Ahmad Zahid seru 85,000 mahasiswa UiTM ‘merdekakan akal’, kuasai kepakaran

Ahmad Zahid menyeru mahasiswa UiTM supaya memerdekakan akal, menguasai kepakaran dan berkhidmat dengan amanah bagi menghadapi perubahan teknologi serta cabaran masa depan negara.

Feature Image

Ahmad Maslan antara penyampai ucapan dalam Seminar Ilmuwan Islam Malaysia.

KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2026 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru kira-kira 85,000 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) supaya “memerdekakan akal”, menguasai kepakaran dan berkhidmat dengan amanah dalam mendepani cabaran dunia yang semakin dipengaruhi teknologi serta ledakan maklumat.

Seruan itu disampaikan ketika beliau merasmikan Wacana Semarak Patriotisme: Seminar Ilmuwan Islam Malaysia 2026 yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam baru-baru ini.

Program anjuran Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia dengan kerjasama UiTM itu menghimpunkan kira-kira 5,000 mahasiswa secara bersemuka, manakala lebih 80,000 lagi mengikuti program secara dalam talian dari seluruh kampus UiTM.

Mengangkat tema “Pewaris Amanah Bangsa, Penggerak Masa Depan Negara”, seminar tersebut mengetengahkan perbincangan mengenai sejarah perjuangan bangsa, pembangunan jati diri, budaya ilmu serta peranan mahasiswa dalam menentukan masa depan negara.

Ahmad Zahid berkata mahasiswa perlu mempunyai kebebasan berfikir yang berasaskan ilmu dan bukti, khususnya ketika berhadapan dengan maklumat yang tersebar pantas melalui media sosial dan dipengaruhi algoritma digital.

“Cepat itu belum tentu tepat. Mahasiswa perlu membudayakan prinsip tabayyun dengan menyemak sumber, memahami konteks dan menilai bukti sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu maklumat,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri bergambar bersama pengurusan Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia, tetamu jemputan dan mahasiswa UiTM.

Beliau turut menggesa mahasiswa supaya membina kepakaran merentas disiplin serta menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selain mencabar UiTM meneroka bidang teknologi kuantum sebagai persediaan menghadapi perkembangan ilmu dan ekonomi masa hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir pula menegaskan bahawa tradisi universiti ialah tradisi ilmu yang bertujuan membentuk manusia bukan sahaja melalui pengetahuan, tetapi juga akhlak, adab dan rasa tanggungjawab.

Beliau berkata mahasiswa perlu membina tiga keupayaan utama iaitu sebagai pencari ilmu, penyelesai masalah dan pembina negara, selaras dengan peranan pendidikan tinggi dalam melahirkan generasi yang mampu menangani cabaran masyarakat dan negara.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata tema seminar itu amat bertepatan dengan peranan UiTM dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berkeupayaan memimpin, di samping meneruskan amanah pembangunan bangsa dan negara.

“Patriotisme bukan sekadar rasa cinta kepada tanah air, tetapi turut dizahirkan melalui kesungguhan menuntut ilmu, memelihara amanah dan menggunakan kepakaran untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Bagi mempersiapkan mahasiswa menghadapi perubahan teknologi dan dunia pekerjaan, UiTM turut memperkukuh pembangunan mahasiswa menerusi empat agenda utama iaitu TVET UiTM Dihatiku, UTAMA PLUS UiTM AI Certified, pemerkasaan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) serta pembangunan keusahawanan Bumiputera.

Seminar itu turut diperkaya dengan ucaptama, syarahan, ulasan, komentar serta sesi dialog dan diskusi yang menghimpunkan barisan pemimpin dan tokoh ilmuwan dalam membincangkan amanah bangsa, kepimpinan mahasiswa, kepakaran serta cabaran generasi masa hadapan.

Mengakhiri amanatnya, Ahmad Zahid menitipkan tiga pegangan kepada mahasiswa iaitu merdekakan akal, kuasai kepakaran dan berkhidmat dengan amanah, sebagai asas membentuk generasi yang mampu menterjemahkan ilmu kepada peluang pekerjaan, pendapatan dan sumbangan kepada negara.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Haji Ahmad Maslan; Pengerusi Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia, Datuk Dusuki Ahmad; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Datuk Sri Mohd Khamil Jamil; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin serta Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.