Bersediakah kita menuju masyarakat tanpa tunai?
Pendidikan digital dan kesedaran mengenai keselamatan siber perlu diperkukuh, terutamanya dalam kalangan pengguna berisiko.

DALAM era digital yang serba pantas, masyarakat global semakin cenderung ke arah penggunaan sistem kewangan tanpa tunai atau cashless society.
Di Malaysia sendiri, fenomena ini sedang berkembang pesat daripada perbankan internet, penggunaan kad debit dan kredit, hinggalah kepada aplikasi e-dompet seperti Touch ’n Go eWallet, Boost, GrabPay dan DuitNow.
Bagaimanapun, adakah semua ahli masyarakat mempunyai capaian kepada kemudahan ini? Sebagai contoh, Encik Halim, seorang pesara kerajaan berusia 72 tahun, baru sahaja membawa cucunya ke klinik di Kuala Lumpur.
Setelah meletakkan keretanya di petak parkir, beliau mencari mesin tiket parkir seperti yang biasa digunakan dahulu. Namun, beliau tidak menjumpainya. Sebaliknya, hanya terdapat papan tanda yang menunjukkan arahan: “Sila buat bayaran parkir melalui aplikasi e-dompet: Touch ‘n Go eWallet / Boost / Flexi Parking.”
Encik Halim kebingungan. Beliau tidak mempunyai telefon pintar, apatah lagi memuat turun aplikasi e-dompet. Beliau cuba bertanya kepada orang sekeliling tetapi kebanyakan mereka terlalu sibuk. Akhirnya, beliau terpaksa meminta bantuan cucunya untuk menggunakan telefon mereka bagi membayar parkir.
Namun, cucunya juga tidak pasti aplikasi mana yang sesuai digunakan. Dalam kekalutan itu, masa berlalu dan beliau akhirnya menerima saman kerana lewat membuat pembayaran parkir.
Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyasarkan agar Malaysia menjadi sebuah ekonomi digital yang berdaya saing dan masyarakat tanpa tunai adalah salah satu tonggak utama dalam transformasi tersebut.
Namun, di sebalik pelbagai kemudahan yang ditawarkan, masyarakat tanpa tunai turut mencetuskan beberapa cabaran yang tidak wajar dipandang ringan.
Kemudahan tanpa sempadan
Antara kelebihan utama sistem tanpa tunai ialah kemudahan dan kelajuan transaksi. Dengan hanya satu imbasan kod QR atau sentuhan kad, urusan pembayaran dapat diselesaikan dalam beberapa saat.
Ini sangat memudahkan pengguna ketika membeli barangan, membayar tol, tambang pengangkutan awam dan pelbagai perkhidmatan lain.
Selain itu, penggunaan sistem digital turut mengurangkan risiko kecurian wang fizikal. Pengguna tidak lagi perlu membawa wang tunai dalam jumlah besar yang boleh mengundang risiko jenayah.
Dalam konteks perniagaan pula, transaksi yang direkod secara automatik memudahkan pengurusan kewangan serta menyokong urus niaga yang telus dan dapat diaudit.
Lebih penting lagi, sistem tanpa tunai berpotensi menyokong pertumbuhan ekonomi digital. Usahawan kecil dan sederhana (PKS) yang mewakili lebih 96 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia, kini mempunyai lebih banyak akses kepada pasaran melalui platform e-dagang dan pembayaran elektronik.
Ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah dan menjana peluang pekerjaan baharu di samping meningkatkan inovasi dalam perniagaan.
Cabaran di sebalik kemajuan
Namun, seiring dengan kemajuan tanpa tunai, timbul beberapa cabaran yang membimbangkan. Antara isu utama ialah keselamatan siber, kebocoran data, penipuan dalam talian (scam) dan penggodaman sistem boleh menjejaskan keyakinan pengguna terhadap penggunaan sistem digital tanpa tunai ini.
Insiden kecurian maklumat kad dan penyalahgunaan akaun e-dompet merupakan contoh nyata bahawa ancaman siber tidak boleh diambil ringan.
Tambahan pula, tidak semua lapisan masyarakat bersedia untuk beralih sepenuhnya kepada sistem tanpa tunai. Golongan warga emas, masyarakat luar bandar, serta mereka yang kurang celik teknologi mungkin berdepan kesukaran dalam menyesuaikan diri.
Jika tiada pendekatan yang inklusif, wujud risiko ‘jurang digital’ yang boleh menyebabkan sesetengah pihak tersisih daripada arus pembangunan seperti yang dialami oleh Encik Halim.
Kebergantungan yang tinggi kepada teknologi juga mencetuskan kerisauan. Gangguan pada sistem perbankan atau rangkaian Internet boleh melumpuhkan pelbagai urus niaga harian.
Ini terbukti dalam beberapa kes di mana sistem pembayaran tergendala, menyebabkan kekeliruan dan kesulitan di premis premis perniagaan.
Satu lagi isu yang sering dibangkitkan ialah berkaitan privasi. Setiap transaksi digital direkodkan, dan ini membuka ruang kepada pemantauan atau penyalahgunaan data oleh pihak ketiga.
Dalam masyarakat yang menghargai kebebasan dan privasi individu, isu ini wajar diberi perhatian.
Menuju peralihan yang seimbang
Walaupun terdapat pelbagai kekangan, usaha ke arah membentuk masyarakat tanpa tunai harus diteruskan secara berperingkat dan inklusif.
Kerajaan, institusi kewangan, syarikat teknologi serta pertubuhan masyarakat sivil perlu berganding bahu bagi memastikan tiada pihak yang tercicir daripada gelombang pendigitalan ini.
Pendidikan digital dan kesedaran mengenai keselamatan siber perlu diperkukuh, terutamanya dalam kalangan pengguna berisiko.
Pada masa yang sama, infrastruktur digital terutamanya di kawasan luar bandar harus dipertingkat agar akses kepada sistem ini dapat dirasai secara menyeluruh.
Penutup
Masyarakat tanpa tunai bukanlah satu konsep yang mustahil, malah ia bakal menjadi norma baharu dalam masa terdekat.
Namun demikian, proses ke arah itu perlu dilakukan dengan berhati-hati dan seimbang. Dalam mengejar kemudahan dan efisiensi, aspek keselamatan, kebersamaan dan kebebasan individu tidak boleh dikorbankan.
Hanya dengan pendekatan yang menyeluruh dan bertanggungjawab, kita mampu membina ekosistem kewangan digital yang benar-benar mampan dan adil untuk semua demi menuju ke arah Masyarakat Madani.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.