Kerjaya setiausaha laluan cerah lepasan TVET

Bidang kesetiausahaan bukan lagi terhad kepada tugas menaip surat atau menguruskan jadual semata-mata.

Poster Terkini (2)


DALAM era moden yang semakin berkembang pesat, bidang kesetiausahaan bukan lagi terhad kepada tugas menaip surat atau menguruskan jadual semata-mata.

Sebaliknya, ia kini menjadi satu kerjaya profesional yang memerlukan kemahiran pelbagai termasuk pengurusan pejabat, komunikasi korporat, penggunaan teknologi digital dan juga etika kerja yang tinggi.

Dalam konteks ini, pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting sebagai tenaga kerja mahir yang bersedia untuk menyahut cabaran dalam bidang ini.

Kerjaya kesetiausahaan merangkumi pelbagai bidang tugas seperti menjadi setiausaha eksekutif, pembantu setiausaha pejabat, pembantu pentadbiran, pengurus pejabat atau setiausaha peribadi kepada pegawai atasan.

Tugas ini memerlukan seseorang yang cekap, sistematik dan berkemahiran dalam pengurusan dokumen, komunikasi lisan dan bertulis serta mampu menangani pelbagai tugasan serentak dengan efisien.

Berdasarkan statistik, purata pengambilan pelajar baharu dalam bidang berkaitan kesetiausahaan di Politeknik dan Kolej Komuniti dianggarkan sekitar 500 hingga 1,000 orang setiap tahun di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, sekitar 400 hingga 800 pelajar berjaya menamatkan pengajian pada setiap kohort bergantung kepada institusi, program dan faktor pengekalan pelajar.

Secara keseluruhan, dianggarkan seramai 2,500 hingga 4,000 orang alumni dalam bidang kesetiausahaan telah dihasilkan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini melalui laluan TVET di Malaysia.

Angka ini membuktikan bahawa bidang ini berperanan penting dalam menyediakan graduan yang berkemahiran untuk mengisi pelbagai jawatan pentadbiran di sektor awam mahupun swasta.

Penulis juga merupakan lepasan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dalam bidang kesetiausahaan yang kini berperanan penting selaku pembantu setiausaha pejabat.

Pengalaman mengikuti pengajian kesetiausahaan di POLISAS telah banyak membentuk kemahiran praktikal, etika kerja dan keyakinan diri untuk bersaing dalam dunia kerjaya yang mencabar.

Bidang ini bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, malah membuka laluan kepada graduan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti ijazah sarjana muda dalam pengurusan pejabat, pengurusan perniagaan atau pentadbiran awam di universiti awam dan swasta.

Kini, ramai alumni TVET dalam bidang kesetiausahaan berkhidmat sebagai setiausaha pejabat, pembantu setiausaha pejabat, pembantu tadbir, penolong eksekutif, pegawai pentadbiran atau pegawai khidmat pelanggan di pelbagai organisasi di seluruh negara.

Berdasarkan maklumat daripada kajian kebolehpasaran graduan Politeknik dan Kolej Komuniti kadar kebolehpasaran graduan bidang berkaitan pengurusan pejabat dan kesetiausahaan dianggarkan melebihi 70% hingga 80% dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Kesimpulannya, dengan peluang kerjaya yang cerah dan permintaan industri yang berterusan, bidang kesetiausahaan melalui laluan TVET wajar dipertimbangkan oleh lepasan SPM yang berminat membina masa depan yang stabil dan berdaya saing.

Maka, rebutlah peluang ini untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran praktikal yang relevan agar dapat menjadi tulang belakang pentadbiran organisasi di mana sahaja anda berada.

Bidang kesetiausahaan hasil pendidikan TVET ibarat tulang belakang pengurusan pejabat, tenang, teratur dan sentiasa relevan.

Dengan ilmu dan kemahiran praktikal, graduan TVET mampu berdiri megah di pentas industri, menjadikan profesion ini terus bernilai sepanjang zaman.

Untuk adik-adik lepasan SPM, inilah masa terbaik untuk mencuba bidang ini dan melakar kerjaya yang stabil serta penuh peluang di masa hadapan!


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.