Suatu catatan dari pinggiran politik

Politik di peringkat akar umbi bukan hanya soal visi dan retorik tetapi soal ‘minyak pelincir’ bernama wang saku.

Poster Terkini (2)

PADA tahun 1994, saya melangkah masuk ke dalam lorong politik tanah air dengan semangat dan idealisme yang masih hangat, belum tercemar oleh realiti yang seringkali lebih gelap daripada yang dibayangkan.

Waktu itu, saya sedang bertugas di TV3, dalam ruang media yang memberi saya pandangan luas tentang landskap politik dan wacana nasional.

Namun, siapa sangka takdir mempertemukan saya dengan arwah Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis, sosok yang bukan sahaja berpengaruh tetapi turut menganggap saya sebagai darah dagingnya kerana arwah ayah saya berasal dari Pekan, Pahang iaitu tanah asal beliau juga.

Arwah JJ seperti yang ramai mengenalinya, bukan tokoh sebarangan. Beliau punya cita-cita besar dan kemahiran politik yang halus. Beliau mempelawa saya untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rompin.

Tawaran itu bukan kecil sebagai mantan pemidato terbaik Pahang. Beliau bersedia menaja keseluruhan kempen saya daripada logistik, penginapan, hinggalah belanja petrol.

Beliau meyakinkan saya bahawa perjuangan politik memerlukan lebih daripada semangat, ia perlukan pelaburan dan saya, waktu itu dengan darah muda dan cita-cita luhur, menyahut ajakan itu dengan tekad.

Setiap hujung minggu, saya pulang ke Rompin dari Kuala Lumpur untuk memulakan perjalanan kempen dengan niat menyatukan pemuda, membina wawasan baru untuk masa depan bahagian saya.

Namun, tidak sampai sebulan, saya dikejutkan oleh sindiran yang menyapa setiap kali saya menghulur tangan bersalaman: “Takkan salam kosong saja?”

Soalan itu bukan main-main. Ia sindiran penuh makna, menyentuh satu hakikat yang saya belum fahami bahawa politik di peringkat akar umbi bukan hanya soal visi dan retorik tetapi soal ‘minyak pelincir’ bernama wang saku.

Saya keliru, lalu mencari penjelasan. Rupa-rupanya, setiap cawangan pemuda mengharapkan imbuhan. Dalam satu bahagian Parlimen Rompin, terdapat lebih 100 cawangan. Setiap satu punya barisan AJK, mungkin lima hingga sepuluh orang. Jika RM100 seorang, jumlahnya mencecah puluhan ribu.

Seorang sahabat saya di Johor, juga Ketua Pemuda ketika itu memberi gambaran lebih mengejutkan, yang dengan selamba berkata, untuk bertahan dan bergerak aktif, belanjanya mencecah lebih sejuta setahun untuk mengekalkan pengaruhnya.

Saya termenung.. terkejut, saya kehilangan segala idealisme yang pernah saya peluk erat. Walaupun arwah JJ bersedia menanggung, saya tahu idealisme saya mula terhakis.

Saya kembali ke Kuala Lumpur, menemui arwah JJ dan menyatakan keputusan untuk mengundurkan diri. Beliau tidak terkejut. Cuma tersenyum dan berkata, “Semua orang mahukan duit. Kita tak boleh lari daripada perbelanjaan dalam politik.”

Kata-kata itu, walaupun benar, menikam jauh ke dalam hati saya yang masih ingin percaya bahawa perjuangan politik ialah tentang prinsip, bukan pertukaran tunai. Walaupun jujur, memadamkan api perjuangan dalam diri saya.

Saya meninggalkan gelanggang politik, kembali ke kehidupan biasa, namun pengalaman itu kekal sebagai cermin yang membayangkan hakikat politik tanah air penuh dengan kompromi dan transaksi. Maka berakhirlah perjalanan politik saya sebelum sempat bermula.

Kini, hampir tiga dekad kemudian, saya memerhati dari kejauhan bagaimana dunia politik masih terperangkap dalam jerat yang sama wang, kompromi dan kelangsungan kuasa yang tidak berlandaskan prinsip.

Saya melihat apa yang terjadi pada Rafizi Ramli sebagai pantulan kepada luka lama saya sendiri. Rafizi bukan sekadar tokoh muda dengan kecekapan angka dan kebijaksanaan strategi, beliau adalah lambang harapan sebuah politik baharu yang menolak kebusukan sistem lama.

Ramai menyangka penyingkirannya daripada barisan kuasa adalah kerana persaingan dalaman, kononnya menghalang laluan Nurul Izzah tapi naratif sebenar lebih dalam dan menyakitkan. Rafizi membawa satu elemen yang amat tidak digemari dalam politik Malaysia hari ini iaitu kejujuran.

Beliau tidak punya kabel projek, tidak bergantung kepada jawatan, tidak menadah tangan untuk konsesi. Beliau ada data, sokongan akar umbi dan paling berbahaya dalam sistem lama, nama yang bersih.

Dalam politik Malaysia yang dibina atas ‘deal’ dan kompromi, insan seperti Rafizi dilihat sebagai liabiliti. Bukan kerana beliau lemah tetapi kerana beliau sukar dikawal.

Kerajaan gabungan hari ini seperti tali yang ditarik daripada banyak arah. Perdana Menteri perlu menjaga hati UMNO yang masih mahu ‘cuci nama’, menjaga kestabilan GPS dan GRS dan pada masa yang sama menjaga hati penyokong Pakatan Harapan yang mahukan perubahan.

Dalam ketegangan itu, Rafizi muncul dengan soalan-soalan yang terlalu tulus:
Kenapa Rosmah tidak dipenjara?
Kenapa Azam Baki masih berkuasa?
Kenapa projek-projek tidak telus masih berjalan?

Soalan-soalan ini membuat ramai tidak selesa. Maka langkah penyingkiran Rafizi bukan tindakan individu terhadap individu tetapi tindakan sistem terhadap ancaman prinsip. Ia adalah mesej senyap yang berbunyi: “Kalau engkau tidak mahu ikut rentak, engkau akan diketepikan.”

Saya tahu rasa itu. Saya pernah duduk di kerusi harapan. Saya pernah menyangka, mungkin saya boleh membawa perubahan daripada dalam tetapi hakikatnya, sistem tidak menyerap idealisme. Sistem menundukkannya.

Saya bukan mahu mendewakan Rafizi. Setiap manusia ada kelemahan tetapi saya percaya, dalam lipatan sejarah yang panjang, bukan mereka yang menang hari ini akan dikenang tetapi mereka yang tetap setia kepada prinsip walaupun diketepikan. Di situlah letaknya nilai sebenar seorang pejuang.

Bila saya melihat politik hari ini, di sebalik pentas yang penuh sorakan dan lambakan bendera, saya lihat kegelapan yang sama seperti dahulu. Politik yang menjadikan wang sebagai darah kehidupan, bukan akhlak dan tanggungjawab.

Politik yang sanggup mengorbankan yang jujur kerana ketelusan mereka mengganggu rantaian kuasa dan saya teringat pada malam itu, di bilik kecil tempat saya menginap di Rompin, sewaktu saya termenung selepas disindir ‘salam kosong’.

Saya sedar bahawa politik ini bukan milik saya. Saya bukan jenis yang mampu menyuap setiap tangan yang dihulur dan saya tidak mahu membina sokongan atas dompet tetapi atas keyakinan.

Kini, saya menulis dari sudut warga emas OKU, yang pernah hilang segalanya selepas strok tetapi saya tidak kehilangan ingatan tentang siapa saya. Saya tidak lupa bahawa arwah JJ, meskipun berjasa telah membuka mata saya kepada satu sisi politik yang terlalu realistik hingga membunuh impian saya.

Dalam pengamatan saya terhadap Rafizi, saya melihat gema prinsip yang dulu saya simpan dalam dada. Ia mengingatkan saya bahawa tidak semua orang sanggup tunduk.

Kita perlukan lebih ramai Rafizi. Kita perlukan politik yang tidak ditentukan oleh jumlah wang di kocek tetapi oleh jumlah keberanian dalam hati dan selama politik kita terus membunuh mereka yang berprinsip, selama itu jugalah kita akan terus diheret oleh sistem yang sama, yang menolak kejujuran kerana ia terlalu berbahaya untuk dibiarkan hidup.

Akhirnya, sejarah akan menulis bukan tentang siapa yang berkuasa, tetapi siapa yang tidak menjual diri demi kuasa.


* Penulis pernah bekerja selama 18 tahun di Riyadh, Arab Saudi dan Dubai, UAE sebelum balik ke Kelana Jaya, Selangor akibat diserang strok dan menjadi warga OKU. Beliau merupakan pemenang 5 Hadiah Sastera Perdana Malaysia, 11 kali Hadiah Sastera Utusan, Anugerah Sastera Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan 30 hadiah sastera lain. Beliau juga bekas CEO empat buah syarikat di Dubai, pengarah, pengurus besar di syarikat antarabangsa. Menulis 44 buah buku dan 30 e-buku di clicks4book dan e-sentral.com.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.