Yayasan YTL umum 25 Felow Terpilih untuk kohort pertama ilmu Fellowship
Kohort pertama ini menghimpunkan pemimpin pelapis daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil untuk menyertai program pembangunan kepimpinan selama 10 bulan demi pembangunan negara.selama 10 bulan demi pembangunan negara.
KUALA LUMPUR, 6 November 2026 – “Kita mempunyai peranan yang perlu digalas, justeru marilah kita menggalas peranan itu dengan sebaiknya.”
Kata-kata yang diungkapkan oleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957 ini kekal menjadi peringatan penting bahawa usaha membina negara merupakan tanggungjawab bersama.
Berlandaskan semangat ini, Yayasan YTL hari ini mengumumkan 25 Felow yang terpilih untuk menyertai kohort pertama ilmu Fellowship, sebuah program kepimpinan rentas sektor peringkat kebangsaan yang dirangka untuk memperkukuh keupayaan kepimpinan, membina hubungan yang bermakna, serta memupuk matlamat bersama dalam usaha membangunkan negara.
Program ini menghimpunkan individu daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang komited untuk berbakti kepada Malaysia.
Kohort pertama ini dipilih daripada lebih 800 pemohon dan 54 calon yang mara ke peringkat akhir menerusi proses pemilihan ketat dan menyeluruh. Seramai 25 ahli panel yang mewakili pelbagai sektor dan bidang kepakaran menilai setiap kumpulan calon berdasarkan ciri kepimpinan dan kriteria pemilihan yang ditetapkan untuk program Fellowship ini.
Proses pemilihan tersebut berjaya mengenal pasti satu kohort profesional daripada pelbagai latar belakang yang telah menunjukkan inisiatif dan sumbangan dalam organisasi serta komuniti masing-masing. Selain itu, mereka turut mempamerkan keterbukaan untuk menilai diri, menerima cabaran dan bekerjasama dengan pelbagai pihak yang mempunyai perspektif berbeza.
Naib Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PEMANDU Associates, Leon Jala berkata, “Kualiti serta kepelbagaian calon menjadikan proses pemilihan ini amat bermakna. ilmu Fellowship menyediakan ruang kepada individu yang mempunyai pengalaman dan perspektif berbeza untuk belajar antara satu sama lain, mencabar pendirian diri yang telah lama dipegang dan membina pemahaman yang lebih luas tentang kepimpinan. Pendedahan rentas sektor seperti ini penting bagi mempersiapkan pemimpin yang bersedia untuk menghadapi cabaran kompleks serta menyumbang melangkaui sempadan organisasi masing-masing.”
Sementara itu, Pengarah Program Yayasan YTL, Datuk Kathleen Chew menjelaskan, “Kohort pertama ilmu Fellowship ini terdiri daripada individu yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menyumbang kepada organisasi dan komuniti masing-masing. Kami teruja untuk menghimpunkan mereka daripada pelbagai sektor, agar mereka dapat belajar antara satu sama lain, mencabar perspektif masing-masing dan membina hubungan yang diperlukan ke arah mencapai matlamat bersama. Program Fellowship ini menyediakan ruang, sokongan dan komuniti yang membolehkan mereka berkembang sebagai pemimpin serta memberikan sumbangan yang bermakna kepada masa depan Malaysia.”
Diasaskan oleh Yayasan YTL, ilmu Fellowship merupakan program selama 10 bulan yang dibiayai sepenuhnya dan dirangka khusus untuk disesuaikan dengan komitmen profesional sedia ada peserta. Program ini dibangunkan dengan kerjasama Blavatnik School of Government di Universiti Oxford, Acumen Academy, PEMANDU Associates dan jurulatih kepimpinan Alvin Ung, program ini menggabungkan sesi permukiman intensif, bengkel, bimbingan, pembelajaran bersama rakan peserta dan inisiatif kepimpinan dalam situasi sebenar. Program ini akan diakhiri dengan program pembelajaran selama empat hari di Universiti Oxford yang memberi tumpuan kepada aspek kepimpinan, dasar, perubahan sistem dan kerjasama rentas sektor.
Pengasas dan Pengarah Program Pertubuhan Nicol David, Datuk Nicol David, yang juga merupakan salah seorang Felow ilmu 2026 berkata, “Perjalanan saya dalam sukan skuasy mengajar saya tentang nilai disiplin, ketekunan dan kesediaan untuk terus belajar.
“Kini, menerusi tanggungjawab saya di Pertubuhan Nicol David yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa komuniti melalui sukan, pendidikan dan kesejahteraan, saya menyedari bahawa bidang yang saya ceburi kini amat berbeza daripada dunia yang saya kenali sebagai seorang atlet. Saya melihat ilmu Fellowship sebagai peluang untuk belajar daripada individu yang mempunyai pengalaman berbeza, mencabar perspektif saya sendiri dan meningkatkan keupayaan diri untuk berkhidmat kepada komuniti.
“Saya berharap dapat menerapkan perspektif baharu yang diperoleh dalam usaha-usaha saya serta terus belajar bagaimana kita dapat bersama-sama menghasilkan impak yang lebih besar.”
Program ilmu Fellowship direka untuk memberikan impak yang berterusan selepas tamatnya program selama 10 bulan. Semua Felow yang terpilih akan menyertai satu komuniti pemimpin yang semakin berkembang untuk terus bekerjasama dan menyumbang kepada pembangunan jangka panjang Malaysia. Dengan pemilihan 25 Felow setiap tahun, Yayasan YTL menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 250 pemimpin yang berteraskan nilai dalam tempoh sedekad akan datang, sekali gus memperkukuh budaya integriti, kepercayaan dan kerjasama rentas sektor.
ilmu Fellowship mencerminkan komitmen Yayasan YTL yang lebih luas terhadap pendidikan, pembangunan kepimpinan dan impak sosial dalam jangka panjang. Usaha ini disokong oleh komitmen berterusan Kumpulan YTL terhadap pembangunan negara serta falsafah “Building The Right Thing”, yang menekankan pelaburan dalam pembangunan modal insan dan pendidikan sebagai asas kepada impak sosial yang berkekalan.
Untuk maklumat lanjut mengenai ilmu Fellowship, layari www.ilmufellowship.com atau ikuti @ilmufellowship di Instagram.
