Kita masih berdepan jurang kemahiran?

Jurang kemahiran graduan menjadi cabaran pasaran kerja Malaysia apabila kelayakan akademik tidak selari dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi.

Feature Image

TANPA sedar berlalunya masa, musim konvokesysen di setiap universiti di Malaysia telah pun tiba. Maka ramailah mahasiswa yang akan menuju ke alam pekerjaan. Tahun demi tahun berlalu dengan pembangunan ekonomi moden yang dipacu oleh teknologi, inovasi dan persaingan global telah menjadikan pendidikan tertiari menjadi fokus utama.

Di mana tahap pendidikan tertiari kini sering dianggap sebagai tiket utama untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan menjamin kehidupan lebih stabil. Selain itu, rakyat Malaysia semakin menyedari kepentingan memiliki kelayakan akademik, menyebabkan semakin ramai melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Namun begitu, di sebalik peningkatan jumlah individu yang memiliki kelayakan akademik, satu persoalan penting terus timbul ialah mengapa pasaran pekerjaan di Malaysia masih berhadapan dengan jurang kemahiran? Fenomena ini berlaku apabila seseorang individu memiliki kelayakan akademik yang tinggi, tetapi kemahiran praktikal, teknikal dan profesional yang dimiliki masih belum memenuhi keperluan sebenar industri. Keadaan ini menunjukkan bahawa pencapaian akademik semata-mata tidak lagi mencukupi untuk memastikan seseorang individu benar-benar bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada fenomena ini ialah ketidakpadanan antara sistem pendidikan dengan keperluan industri. Walaupun institusi pengajian tinggi di Malaysia menawarkan pelbagai program akademik dan profesional, kandungan kurikulum. Namun, sesetengah program masih kurang responsif terhadap perubahan teknologi dan kehendak majikan. Keadaan ini akan mengakibatkan, pihak majikan terpaksa menyediakan latihan tambahan sebelum graduan mampu melaksanakan tugas secara produktif.

Selain itu, perkembangan pesat teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) turut memainkan peranan penting yang mampu mengubah landskap pekerjaan dengan pantas. Kemahiran yang relevan beberapa tahun lalu mungkin tidak lagi mencukupi untuk memenuhi tuntutan pekerjaan masa kini kerana bidang industri kini memerlukan pekerja yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan akademik, malah mahir menggunakan teknologi digital, menganalisis data, menyelesaikan masalah kompleks dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

Di samping kemahiran teknikal, kemahiran insaniah (soft skills) seperti komunikasi berkesan, pemikiran kritis, kepimpinan, kerja berpasukan, kreativiti dan keupayaan membuat keputusan juga menjadi antara aspek yang sering dikaitkan dengan jurang kemahiran dalam kalangan tenaga kerja. Kemahiran insaniah ini dapat dibentuk berdasarkan kepada pengalaman individu dan bukan berdasarkan kecemerlangan akademik semata-mata.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh OECD pada tahun 2024 menunjukkan bahawa 37 peratus pekerja berpendidikan tertiari berada dalam pekerjaan separa mahir atau berkemahiran rendah. Keadaan ini menunjukkan berlakunya fenomena ketidakpadanan kemahiran dan kelayakan akademik berlebihan dalam sektor pekerjaan Lebih membimbangkan, situasi ini bukan sahaja memberikan kesan kepada graduan, malah turut mempengaruhi produktiviti dan daya saing ekonomi negara. Apabila individu yang mempunyai kelayakan tinggi bekerja dalam jawatan yang tidak memerlukan kepakaran mereka, potensi modal insan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Justeru, penyelesaian kepada permasalahan ini sudah pasti memerlukan perubahan pendekatan dalam pembangunan modal insan negara. Di mana institusi pendidikan tinggi perlu menyediakan program kursus yang benar-benar memenuhi keperluan industri di samping memperkukuh hubungan strategik dengan industri melalui pembangunan kurikulum bersama, latihan industri yang berkualiti, pembelajaran berasaskan projek dan pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar.

Selain itu, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) perlu diberikan pengiktirafan yang setara dengan laluan akademik konvensional. Hal ini kerana kemahiran teknikal dan profesional juga perlu dilihat sebagai aset ekonomi yang penting, bukannya pilihan kedua kepada pendidikan universiti.

Di samping itu, budaya pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) perlu diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia. Seseorang individu perlu sentiasa meningkatkan kompetensi melalui program upskilling dan reskilling, khususnya dalam bidang teknologi digital, kecerdasan buatan, analisis data, komunikasi dan penyelesaian masalah. Majikan juga perlu memainkan peranan dengan menyediakan latihan berterusan kepada pekerja agar kemahiran tenaga kerja sentiasa relevan dengan perubahan industri.

Pada dasarnya kerajaan perlu memastikan dasar pembangunan pendidikan dan tenaga kerja bergerak seiring dengan strategi pertumbuhan ekonomi negara. Cabaran sebenar Malaysia bukan sekadar menghasilkan lebih ramai individu yang memiliki sijil, diploma atau ijazah, tetapi membangunkan rakyat yang benar-benar kompeten, berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

Dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, persoalan yang perlu diberikan perhatian bukan lagi berapa banyak kelayakan yang dimiliki seseorang, tetapi sejauh mana individu tersebut mampu menterjemahkan ilmu dan kelayakannya kepada nilai, produktiviti dan sumbangan sebenar kepada organisasi serta negara.