Beradab menerima bantuan dan keikhlasan dalam memberi kebajikan

Bantuan kebajikan menuntut keikhlasan pemberi, adab penerima, sikap bersyukur dan tanggungjawab masyarakat membantu golongan memerlukan membina kehidupan lebih baik.

Feature Image (1)

Oleh: NIK EMRAN NIK MUSTAPHA

DI sebalik setiap bantuan dan kebajikan yang disalurkan sama ada melalui inisiatif Kerajaan Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), mahupun inisiatif kerajaan negeri seperti Program Rumah Dhuafat di Kelantan, Bantuan Prihatin Pahang, bantuan warga emas serta bantuan kebajikan negeri terselit doa dan harapan buat keluarga yang sedang diuji kesempitan hidup.

Ada ibu bapa yang menahan lapar demi membeli keperluan sekolah anak dan ada warga emas yang menanti sinar bantuan untuk membaiki bumbung rumah yang bocor.

Dalam Islam, kebajikan bukan sekadar angka di atas kertas tetapi amanah kemanusiaan yang menuntut keikhlasan daripada pemberi dan keinsafan serta adab daripada penerima.

Keikhlasan dalam Memberi Bantuan

Setiap sumbangan dan bantuan yang diberikan hendaklah lahir daripada hati yang tulus kerana Allah SWT, bebas daripada rasa riak, keinginan meraih pujian, mahupun sikap mengungkit-ungkit pemberian di hadapan mereka yang sedang kesusahan.

Bagi insan yang diuji kemiskinan, maruah diri adalah harta terakhir yang mereka miliki. Justeru, keikhlasan dan kesantunan ketika menghulurkan bantuan amat penting agar hati mereka tidak terguris.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia…” -(Surah al-Baqarah, ayat 264)

Sabda Rasulullah SAW pula: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang diniatkannya.” – (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keikhlasan dan rasa tanggungjawab inilah yang pernah ditunjukkan oleh Khalifah Umar al-Khattab RA ketika keluar pada waktu malam untuk meninjau keadaan rakyatnya. Ketika berjalan, beliau terdengar tangisan beberapa orang kanak-kanak dari sebuah rumah dan mendapati seorang ibu sedang meletakkan periuk di atas api, seolah-olah sedang memasak makanan.

Apabila ditanya, ibu tersebut menjelaskan bahawa anak-anaknya menangis kerana kelaparan, sedangkan periuk itu sebenarnya hanya berisi air dan dia berpura-pura memasak supaya anak-anaknya menyangka makanan sedang disediakan lalu tertidur sementara menunggu.

Mendengar keadaan itu, Umar RA berasa sangat sedih dan segera mendapatkan bekalan makanan daripada Baitulmal untuk dimasak dan diberikan kepada keluarga tersebut. Kisah ini mengingatkan bahawa amanah menyalurkan bantuan menuntut empati yang mendalam, kerendahan hati, serta keikhlasan tanpa menunggu disuruh atau dipuji.

Adab Penerima Bantuan dan Kebajikan

Bagi mereka yang menerima bantuan pula, setiap sen dan barangan yang diterima adalah rezeki yang datang daripada kasih sayang Allah SWT melalui perantaraan sesama manusia. Menjaga adab ketika menerima bantuan menjadikan rezeki itu lebih berkat dan menenangkan jiwa:

1.Bersyukur dan Menghargai: Melafazkan kesyukuran kepada Allah SWT serta menghargai usaha pihak yang meringankan beban hidup tanpa merungut atau membanding-bandingkan jumlah pemberian.

2. Jujur dan Amanah: Menyampaikan maklumat sebenar semasa memohon bantuan Negeri atau Persekutuan. Mengambil hak yang bukan milik kita bermakna kita sedang menafikan suapan makanan dan tempat berteduh bagi saudara lain yang jauh lebih menderita.

3. Memanfaatkan bantuan sebaik mungkin: Menggunakan bantuan kewangan, barangan keperluan, atau bantuan baik pulih rumah untuk menyara keluarga dan keperluan asas, bukan dibazirkan pada perkara yang sia-sia.

4. Menjaga maruah dan tidak meminta-minta secara berlebihan: Berusaha sedaya upaya mencari rezeki yang halal dan hanya memohon bantuan apabila benar-benar layak serta memerlukan.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang meminta-minta kepada manusia sedangkan dia mempunyai sesuatu yang mencukupinya, maka sesungguhnya dia telah menghimpun bara api (neraka) pada wajahnya.” – (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Peranan Masyarakat dalam Menyuburkan Budaya Kebajikan

Kadangkala, insan yang paling susah bukanlah mereka yang lantang bersuara tetapi mereka yang memendam derita dalam diam kerana terlalu malu untuk meminta—seperti ibu yang terpaksa berpura-pura memasak air demi memujuk anak-anaknya yang kelaparan.

Di sinilah terletaknya tanggungjawab jiran tetangga dan komuniti sekeliling untuk saling mengambil berat, menyantuni mereka yang terpinggir daripada senarai bantuan rasmi serta menjauhi sikap iri hati atau prasangka buruk terhadap penerima bantuan yang layak.

Berdikari dan Berkongsi Rezeki Apabila Mampu

Bantuan kerajaan dan kebajikan seharusnya menjadi payung sementara ketika hujan lebat melanda kehidupan, bukanlah tempat berteduh selamanya.

Apabila Allah SWT melapangkan rezeki dan mengukuhkan kembali kedudukan kewangan kita, alangkah mulianya jika kita berundur secara sukarela daripada senarai penerima agar bantuan tersebut dapat menyelamatkan keluarga lain yang sedang berjuang meneruskan hidup—malah, tangan yang dahulunya di bawah kini mampu bertukar menjadi tangan yang di atas.

Masyarakat yang penyayang dan diberkati lahir apabila pemberi menyantuni golongan susah dengan penuh keikhlasan dan rasa rendah diri, manakala penerima menyambut setiap pertolongan dengan keinsafan, kejujuran, serta kesungguhan untuk bangkit berdikari.

Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah… dan sesiapa yang berusaha mencukupkan dirinya (berdikari), Allah akan memberikan kecukupan kepadanya” – (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Apabila keikhlasan dan adab bertemu, bantuan yang kecil sekalipun mampu menyembuhkan luka kesusahan dan membawa rahmat yang melimpah kepada seluruh rakyat.

* Penulis merupakan Penolong Kanan Pentadbiran Maahad Muhammadi Perempuan di Kota Bharu, Kelantan.