UiTM Kampus Rembau anjur pesta buah-buahan tempatan
Program itu melibatkan penyertaan seluruh warga kampus dan bertujuan mengeratkan hubungan sesama staf serta mahasiswa di samping mempromosi hasil pertanian tempatan.

REMBAU, 15 Julai 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, memeriahkan musim buah-buahan tempatan dengan menganjurkan Pesta Buah-Buahan Tempatan yang berlangsung dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Program itu melibatkan penyertaan seluruh warga kampus dan bertujuan mengeratkan hubungan sesama staf serta mahasiswa di samping mempromosi hasil pertanian tempatan.
Penolong Rektor UiTM Kampus Rembau, Prof. Madya Dr. Masitah Ahmad berkata, pesta itu merupakan inisiatif kecil namun bermakna dalam memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus.
“Program sebegini bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah mampu memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan agensi kerajaan dan pihak industri,” katanya.
Dalam program tersebut, FAMA turut melaksanakan jualan barangan keperluan harian pada harga patut seperti telur ayam, minyak masak dan ayam daging. Aktiviti makan buah secara percuma dan jualan buah-buahan tempatan dengan harga berpatutan turut diadakan bagi menarik minat warga kampus.
Menurut FAMA, pesta tersebut juga sejajar dengan usaha kerajaan mempromosikan hasil pertanian tempatan yang dikecualikan daripada cukai jualan seperti yang dijelaskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) di bawah peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Program seperti ini penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan generasi muda tentang nilai pemakanan sihat serta kepentingan menyokong hasil pertanian tempatan,” jelas wakil FAMA.
Penganjuran program seumpama itu juga dilihat sebagai satu medium pendidikan kepada masyarakat agar lebih bijak berbelanja serta memahami bahawa hasil pertanian tempatan yang tidak diproses tidak dikenakan cukai jualan.
Dr. Masitah turut menegaskan bahawa kepimpinan berasaskan pendekatan manusiawi amat penting dalam membina organisasi cemerlang, selain menekankan nilai-nilai murni seperti silaturrahim dan amalan bersedekah.
“Rasulullah SAW menyeru umatnya agar mengeratkan silaturrahim dan memberi makan kepada orang lain sebagai salah satu jalan menuju syurga, dan nilai ini turut kami terapkan dalam budaya kerja di kampus,” katanya sambil memetik sebuah hadis riwayat Tirmizi berkenaan amalan memberi makan dan menebar salam.
Tambah beliau, UiTM Kampus Rembau akan terus menganjurkan program seumpama itu sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan modal insan yang berkualiti, berpengetahuan dan berkeperibadian tinggi, selari dengan aspirasi negara untuk membentuk masyarakat berdaya saing.