Kecerdasan emosi perlu dipandu teras ilmu agama

MERENUNG kembali seruan agama yang mengajar manusia agar bersikap matang dalam setiap situasi dan berfikir terlebih dahulu adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan.

Emosi merujuk kepada perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, gembira, takut, sayang, malu dan lain-lain.

Perasaan tersebut akan mempengaruhi tingkah laku luaran manusia sama ada yang bersifat terkawal seperti mimik muka atau yang bersifat tidak terkawal seperti badan berpeluh dan menggigil akibat ketakutan.

Sejak awal kelahiran, manusia sentiasa melalui perkembangan dalam pelbagai sudut seperti pertumbuhan fizikal, psikologi dan mental.

Begitu juga emosi yang merupakan suatu bentuk daya kognitif yang terbentuk dan berkembang secara berperingkat semenjak awal kelahiran.

Emosi manusia juga dihiasi dengan pelbagai macam reaksi yang masing-masing mempunyai tujuan dan adaptasi yang tertentu.

Hal ini bertepatan dengan wahyu al-Quran dalam surah An-Najm, ayat 43 yang bermaksud, “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.”

Al-Imam Imad Al-Din menyebutkan di dalam kitabya Tafsir Al-Qur’an Al-Azim yang lebih dikenali sebagai Tafsir Ibn Kathir, bahawa Allah SWT telah menjadikan bagi hamba-hambanya perasaan gembira dan sedih serta penyebab seseorang itu gembira dan sedih adalah berbeza-beza.

Ini juga menggambarkan bahawa Allah SWT mengawal dan mengatur semua yang terjadi di dalam kehidupan kita.

Fitrah manusia yang ketawa ketika gembira dan menangis saat gagal sudah menjadi rencah suka duka dalam kehidupan.

Ayat di atas juga jelas menyatakan bahawa di dalam diri manusia mempunyai kepelbagaian reaksi, baik dalam hal peribadi mahupun sosial yang juga disebut sebagai warna warni interaksi kehidupan.

Rasulullah SAW juga menzahirkan rasa gembira Baginda bersama para sahabat.

Malah, Baginda juga bergurau senda dan tersenyum dengan isteri-isteri Baginda seperti disebutkan dalam sebuah hadith yang bermaksud, “Sungguh aku melihat Rasulullah SAW tersenyum hingga gigi gerahamnya terlihat.” (Riwayat Muslim)

Hadith ini membuktikan bahawa Baginda juga menzahirkan rasa gembira di hadapan para sahabat dengan penuh adab.

Ketawa Baginda juga sangat sederhana dan tidak keterlaluan.

Oleh itu, dalam memupuk kecerdasan emosi, ia perlu dipusatkan di bawah kawalan yang benar agar reaksi kepada tingkah laku sejajar dengan kebenaran, seperti merasa gembira dan bahagia apabila memperoleh sesuatu kenikmatan dan bersedih terhadap tekanan dan kemaksiatan.

Emosi juga perlu dizahirkan apabila diperlukan sebagai respon kepada hal yang berlaku.

Contohnya apabila agama dihina dan dikutuk oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, maka menjadi kewajiban bagi seorang Muslim menyatakan pendiriannya terhadap isu tersebut.

Seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Taubah, ayat 73 yang bermaksud: “Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”

Ayat ini menjelaskan bahawa umat Islam perlu bangkit dengan emosi dukacita dan marah sebagai reaksi terhadap penghinaan kepada agama.

Begitu juga dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik berkenaan Saidina Uthman yang tanpa sengaja telah menjatuhkan cincin Rasulullah SAW ke dalam perigi Aris.

Di dalam riwayat menceritakan pencarian cincin tersebut dilakukan selama 3 hari dan 3 malam dengan berbagai cara namun hasilnya masih sama.

Oleh itu, para sahabat berasa sedih dan memulaukan Saidina Uthman sebagai respons atas kehilangan cincin tersebut dalam tempoh kurang daripada 3 hari.

Peristiwa di atas menjadi isyarat bahawa mereka yang dalam keadaan sedih dibenarkan untuk tidak bersosial atau berbicara dengan sesuatu pihak yang tertentu.

Ini menunjukkan bahawa Islam meraikan emosi seseorang.

Walaupun terdapat hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud “Tidak halal bagi seorang Muslim untuk tidak bertegur saudaranya melebihi tiga hari.”

Namun ia dibolehkan dengan syarat seseorang itu perlu mengambil sikap bersederhana.

Paling utama, dia perlulah mengembalikan semula segala suka dan duka tersebut kepada Allah SWT dengan menzahirkan nilai-nilai kehambaan yang bersulamkan rasa syukur di saat gembira dan sabar di saat hiba.

Hakikatnya, emosi adalah salah satu cara untuk memahami diri sendiri dan orang sekitar dengan menzahirkan reaksi wajah dan bahasa tubuh yang bersesuaian.

Emosi juga berperanan menyampaikan maklumat tentang apa yang dirasai dan dialami oleh seseorang.

Kesimpulannya, setiap manusia berhak beremosi dan menzahirkan perasaan sebagai kaedah untuk pemeliharaan jiwa dan minda.

Emosi yang sihat datang dari natijah keimanan yang kuat serta diiringi dengan kecerdasan spiritual yang utuh sebagai pendorong tingkahlaku sebenar.

Malah, Baginda Rasulullah SAW telah memberi panduan kepada manusia untuk mempelajari dan memahami tentang reaksi emosi serta kaedah pengurusannya.

Panduan daripada Baginda inilah yang menjadi asas kepada akhlak dan tingkah laku manusia.

Oleh itu, usaha untuk mencapai kecerdasan emosi ini perlu dipandu dengan teras ilmu agama yang benar bagi mencapai makna sebenar dalam kehidupan beragama.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Malaya Newsroom.