Air mata bukan tanda lemahnya iman

Islam mengiktiraf kesedihan sebagai fitrah; menangis bukan tanda lemah iman, sebaliknya manusia perlu disantuni dengan empati dan kelembutan serta sokongan.

Feature Image

BAYANGKANA seorang ibu duduk di sisi katil anaknya yang telah pergi buat selama-lamanya. Baju sekolah masih tergantung, buku latihan masih terbuka, tetapi suara yang memanggilnya “mak” tidak akan kedengaran lagi. Ketika air matanya mengalir, seseorang menegur, “Sudahlah menangis. Kena reda. Orang beriman mesti kuat.”

Mungkin niatnya mahu menenangkan. Namun, tanpa disedari, kata-kata itu menambah luka kepada hati yang sedang berduka. Persoalannya, sejak bila tangisan menjadi ukuran keimanan seseorang?

Dalam masyarakat kita, masih wujud tanggapan bahawa individu yang benar-benar beriman sepatutnya sentiasa tenang, tidak mudah menangis dan mampu menerima setiap ujian tanpa menunjukkan kesedihan.

Hakikatnya, Islam tidak pernah mengajar umatnya menafikan perasaan manusia.

Rasulullah SAW juga menitiskan air mata

Ketika putera Baginda, Ibrahim, meninggal dunia, Rasulullah SAW turut menangis. Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya mata menitiskan air mata dan hati bersedih, dan kami tidak mengatakan melainkan apa yang diredai Tuhan kami.” (Riwayat al-Bukhari, hadis 1303).

Peristiwa ini membuktikan bahawa kesedihan dan keredaan kepada Allah bukan dua perkara yang bertentangan. Seseorang boleh menangis kerana kehilangan insan tersayang, namun pada masa sama tetap menerima ketentuan Ilahi.

Al-Quran turut merakamkan kesedihan Nabi Yaakub AS akibat kehilangan Nabi Yusuf AS sehingga penglihatannya terjejas kerana terlalu bersedih. Baginda berkata yang bermaksud: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah.” (Surah Yusuf, ayat 86).

Kisah ini mengingatkan kita bahawa hati yang terluka masih mampu bergantung sepenuhnya kepada Tuhan. Malah, Rasulullah SAW pernah menangis ketika menziarahi pusara ibunya sehingga mereka yang berada di sekeliling Baginda turut menangis, sebagaimana diriwayatkan oleh Muslim.

Jelaslah, air mata bukan lambang kelemahan iman, sebaliknya sebahagian daripada fitrah manusia.

Jangan jadikan nasihat sebagai hukuman

Ungkapan seperti “banyakkan istighfar”, “dekatkan diri kepada Allah” atau “kena kuatkan iman” sememangnya membawa maksud yang baik. Namun, apabila disampaikan tanpa memahami keadaan seseorang, nasihat itu boleh bertukar menjadi tekanan emosi.

Bayangkan individu yang kehilangan pasangan hidup, menghadapi masalah kewangan atau menjaga ahli keluarga yang sakit bertahun-tahun. Di sebalik senyumannya mungkin tersembunyi keletihan dan kesedihan yang tidak pernah diceritakan.

Apabila dia akhirnya menangis, adakah wajar kita terus menyimpulkan bahawa imannya lemah?

Sepatutnya, kita bertanya, “Apa yang boleh saya bantu?” atau “Adakah awak perlukan seseorang untuk mendengar?”

Kadangkala, seseorang tidak memerlukan ceramah panjang. Dia hanya memerlukan teman yang sudi mendengar tanpa menghukum.

Rasulullah SAW mengingatkan bahawa Allah Maha Lembut dan menyukai kelembutan. (Riwayat Muslim, hadis 2593).

Kesedihan bukan semestinya kemurungan

Dalam membicarakan soal emosi, masyarakat juga perlu memahami perbezaan antara kesedihan biasa dengan gangguan kemurungan. Menangis selepas kehilangan atau menghadapi kesukaran hidup merupakan tindak balas emosi yang normal.

Namun, perasaan murung berpanjangan, kehilangan minat terhadap aktiviti harian, gangguan tidur, keletihan dan kesukaran menumpukan perhatian mungkin memerlukan penilaian kesihatan mental.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), episod kemurungan boleh melibatkan perasaan murung atau kehilangan minat hampir setiap hari selama sekurang-kurangnya dua minggu.

Mendapatkan rawatan doktor, kaunselor atau pakar kesihatan mental bukan bermakna seseorang kurang beriman. Sebaliknya, usaha mendapatkan pertolongan merupakan sebahagian daripada ikhtiar menjaga kesejahteraan diri. Doa, zikir dan ibadah boleh diteruskan seiring dengan rawatan profesional apabila diperlukan.

Hulurkan tangan, bukan menjatuhkan hukuman

Sudah tiba masanya masyarakat mengubah cara menyantuni individu yang sedang berduka. Daripada berkata “orang lain lebih susah”, lebih baik kita mendengar keluhannya.

Daripada menyuruhnya berhenti menangis, hulurkan bantuan yang mampu meringankan beban. Mungkin dengan menghantar makanan, menemani ke hospital, membantu urusan keluarga atau sekadar bertanya khabar selepas beberapa hari.

Perhatian kecil yang berterusan kadangkala jauh lebih bermakna daripada nasihat panjang yang tidak disertai tindakan. Kepada mereka yang sedang menangis dalam diam, ketahuilah bahawa kesedihan tidak menjadikan anda seorang yang gagal dalam beragama.

Anda boleh berasa sedih, mencari pertolongan dan terus berharap kepada rahmat Allah.

Kepada mereka yang menyaksikan tangisan orang lain, jangan terlalu cepat menilai keadaan hatinya. Kita tidak mengetahui berapa banyak malam yang dilaluinya dengan doa, kesabaran dan perjuangan untuk terus bertahan.