah yang terbaik untuk anak?

Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah agama, sekolah khusus, sekolah kawalan atau sekolah menengah harian sering menjadi pilihan dan perbincangan. Ada ibu bapa mula membandingkan keputusan, mencari maklumat sekolah, menyertai kumpulan media sosial, meneliti syarat kemasukan dan mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan.

Semua usaha itu lahir daripada satu hasrat yang baik,ibu bapa mahukan masa depan terbaik untuk anak. Namun, di tengah-tengah kesungguhan mencari sekolah yang dianggap “terbaik”, terdapat satu persoalan yang jauh lebih penting, adakah sekolah yang dipilih itu benar-benar terbaik untuk anak kita, atau sekadar terbaik pada pandangan kita sebagai ibu bapa?

Persoalan ini perlu direnungkan kerana pemilihan sekolah bukan hanya mengenai nama institusi, keputusan peperiksaan atau prestij. Ia melibatkan perkara yang lebih besar dari seorang anak yang berusia sekitar 13 tahun yang mempunyai emosi, minat, personaliti, kekuatan dan tahap kematangan yang berbeza.

Sekolah terbaik belum tentu sekolah paling sesuai

Tidak dapat dinafikan bahawa SBP, MRSM dan sekolah khusus menyediakan pelbagai peluang pendidikan yang baik. Persekitaran pembelajaran yang tersusun, budaya akademik, program pembangunan sahsiah serta peluang kokurikulum menjadikan institusi tersebut antara pilihan ramai keluarga.

Namun, peluang yang baik hanya akan memberi manfaat apabila ia sepadan dengan keperluan anak. Ada anak yang mudah menyesuaikan diri dengan kehidupan berasrama. Mereka suka berdikari, mampu mengurus masa, selesa berada jauh daripada keluarga dan berkembang dalam persekitaran yang kompetitif.

Pada masa yang sama, ada anak yang mempunyai pencapaian akademik yang sangat baik tetapi masih memerlukan sokongan emosi keluarga secara dekat. Ada yang cemerlang apabila belajar dalam suasana yang lebih tenang. Ada pula yang mempunyai bakat besar dalam bidang sukan, seni, kemahiran, agama atau teknikal yang mungkin berkembang dengan lebih baik dalam persekitaran pendidikan yang berbeza.

Justeru, ukuran “sekolah terbaik” tidak seharusnya seragam bagi semua anak. Sekolah yang terbaik ialah sekolah yang mampu menyediakan ruang kepada seseorang anak untuk belajar, membesar dan berkembang mengikut potensinya.

Keputusan akademik bukan satu-satunya ukuran kesediaan

Antara kesilapan yang mungkin berlaku dalam proses pemilihan sekolah ialah apabila pencapaian akademik dijadikan ukuran utama untuk menentukan bahawa seseorang anak sudah bersedia menghadapi kehidupan di sekolah tertentu. Hakikatnya, pandai dalam pelajaran tidak semestinya bermaksud bersedia dari sudut emosi.

Peralihan daripada sekolah rendah ke sekolah menengah sendiri merupakan satu perubahan besar. Anak akan berhadapan dengan persekitaran baharu, guru baharu, rakan baharu, kaedah pembelajaran yang semakin mencabar serta perubahan dalam perkembangan diri sebagai remaja.

Jika anak memilih kehidupan berasrama, perubahan itu menjadi lebih besar. Mereka perlu belajar mengurus pakaian, jadual harian, masa belajar, persahabatan, wang saku, kebersihan diri dan masalah harian tanpa kehadiran ibu bapa di sisi. Persoalannya bukan sekadar, “Anak saya layak masuk atau tidak?” Ibu bapa juga perlu bertanya “Adakah dia sudah bersedia?” Kedua-duanya merupakan perkara yang berbeza.

Seorang anak mungkin layak berdasarkan pencapaian akademiknya, tetapi belum tentu mempunyai tahap kemandirian dan kestabilan emosi yang sama seperti rakan sebaya yang lain. Sebab itu, perbualan bersama anak sebelum membuat keputusan sangat penting.

Dengarlah suara anak

Kadangkala dalam keghairahan ibu bapa merancang masa depan, suara anak menjadi bahagian yang paling kurang didengari.
Ada anak yang menerima sahaja keputusan kerana tidak mahu mengecewakan ibu bapa. Ada yang takut mengatakan bahawa mereka tidak mahu tinggal di asrama kerana bimbang dianggap tidak berani atau tidak menghargai peluang. Ada juga yang mengikut pilihan ibu bapa walaupun minat mereka sebenarnya berada dalam bidang yang berbeza.

Pada usia ini, anak sememangnya belum mampu membuat semua keputusan secara bersendirian. Mereka masih memerlukan pengalaman dan pertimbangan orang dewasa. Namun, membimbing tidak sama dengan menentukan segala-galanya tanpa mendengar.

Ibu bapa boleh bertanya dengan terbuka “Adik rasa bagaimana kalau tinggal di asrama?”, “Apa jenis sekolah yang adik suka?”, “Adik selesa belajar dalam suasana macam mana?” dan “Apa yang paling adik risaukan?”

Soalan-soalan yang kelihatan mudah ini mungkin membuka ruang kepada anak untuk berkongsi perkara yang selama ini dipendam. Pemilihan sekolah seharusnya menjadi keputusan keluarga,ibu bapa membawa pengalaman dan panduan, manakala anak diberikan ruang untuk menyatakan perasaan, minat dan kesediaannya.

Jangan jadikan sekolah harian sebagai simbol kegagalan

Satu lagi persepsi yang perlu diperbetulkan ialah anggapan bahawa apabila seorang anak tidak memasuki sekolah berasrama atau sekolah khusus, maka dia telah kehilangan peluang untuk berjaya.

Sekolah harian bukanlah “pilihan kelas kedua”.

Bagi sesetengah anak, berada dekat dengan keluarga mungkin memberikan kestabilan yang diperlukan untuk mereka berkembang dengan lebih baik. Ibu bapa dapat mengikuti perkembangan emosi, disiplin dan sosial anak dari hari ke hari, terutama ketika mereka sedang melalui perubahan besar pada awal usia remaja.

Kejayaan juga tidak pernah menjadi hak eksklusif mana-mana jenis sekolah. Kita telah melihat begitu ramai individu berjaya lahir daripada pelbagai latar pendidikan. Nama sekolah boleh membuka sesetengah peluang, tetapi nama sekolah sahaja tidak menentukan keseluruhan masa depan seorang anak.

Usaha, disiplin, sokongan keluarga, guru yang membimbing, lingkungan rakan yang baik, kesungguhan belajar dan pembentukan akhlak turut memainkan peranan yang jauh lebih panjang sepanjang perjalanan pendidikan mereka.

Jangan biarkan media sosial menentukan keputusan keluarga

Pada zaman media sosial, tekanan untuk membandingkan anak semakin besar. Apabila seorang demi seorang berkongsi kejayaan anak mendapat tawaran ke sekolah tertentu, ibu bapa yang lain mungkin secara tidak sedar mula mempersoalkan keputusan sendiri. “Anak orang lain dapat SBP, anak aku bagaimana?”, “Kawan-kawan semua hantar anak ke asrama.” atau “Kalau tak ambil tawaran ini, rugi ke?”

Perasaan sebegini manusiawi. Ibu bapa tentu mahu memberikan yang terbaik. Namun, masa depan seorang anak terlalu berharga untuk ditentukan oleh apa yang sedang menjadi trend di media sosial.

Setiap keluarga mempunyai realiti yang berbeza. Setiap anak juga mempunyai perjalanan tersendiri. Keputusan pendidikan tidak sepatutnya menjadi pertandingan antara ibu bapa tentang sekolah siapa yang lebih berprestij.

Sekolah ialah tempat anak menjalani kehidupan setiap hari, bukan sekadar nama untuk dipamerkan dalam satu hantaran media sosial.

Lima perkara sebelum berkata “ya” kepada sesebuah sekolah

1. Minat anak ,adakah aliran dan persekitaran sekolah tersebut benar-benar sepadan dengan kecenderungannya?
2. Kesediaan emosi, jika melibatkan kehidupan berasrama, adakah anak mampu berjauhan daripada keluarga dan mengurus tekanan?
3. Tahap kemendirian, bolehkah anak menjaga diri, masa dan tanggungjawab hariannya?
4. Budaya dan persekitaran sekolah, adakah suasananya sesuai dengan personaliti dan keperluan pembelajaran anak?
5. Sistem sokongan keluarga, bagaimanakah ibu bapa akan terus memberikan perhatian dan sokongan walaupun anak berada di sekolah yang jauh?

Jika lima perkara ini dipertimbangkan secara matang, keputusan yang dibuat akan lebih berpaksikan keperluan anak berbanding tekanan persekitaran.

Jangan jadikan anak projek memenuhi impian ibu bapa

Ibu bapa tentunya mempunyai cita-cita terhadap anak. Kita mahu mereka mendapat pendidikan yang terbaik, mempunyai kerjaya yang baik dan menjalani kehidupan yang lebih selesa pada masa hadapan. Namun, dalam mengejar cita-cita itu, jangan sampai anak menjadi projek untuk memenuhi impian yang sebenarnya milik kita.

Anak bukan trofi pencapaian keluarga. Mereka ialah individu yang sedang mencari identiti, mengenali kekuatan sendiri dan belajar menentukan arah kehidupannya.

Tanggungjawab ibu bapa bukan membina anak mengikut satu acuan yang kita tetapkan, tetapi membantu mereka mengenali potensi terbaik yang telah ada dalam diri. Kadangkala kasih sayang terbesar bukan ketika kita menentukan segala-galanya untuk mereka, tetapi ketika kita cukup sabar untuk mendengar.

Masa depan anak bukan perlumbaan pada usia 13 tahun

Kemasukan ke Tingkatan Satu hanyalah satu daripada banyaknya persimpangan dalam perjalanan pendidikan seorang anak. Ia bukan penentu mutlak kejayaan hidup. Seorang anak yang tidak memasuki sekolah pilihannya pada usia 13 tahun masih mempunyai begitu banyak peluang pada usia 15, 17, 18 tahun dan seterusnya. Perjalanan pendidikan ialah maraton yang panjang, bukannya perlumbaan pecut yang tamat selepas keputusan kemasukan ke sekolah menengah diumumkan.

Oleh itu, ketika ibu bapa sedang sibuk meneliti senarai sekolah, mengisi permohonan dan menunggu keputusan, mungkin ada satu soalan yang perlu ditanya kepada diri sendiri, “Adakah aku sedang memilih sekolah yang membuatkan aku bangga, atau sekolah yang benar-benar dapat membantu anak aku berkembang?”

Jawapannya mungkin berbeza bagi setiap keluarga. Ada anak yang akan berkembang hebat di SBP. Ada yang menemukan potensinya di MRSM. Ada yang lebih serasi dengan sekolah agama, sekolah teknikal, sekolah seni atau sukan. Dan ada juga yang mampu menjadi insan cemerlang melalui sekolah harian berhampiran rumah.

Tidak ada satu jalan yang sama untuk semua anak.

Akhirnya, kejayaan ibu bapa bukan terletak pada seberapa gah nama sekolah yang tercatat selepas nama anak. Kejayaan yang jauh lebih besar ialah apabila anak membesar sebagai insan yang berilmu, berakhlak, stabil emosinya, mengenali dirinya, mempunyai keyakinan dan masih memiliki kegembiraan untuk belajar.

Kerana sekolah hanyalah tempat mereka memulakan perjalanan. Anak itulah yang akan menjalani perjalanan tersebut.

* Penulis merupakan pelajar Program Sarjana Pengajian Islam di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Kuala Lumpur.