Rawatan kanser tidak seharusnya mengenal sempadan
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, USM memperluas perkongsian kepakaran rawatan kanser ke Sarawak menerusi Cancer Symposium: Borneo Chapter 2026.
PERKEMBANGAN pesat dalam bidang rawatan kanser bukan sahaja membawa kemunculan teknologi dan pendekatan rawatan baharu, malah menuntut perkongsian ilmu dan kepakaran yang berterusan dalam kalangan petugas kesihatan bagi memastikan pesakit menerima penjagaan yang berkualiti, menyeluruh dan bersesuaian dengan keperluan mereka.
Atas semangat tersebut, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) membawa kepakaran dan pengalaman dalam bidang kanser ke Sarawak menerusi Cancer Symposium: Borneo Chapter 2026, yang berlangsung pada 5 hingga 6 Ogos lalu di Kuching Waterfront Hotel, Kuching, Sarawak.
Simposium berkenaan diadakan bersempena 5th International Biohealth Sciences Conference (IBSC) 2026 dan menghimpunkan pelbagai golongan profesional kesihatan, termasuk doktor, jururawat, paramedik serta petugas daripada bidang berkaitan penjagaan kanser.
Dengan tema “Precision Health: Integrating Science, Technology and Care for Personalized Well-Being”, program tersebut menjadi ruang untuk berkongsi perkembangan terkini dalam rawatan kanser, di samping memperkukuh hubungan antara PKTAAB dengan pihak kesihatan di Sarawak.
Lebih penting, kehadiran PKTAAB di Sarawak bukan sekadar untuk menyampaikan ceramah, tetapi turut membawa pengalaman dan kepakaran yang dibangunkan untuk dikongsi bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, Hospital Umum Sarawak serta institusi kesihatan dan latihan yang terlibat.
Perkongsian sebegini amat penting kerana penjagaan pesakit kanser memerlukan penglibatan pelbagai bidang. Rawatan bukan hanya bergantung kepada doktor, tetapi turut melibatkan jururawat, paramedik, pakar pemakanan, petugas penjagaan paliatif dan anggota kesihatan lain yang bersama-sama memainkan peranan dalam perjalanan rawatan pesakit.
Antara perkongsian utama disampaikan oleh pakar dari PKTAAB, termasuk Profesor Madya Dr Muhamad Yusri Musa dan Dr Jasmin Jalil. Kedua-duanya berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang kanser, khususnya berkaitan kanser kepala dan leher serta rawatan dan pengurusan pesakit.
Perkongsian tersebut memberi peluang kepada petugas kesihatan di Sarawak untuk mengetahui dengan lebih dekat perkembangan pendekatan rawatan yang digunakan di PKTAAB. Antaranya termasuk perkembangan dalam brachytherapy, iaitu salah satu kaedah radioterapi yang menggunakan sumber radiasi secara lebih dekat dengan kawasan kanser bagi memberikan rawatan yang lebih tertumpu.
Bagi masyarakat umum, kaedah rawatan ini mungkin masih kurang dikenali. Namun, secara mudahnya, brachytherapy merupakan salah satu pilihan rawatan yang boleh digunakan untuk jenis kanser tertentu. Perkembangan dalam kaedah ini turut membuka peluang kepada pendekatan rawatan yang lebih tepat dan dalam keadaan tertentu membantu mengekalkan fungsi organ.
Selain rawatan, simposium turut memberi perhatian kepada aspek kemoterapi, penjagaan luka, penjagaan paliatif, pemakanan dan komunikasi dengan keluarga. Perbincangan ini memperlihatkan bahawa penjagaan kanser perlu melihat pesakit secara menyeluruh dan bukan hanya memberi tumpuan kepada penyakit semata-mata.
Penceramah dari Sarawak turut memainkan peranan penting dalam menjayakan perkongsian tersebut. Antaranya ialah petugas daripada Hospital Umum Sarawak dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuching, yang berkongsi pengalaman dan perspektif berdasarkan perkhidmatan kesihatan di Sarawak.
Peserta turut menyertai sesi praktikal dan amali yang dikendalikan oleh Ketua Jururawat PKTAAB bersama pakar-pakar yang terlibat. Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk melihat sendiri dengan lebih dekat bagaimana rawatan dan penjagaan pesakit kanser dilaksanakan melalui lima stesen, termasuk brakiterapi, pemasangan port kemoterapi, pemberian Pertuzumab, penjagaan luka dan pengurusan kekurangan zat makanan. Pendedahan secara langsung ini membantu peserta menambah pengetahuan dan kemahiran, di samping meningkatkan keyakinan untuk memberikan penjagaan yang lebih baik dan menyeluruh kepada pesakit.
Pertemuan antara pakar serta jururawat dari PKTAAB dan petugas kesihatan Sarawak ini secara tidak langsung membuka ruang yang lebih luas untuk perkongsian kepakaran, pengalaman dan amalan terbaik. Hubungan yang terjalin juga berpotensi menjadi asas kepada kerjasama strategik yang lebih kukuh antara PKTAAB, JKN Sarawak dan pihak berkaitan pada masa hadapan, khususnya dalam bidang pendidikan, latihan, perkongsian kepakaran serta pengukuhan perkhidmatan penjagaan kanser.
Keistimewaan program turut terserlah melalui sesi latihan amali, yang memberi peluang kepada peserta untuk melihat dan mempelajari aplikasi kemahiran berkaitan penjagaan kanser secara lebih dekat. Lima stesen latihan disediakan, meliputi brachytherapy bagi kanser kepala dan leher serta kawasan lain, pengurusan saluran akses untuk rawatan kemoterapi, penjagaan luka dan pengurusan masalah kekurangan zat makanan.
Pendekatan secara teori dan amali ini penting bagi memastikan ilmu yang dikongsi tidak terhenti di bilik persidangan. Sebaliknya, pengetahuan tersebut dapat diterjemahkan kepada kemahiran yang boleh digunakan dalam penjagaan pesakit.
Bagi PKTAAB, usaha membawa kepakaran ke Sarawak juga mencerminkan komitmen untuk memperluas jaringan perkongsian ilmu dalam bidang kanser dan memastikan perkembangan teknologi serta pendekatan rawatan yang tersedia dapat diketahui oleh lebih ramai petugas kesihatan.
Kerjasama antara pusat kanser, jabatan kesihatan, hospital dan institusi latihan amat penting dalam membentuk satu rangkaian penjagaan kanser yang lebih kukuh. Melalui hubungan yang berterusan, peluang untuk melaksanakan latihan bersama, perkongsian kepakaran dan pembangunan program berkaitan kanser dapat diteroka dengan lebih luas.
Pada masa sama, penglibatan pelbagai pihak dari Sarawak menjadikan simposium ini bukan sekadar program perkongsian sehala. Sebaliknya, ia menjadi platform pertukaran ilmu dua hala, apabila pengalaman dan cabaran di lapangan turut dapat dikongsi bersama pakar dari PKTAAB.
Usaha sebegini membuktikan bahawa dalam menghadapi cabaran kanser, perkongsian ilmu tidak mengenal sempadan kerana apabila kepakaran dikongsi, manfaatnya dapat dirasai lebih jauh oleh mereka yang paling memerlukannya.

