Aktiviti fizikal ketika musim jerebu
Jerebu boleh menjejaskan kesihatan, khususnya sistem pernafasan ketika melakukan aktiviti fizikal di luar rumah.

FENOMENA jerebu yang melanda rantau Asia Tenggara saban tahun sering dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah gambut yang berlaku di Indonesia. Asap daripada kebakaran tersebut dibawa oleh tiupan angin merentasi sempadan sehingga menjejaskan kualiti udara di negara-negara jiran termasuk Malaysia.
Keadaan ini bukan sahaja mengganggu aktiviti harian masyarakat, malah memberi kesan yang ketara terhadap kesihatan, khususnya kepada individu yang kerap menjalankan aktiviti fizikal di luar rumah.
Isu Jerebu Masa Kini dan Aktiviti Fizikal yang Sesuai
Ketika musim jerebu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) lazimnya meningkat dan menyebabkan udara mengandungi zarah halus yang berbahaya kepada sistem pernafasan. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal yang dilakukan di kawasan terbuka seperti berjoging, berbasikal atau bermain sukan lasak.
Sebagai alternatif, aktiviti fizikal boleh diteruskan di dalam bangunan yang mempunyai sistem pengudaraan dan penapisan udara yang baik. Antara aktiviti yang sesuai ialah senaman aerobik ringan, yoga, regangan, berjalan di pusat kecergasan tertutup atau menggunakan peralatan senaman seperti treadmill dan basikal statik.
Implikasi Jerebu dari Aspek Kesihatan
Pendedahan yang berterusan kepada udara berjerebu boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Individu yang melakukan aktiviti fizikal secara intensif ketika jerebu berisiko menyedut lebih banyak bahan pencemar kerana kadar pernafasan mereka meningkat (Jinghong Gao, et al, 2017).
Keadaan ini boleh mengakibatkan iritasi mata, hidung dan tekak, batuk, sesak nafas serta memburukkan penyakit sedia ada seperti asma dan penyakit paru-paru kronik (Mirza Ameer Faizan Ali, et al. (2026). Golongan kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan merupakan kumpulan yang paling terdedah kepada kesan buruk jerebu.
Secara keseluruhannya, musim jerebu menuntut masyarakat untuk lebih peka terhadap tahap kualiti udara sebelum menjalankan aktiviti fizikal. Walaupun senaman penting untuk mengekalkan kesihatan dan kecergasan, pemilihan jenis serta lokasi aktiviti yang sesuai harus diberi perhatian bagi mengurangkan risiko kesihatan.
Dengan mengamalkan langkah berjaga-jaga dan mengikuti nasihat pihak berkuasa, masyarakat dapat terus mengekalkan gaya hidup aktif tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kesejahteraan diri.

