Peranan universiti dalam memaknai Hari Ikhtisas Malaysia pada 29 September setiap tahun
Hari Ikhtisas Malaysia menjadi wadah untuk menilai semula peranan golongan profesional serta tanggungjawab universiti dalam membentuk insan yang bukan sahaja cekap, tetapi berintegriti, berbudaya dan berpemikiran kritis.

Pengisytiharan tarikh 29 September setiap tahun sebagai Hari Ikhtisas Malaysia oleh Perdana Menteri menjelmakan suatu ketetapan strategik yang amat signifikan dalam landskap pembangunan nasional, sejajar dengan hasrat memartabatkan kedudukan serta integriti golongan profesional negara.
Pengiktirafan ini bukan sekadar diraikan sebagai sebuah kalendar sambutan rasmi semata-mata, bahkan menuntut satu refleksi mendalam mengenai peranan hakiki warga profesional dalam mengemudi bahtera peradaban bangsa agar senantiasa berpaksikan nilai, etika, integriti dan keluhuran budi pekerti yang merentasi sempadan teknokratik sempit.
Dalam mendepani cabaran era globalisasi yang serba kompleks dan pantas berubah, perbincangan mengenai hala tuju profesionalisme negara tidak boleh dipisahkan daripada perbincangan tentang institusi yang melahirkan mereka, iaitu universiti.
Menyoroti denyut nadi falsafah pendidikan tinggi moden, kita wajar meneliti semula wacana agung yang pernah digariskan oleh ahli falsafah Sepanyol tersohor, José Ortega y Gasset, menerusi karya monumental beliau, Mission of the University yang diterbitkan pada tahun 1930, di mana beliau menegaskan bahawa kewajipan paling utama institusi pengajian tinggi adalah penyampaian kebudayaan am yang menyeluruh, di samping latihan profesional dan penyelidikan saintifik yang mendalam.
Pemikiran tajam Ortega ini terus relevan, malah semakin mendesak untuk dinukilkan kembali di negara kita, terutamanya ketika kita berhadapan dengan kecenderungan semasa yang terlalu taksub untuk mengubah universiti menjadi sekadar kilang komersial pencetak tenaga kerja atau mesin pengeluar kemahiran teknikal yang steril daripada roh kemanusiaan.
Menurut Ortega, institusi pengajian tinggi memikul tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada sekadar melatih individu menjadi jurutera yang cekap, doktor yang mahir, atau peguam yang petah bertutur undang-undang tanpa mempunyai kefahaman yang utuh tentang falsafah hidup dan matlamat peradaban manusia.
Beliau membahagikan peranan universiti kepada tiga tiang utama yang sangat seimbang dan saling melengkapi, iaitu penyampaian kebudayaan, pengajaran profesion dan penyelidikan saintifik. Tiang pertama, iaitu penyampaian kebudayaan, diletakkan sebagai asas paling mutlak dan utama yang mesti dikuasai oleh setiap penuntut ilmu sebelum mereka mendalami bidang pengkhususan masing-masing.
Melalui tiang penyampaian kebudayaan am, universiti berkewajipan menyemai sistem idea asas tentang hakikat alam semesta, martabat insan, dinamika sejarah dan struktur masyarakat kontemporari ke dalam jiwa setiap mahasiswa. Tanpa penguasaan terhadap idea-idea asas ini, seseorang individu itu hakikatnya masih berada dalam keadaan buta budaya, meskipun dianugerahkan gelaran tertinggi seperti Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sains tulen, kejuruteraan canggih atau lain-lain bidang berkaitan.
Keadaan ini timbul kerana ilmu teknikal tanpa bingkai falsafah dan sejarah ibarat sebilah pedang tajam di tangan individu yang hilang arah pedoman. Selepas memastikan kukuhnya tapak kebudayaan, barulah tiang kedua, iaitu pengajaran profesion digerakkan untuk melahirkan pakar-pakar bidang khusus yang kompeten, manakala tiang ketiga pula menumpukan kepada penyelidikan saintifik tulen bagi meneroka ufuk pengetahuan baharu demi kemaslahatan umat manusia sejagat.
Namun demikian, Ortega telah melakukan satu diagnosis falsafah yang amat menginsafkan mengenai bahaya ketandusan keseimbangan ini menerusi konsep yang dinamakan sebagai The Specialist, iaitu fenomena kelahiran golongan pakar yang amat mahir menguasai sekelumit sudut kecil alam semestinya, tetapi malangnya berada dalam keadaan jahil secara radikal terhadap segala perkara lain di luar kotak kepakaran sempit mereka.
Fenomena ini melahirkan apa yang diistilahkan oleh beliau sebagai the barbarism of specialization atau kebebalan kepakaran, di mana masyarakat dipimpin dan diuruskan oleh teknokrat-teknokrat yang canggih dari segi penguasaan alatan digital dan algoritma moden, tetapi tandus empati, muflis nilai moral, buta sejarah, serta gagal memahami implikasi sosial dan etika daripada dasar atau tindakan yang mereka laksanakan.
Apabila universiti gagal mempertahankan fungsi asas sebagai kawah candradimuka pembentukan insan berbudaya, dan sebaliknya hanya melahirkan ‘lebah-lebah pekerja’ yang patuh kepada mekanisma pasaran tanpa daya kritis falsafah, kita sebenarnya sedang meruntuhkan sendi-sendi peradaban dari dalam.
Graduan yang dihasilkan mungkin mampu mengendalikan mesin paling rumit atau membina struktur pencakar langit yang megah, tetapi mereka ketara gagal menjawab persoalan asas mengenai keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan dan erti hidup bermasyarakat.
Di sinilah letaknya kerelevanan mendesak untuk memperkasakan semula komponen ilmu kemanusiaan, pendidikan liberal dan pembentukan watak di segenap ruang akademik universiti kita agar institusi ilmu ini tidak merosot menjadi kilang mekanistik semata-mata, sebaliknya kekal sebagai mercu tanda peradaban yang melahirkan pemikir unggul dan pemimpin bangsa yang berjiwa besar.
Bersempena dengan semangat pengisytiharan Hari Ikhtisas Malaysia yang merayakan golongan profesional negara, sudah tiba masanya untuk institusi pengajian tinggi, terutamanya universiti-universiti awam di tanah air, melakukan muhasabah menyeluruh dan penstrukturan semula falsafah kurikulum mereka. Universiti mesti dikembalikan fungsinya sebagai gelanggang agung wacana intelektual yang merayakan pertembungan idea secara sihat, memupuk pemikiran kritikal dan menyatukan ketepatan sains serta teknologi dengan kehalusan seni, etika dan falsafah kemanusiaan.
Warga profesional negara tidak boleh lagi dilihat hanya sebagai pelaksana teknikal di sektor awam atau swasta, tetapi harus diangkat sebagai intelektual bijaksana yang menyumbang kepada pencerahan pemikiran masyarakat dan penyelesaian tuntas permasalahan negara.
Dengan menyahut pandangan sarjana besar Ortega y Gasset, kita berupaya membina ekosistem profesionalisme yang bukan sahaja unggul dari segi kecekapan kerja, malah turut luhur dari segi integriti serta berakar umbi pada nilai peradaban yang tinggi demi mewujudkan sebuah Malaysia MADANI yang gemilang di persada global.

