Tiga pelan persediaan memasuki Ramadan
Jika anda mencari sokongan lain untuk meningkatkan ketaatan dalam Ramadan, maka carilah sahabat yang soleh dan teman yang setia.

ULAN Syaaban adalah bulan mulia yang menjadi asas kepada setiap Muslim untuk melakukan persiapan bagi menyambut bulan Ramadan.
Dalam tradisi Arab, ketika mereka ingin kuda mereka berlari dengan lebih pantas dalam perlumbaan atau peperangan, mereka akan menjalani proses penyesuaian selama 40 hingga 60 hari dengan cara tertentu mengurangkan berat dan menguatkan otot. Selepas proses ini, kuda menjadi lebih cepat dan kuat.
Begitu jugalah dengan manusia yang beriman, sebulan sebelum Ramadan akan bersedia rohani dan jasmani sebelum memulakan perjalanan dalam buan tersebut.
Kini kita berada di bulan Ramadan. Para peniaga makanan dan pakaian serta mereka yang terlibat dalam media dan hiburan, semuanya telah merancang strategi mereka untuk meraih keuntungan kewangan atau kejayaan dalam industri masing-masing.
Namun, bagaimana dengan para pencari akhirat? Adakah mereka bersiap seperti mana orang lain bersiap? Padahal Ramadan disyariatkan khusus untuk mereka dan ia adalah masa terbaik untuk meraih kebaikan melalui amalan soleh.
Kita bersiap kerana Ramadan adalah rehat tahunan bagi jiwa. Seperti dalam sistem pekerjaan duniawi, pekerja diberikan cuti tahunan untuk merehatkan badan.
Begitu juga dengan jiwa, yang selama 11 bulan terbeban dengan pelbagai keinginan duniawi. Ramadan datang untuk memberi kerehatan kepada jiwa, agar ia dapat mencapai ketenangan dan kesucian.
Kita juga bersiap kerana Ramadan adalah penyucian jiwa, stesen bekalan iman, sekolah pendidikan rohani, dan waktu penuh ganjaran besar.
Ini adalah bulan yang penuh dengan rahmat Allah lebih daripada bulan-bulan lain. Oleh itu, kita harus bersungguh-sungguh untuk meraih keberkatan ini.
Sesungguhnya, adalah suatu perkara yang sangat penting bagi seorang Muslim untuk bersiap sedia menyambut Ramadan dengan melakukan amalan soleh di bulan Syaaban, seperti solat sunat sebelum solat fardu.
Antara amalan tersebut ialah membaca al-Quran dan memperbanyakkan puasa, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.
Dari Aisyah RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami mengatakan bahawa Baginda tidak akan berbuka, dan Baginda berbuka sehingga kami mengatakan bahawa Baginda tidak akan berpuasa. Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh kecuali Ramadan, dan aku juga tidak pernah melihat Baginda lebih banyak berpuasa selain di bulan Syaaban.” (HR Bukhari dan Muslim)
Dari Usamah bin Zaid RA, beliau berkata: “Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, aku tidak melihat engkau berpuasa pada bulan lain sebanyak yang engkau lakukan di bulan Syaaban?’ Baginda menjawab: ‘Itu adalah bulan antara Rejab dan Ramadan, yang sering dilupakan oleh manusia. Ia adalah bulan di mana amalan diangkat kepada Tuhan sekalian alam, dan aku ingin amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.’” (HR al-Nasa’i)
Oleh kerana Syaaban merupakan pendahuluan kepada Ramadan, maka disyariatkan di dalamnya amalan yang juga dianjurkan dalam Ramadan seperti puasa dan membaca al-Quran, supaya seseorang dapat bersiap sedia menyambut bulan mulia itu dan membiasakan dirinya dengan ketaatan kepada Allah. Ini adalah Pelan Pertama iaitu mulakan di bulan Syaaban.
Pelan Kedua: Meninggalkan perkara terlarang
Terdapat beberapa perkara dalam Ramadan yang perlu kita tinggalkan dan menjauhkan diri daripadanya kerana ia membawa mudarat besar kepada puasa kita serta mengganggu ketulusan ibadah kita. Antara perkara yang wajib kita tinggalkan adalah dosa, sama ada kecil mahupun besar.
Dari Abdullah bin Amr RA, Nabi SAW bersabda: “Seorang Muslim sejati adalah yang mana orang Islam lain selamat daripada (gangguan) lisan dan tangannya. Dan seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seseorang yang meninggalkan segala larangan Allah.” (HR Bukhari dan Muslim)
Antara perkara yang perlu ditinggalkan adalah rancangan yang ditayangkan di media dan platform media sosial, terutamanya siri drama yang mencemarkan akhlak dan kesopanan serta mengajak kepada keburukan dan kata-kata keji.
Selain itu, perkara yang harus ditinggalkan dalam Ramadan adalah membuang masa dalam perkara yang tidak membawa manfaat yang dibenarkan. Betapa ramai yang mensia-siakan waktu berharga mereka dalam bulan ini! Ada yang berjaga malam hanya untuk berbual kosong hingga waktu sahur dan ada juga yang menghabiskan masa dengan berkeliaran di jalanan dan pasar tanpa tujuan yang jelas.
Salah satu perkara paling utama yang perlu ditinggalkan dalam bulan puasa adalah pembaziran makanan serta tidur yang berlebihan.
Ramadan lebih mulia berbanding bulan-bulan lain dalam setahun kerana ibadah menjadi lebih mudah dilakukan—syaitan yang menyesatkan dibelenggu dan jiwa menjadi lebih bebas daripada godaan hawa nafsu.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga dibuka (dalam satu riwayat lain: pintu-pintu rahmat dibuka), pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (HR Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat lain: “Apabila tiba malam pertama bulan Ramadan, syaitan dan jin yang jahat dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup sehingga tiada satu pun yang terbuka, dan pintu-pintu syurga dibuka sehingga tiada satu pun yang tertutup. Kemudian akan menyerulah penyeru: ‘Wahai pencari kebaikan, mendekatlah! Wahai pencari kejahatan, berhentilah!'” (HR Ibnu Majah)
Seorang Muslim mungkin memiliki niat yang baik untuk melakukan kebaikan dan semangat yang berkobar-kobar untuk beramal soleh. Namun, terkadang semangat itu melemah, dan motivasi menjadi pudar disebabkan oleh pengaruh luar yang tidak membantu dalam kebaikan atau mencegah dari keburukan.
Jadi, apa yang harus dilakukan oleh seorang Muslim yang mencintai kebaikan tetapi menghadapi keluarga yang menghalangnya, sahabat yang terus mengajaknya ke arah yang bertentangan atau hidup dalam persekitaran yang penuh dengan hiburan melalaikan, tanpa ada nasihat yang menyentuh hatinya dan jarang menjejakkan kaki ke masjid?
Akibat yang pasti daripada keadaan ini ialah terbawa arus kelalaian dan terseret ke dalam golongan yang jauh dari jalan kebenaran.
Oleh itu, jika seseorang memiliki pelan yang baik untuk Ramadan, dia memerlukan sokongan bagi melaksanakannya. Antara faktor yang boleh membantu ialah keluarga yang mendorong kepada kebaikan, isteri dan anak-anak atau ibu bapa serta saudara-saudara yang soleh. Rumah tangga yang baik menjadi pemangkin kebaikan bagi penghuninya dan generasi yang akan datang.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim, dan keluarga Imran melebihi segala umat (di zamannya). Mereka adalah keturunan yang sebahagiannya berasal dari yang lain. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.” (Surah Ali Imran: 33-34)
Pelan Ketiga: Persekitaran dan lingkungan yang baik
Jika anda mencari sokongan lain untuk meningkatkan ketaatan dalam Ramadan, maka carilah sahabat yang soleh dan teman yang setia. Mereka akan mengingatkan anda ketika lupa, mengajarkan anda jika tidak tahu dan memberi semangat ketika anda lemah.
Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang itu berada dalam agama sahabat karibnya, maka hendaklah kalian melihat siapa yang dijadikan sahabat.” (HR Abu Dawud dan at-Tirmizi)
Apabila anda menemui lingkungan yang baik, di mana kebaikan lebih dominan dan keburukan berkurang, serta anda mampu menjadi sebahagian daripadanya, maka bergabunglah dengan mereka.
Seperti yang dinasihatkan oleh seorang alim kepada seorang lelaki yang ingin bertaubat: “Pergilah ke negeri tertentu, kerana di sana terdapat orang-orang yang beribadah kepada Allah, maka beribadahlah bersama mereka. Jangan kembali ke negerimu kerana ia adalah tempat yang buruk.”
Justeru, dalam memastikan momentum Ramadan kita pada tahun ini lebih baik dan sentiasa konsisten, kita perlulah merancang masa dan tindakan kita dengan betul serta memastikan kita dibantu dan dikuatkan lagi dengan suasana dan persekitaran yang sihat dalam mengejar keberkatan Ramadan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.