Perlu realistik sebelum menjadi masyarakat tanpa tunai sepenuhnya

Walaupun kita telah pun melihat peningkatan penggunaan e-dompet seperti Touch ‘n Go eWallet, Boost dan GrabPay, realitinya Malaysia masih belum bersedia sepenuhnya.

Poster Terkini


KETIKA saya pertama kali menjejakkan kaki ke Xi’an, China untuk bertugas sementara di cawangan Universiti Malaya di sana pada tahun lalu, saya tidak menyangka pengalaman harian saya di sana akan mengubah sepenuhnya persepsi terhadap sistem pembayaran moden.

Bayangkan, daripada membeli buah di gerai tepi jalan sehinggalah membayar tambang teksi, semuanya dilakukan tanpa sebarang transaksi tunai.

Dalam beberapa minggu pertama saya di sana, saya langsung tidak menggunakan wang kertas. Ia satu pengalaman yang cukup asing bagi seorang rakyat Malaysia seperti saya pada waktu itu.

Xi’an, sebuah bandar bersejarah yang terkenal dengan Tentera Terracotta dan tembok kota purba, juga merupakan antara pusat pertumbuhan teknologi dan digitalisasi di China.

Meskipun ia bukan sebesar Beijing atau Shanghai, sistem pembayaran digital di Xi’an amat mengagumkan. Masyarakat di sana terbiasa dengan penggunaan kod QR dalam hampir kesemua aspek kehidupan. Daripada penjaja kecil di tepi jalan hinggalah restoran eksklusif.

China kini dikenali sebagai antara negara termaju dalam penggunaan aplikasi pembayaran mudah alih seperti Alipay dan WeChat Pay.

Di Xi’an, saya perhatikan bagaimana peniaga kedai runcit, cafeteria di universiti dan malah peminta sedekah sekali pun menerima bayaran secara digital. Sistem ini bukan sahaja mudah, tetapi juga sangat pantas dan efisien.

Sebagai rakyat Malaysia, saya tidak dapat mengelak daripada membandingkan pengalaman ini dengan keadaan di tanah air sendiri. Walaupun kita telah pun melihat peningkatan penggunaan e-dompet seperti Touch ‘n Go eWallet, Boost dan GrabPay, realitinya Malaysia masih belum bersedia sepenuhnya untuk meninggalkan wang tunai seperti mana yang berlaku di China.

Pengalaman saya di Xi’an menunjukkan betapa pentingnya infrastruktur digital yang kukuh. Liputan internet di bandar ini sangat stabil.

Sebaliknya, di Malaysia, saya masih mengalami gangguan capaian internet di sesetengah kawasan luar bandar, malah ada juga di kawasan bandar yang sudah tentu menyukarkan urusan pembayaran digital.

Selain itu, mentaliti pengguna di China lebih terbuka terhadap teknologi baharu. Di Xi’an, saya melihat golongan warga emas dengan yakin mengimbas kod QR untuk membayar barangan keperluan harian mereka. Ini menunjukkan keberkesanan pendidikan digital dan keyakinan masyarakat terhadap sistem yang dibangunkan.

Cabaran di Malaysia

Sekembalinya saya ke Malaysia, saya cuba mengamalkan gaya hidup tanpa tunai seperti yang saya biasakan di Xi’an. Namun, ia tidak semudah yang disangka. Ramai peniaga kecil di sini masih belum bersedia menerima pembayaran digital. Ada yang tidak mempunyai telefon pintar yang sesuai, ada juga yang risau tentang penipuan atau masalah sambungan internet.

Selain itu, saya mendapati bahawa masih wujud rasa curiga dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan transaksi digital. Ramai bimbang tentang penipuan siber, kehilangan wang atau isu kecurian data peribadi. Ini berbeza dengan di China, di mana pengguna mempunyai keyakinan tinggi terhadap sistem pembayaran mereka. Mungkin kerana sokongan kerajaan yang kuat dan kerjasama erat dengan syarikat teknologi gergasi tempatan.

Berdasarkan pengalaman saya di Xi’an, ada beberapa perkara yang Malaysia boleh pelajari. Pertama, kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam menyediakan infrastruktur digital menyeluruh, terutamanya di kawasan luar bandar. Kedua, galakan kepada penggunaan pembayaran digital perlu dilaksanakan secara konsisten, bukan hanya semasa musim promosi atau pemberian e-tunai.

Yang paling penting ialah membina kepercayaan pengguna melalui pendidikan dan jaminan keselamatan. Di China, pengguna diberi kemudahan untuk memantau transaksi, membuat laporan penipuan dan mendapatkan bantuan segera jika berlaku masalah. Langkah-langkah seperti ini perlu diterapkan di Malaysia jika kita mahu rakyat yakin dan selesa menggunakan aplikasi pembayaran secara harian.

Kita perlu bersedia

Sebagai seseorang yang pernah merasai kehidupan dalam masyarakat tanpa tunai sepenuhnya di China, saya percaya Malaysia mampu menuju ke arah yang sama. Namun, kita perlu realistik. Kejayaan China bukan berlaku dalam sehari, ia adalah hasil perancangan jangka panjang, pelaburan besar dalam teknologi dan sokongan padu kerajaan serta rakyat.

Malaysia mempunyai asas yang kukuh dan potensi yang besar dalam perkara ini. Tetapi untuk benar-benar menjadi masyarakat tanpa tunai, kita perlu menyesuaikan pendekatan teknologi dengan keadaan tempatan, memperkasa semua golongan dan yang paling penting membina keyakinan bahawa pembayaran digital bukan hanya mudah dan memudahkan, malah juga selamat dan boleh dipercayai.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.