Tune Talk lancar hab hiburan dalam aplikasi
Tiada lagi pelan data yang membosankan, permainan video dan drama semuanya di hujung jari anda

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Syarikat telekomunikasi berasaskan awan yang sedang pesat berkembang, Tune Talk melancarkan ciri penstriman drama dan permainan video dalam aplikasi, yang pertama seumpamanya diperkenalkan oleh syarikat telekomunikasi di Malaysia.
Inisiatif itu menjadikan aplikasi Tune Talk sebagai hab hiburan digital yang menyeluruh, membolehkan pengguna menonton siri drama, bermain permainan video serta mengumpul ganjaran dalam satu aplikasi tanpa perlu log masuk tambahan atau memuat turun aplikasi lain.
Tune Talk memaklumkan pengenalan ciri baharu ini menandakan transformasi aplikasi tersebut daripada sekadar platform pengurusan pelan data kepada pusat hiburan mudah alih, yang membolehkan pengguna menonton, bermain dan memperoleh Mata Tune Talk untuk menebus kandungan premium.
“Pengguna kini boleh menikmati drama kegemaran mereka ketika menaiki LRT, bersaing dalam permainan video semasa waktu rehat, atau mengumpul mata semasa dalam perjalanan. Semua ini dapat dinikmati menerusi kerjasama strategik kami bersama rakan kandungan, Jolibox,” menurut syarikat itu dalam kenyataan.
Langkah itu dilihat selari dengan trend peningkatan permintaan terhadap hiburan mudah alih. Laporan Digital 2025: Malaysia oleh DataReportal mendedahkan bahawa 97.7 peratus rakyat Malaysia menggunakan internet, dengan sebanyak 43.3 juta sambungan mudah alih selular direkodkan pada awal tahun ini, bersamaan dengan 121 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara.
Bagi meraikan pelancaran ini, Tune Talk menawarkan akses percuma kepada ciri baharu tersebut selama sebulan kepada semua pelanggan, bermula hari ini. Selepas tempoh promosi, akses kepada kandungan drama akan ditawarkan kepada pelanggan pelan Epik 50+, manakala permainan video boleh diakses oleh pelanggan Epik 50+ dan Epik 35+.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda berkata, pengenalan ciri baharu itu merupakan permulaan kepada transformasi pengalaman mudah alih.
“Kami bukan sahaja mahu memudahkan pengguna untuk terus berhubung, malah ingin memperkayakan pengalaman mereka melalui kandungan yang interaktif dan menyeronokkan. Ini juga sebahagian daripada usaha kami untuk memperluas akses hiburan kepada golongan yang kurang mendapat peluang,” katanya.
Menurut beliau, ciri baharu itu membolehkan pengguna menstrim pelbagai siri drama terpilih dan bermain permainan kasual tanpa perlu memuat turun kandungan tambahan. Selain itu, pengguna juga boleh mengumpul Mata Tune Talk ketika menonton atau bermain, yang boleh digunakan untuk menebus ganjaran seperti akses premium, melangkau iklan dan kandungan eksklusif dalam aplikasi.
Ketua Pemasaran Tune Talk, Shawn Lim berkata hab hiburan digital itu dibangunkan berdasarkan maklum balas pengguna yang mahukan kandungan lebih menarik dengan gangguan minimum serta akses mudah.
“Kami mendengar kehendak pengguna dan kami sampaikan kandungan yang mereka mahu, terus ke dalam aplikasi yang mereka gunakan setiap hari,” katanya.