Antara bebas hutang dan bebas berhutang, kita yang mana?
Pinjaman atau hutang secara teknikalnya adalah obligasi kewangan yang mengakibatkan aliran wang keluar daripada poket pendapatan.

PINJAMAN isi rumah meningkat sebanyak 6.0 peratus pada suku pertama 2025 berbanding 5.9 peratus pada suku keempat 2024.
Trend peningkatan berlaku berikutan pertumbuhan yang secara amnya stabil merentas kebanyakan tujuan pinjaman. Situasi ini memang akan menggalakkan isi rumah membuat pinjaman atau hutang.
Pinjaman atau hutang secara teknikalnya adalah obligasi kewangan yang mengakibatkan aliran wang keluar daripada poket pendapatan. Setiap sen yang dipinjam perlu dibayar semula dalam tempoh tertentu, dengan tambahan kos faedah atau caj keuntungan.
Walaupun hutang mungkin tampak seperti tidak dapat dielakkan, dengan perancangan yang teliti, seseorang boleh mengetepikan hutang atau paling tidak, meminimumkan. Malah, hutang merupakan satu bentuk muamalat yang disediakan oleh syariat Islam bagi tujuan yang baik dan bermanfaat.
Bebas hutang atau bebas berhutang, sering juga menjadi topik perbualan harian sambal minum kopi. Kalau sebut bebas hutang, maksudnya golongan ini bersih daripada komitmen hutang. Bebas berhutang pula, golongan yang sentiasa berhutang sebab mampu bayar.
Bebas Hutang: Tenangnya hidup tanpa beban
Bebas hutang membawa maksud seseorang tidak mempunyai sebarang tanggungan hutang. Tiada pinjaman kereta, tiada bayaran kad kredit tertunggak, tiada pinjaman peribadi. Pendek kata tiada liabiliti tanggungan dengan mana-mana bank atau institusi kewangan.
Hidupnya terasa ringan dan tenang, tidur malam pun lena kerana tiada panggilan bank yang mengganggu. Masuk saja duit, bolehlah digunakan untuk keperluan harian, simpanan atau belanja keluarga tanpa perlu fikir bayaran hutang yang mengosongkan dompet.
Keadaan kehidupan mereka sangat sederhana. Otak dan kudrat tenaga ligat digunakan untuk penuhi keperluan diri dan keluarga. Tiada kekusutan untuk melunaskan setiap bayaran ansuran yang di minta. Mereka mungkin pernah trauma dengan komitmen pinjaman satu ketika.
Perumpamaan hidup meraka agak mudah iaitu bebas hutang ibarat burung terbang di langit luas, tidak terikat, bebas ke mana sahaja dengan tenang.
Namun, ramai yang bertanya—bolehkah hidup hari ini tanpa berhutang langsung? Mari kita teliti makna bebas berhutang. Bunyi seperti hampir sama, kan?
Bebas Berhutang: Bijak berhutang, tenang jiwa
Bebas berhutang bukan bermaksud tiada hutang langsung. Ia lebih kepada kebebasan untuk membuat hutang, tetapi dengan bijak dan terkawal. Dalam erti kata lain, hutang adalah kawan yang ada manfaat sebagai alat untuk membina kehidupan.
Lazimnya, orang yang bebas berhutang tahu bila, bagaimana dan berapa banyak yang boleh ditanggung. Mereka juga tahu untuk uruskan hutang ini dengan cekap. Dengan strategi yang baik, orang ini dapat melunaskan bayaran bulanan tepat pada masanya.
Kebiasaanya golongan ini mempunyai rekod kewangan yang amat baik kerana sentiasa memastikan ansuran hutang di bayar tepat masanya. Di samping itu, mereka memiliki aliran tunai yang teguh serta boleh dibuktikan dengan mudah.
Orang yang bebas berhutang ibarat menunggang kuda liar dengan penuh kawalan. Jika tahu cara menunggang, kuda itu akan membawa ke destinasi yang jauh dan menarik tapi jika silap langkah, boleh jatuh tersembam ke bumi.
Menjalani kehidupan bebas berhutang bukan hanya untuk kumpulan orang yang istimewa. Ini sesuatu yang boleh dilakukan oleh semua orang dengan kerja keras dan pengurusan kewangan yang mapan.
Pilihan ada di tangan kita
Hidup ini penuh dengan pilihan. Ada segelintir selesa dengan kehidupan tanpa punya hutang langsung, rela tunggu cukup duit baru beli. Ada juga yang lebih terbuka dengan berhutang, asal tujuannya jelas dan mampu dikawal. Tiada jawapan mutlak yang sesuai untuk semua orang.
Paling utama, usah biarkan hutang jadi beban yang menyesakkan dada. tidak perlu setiap kali sampai waktunya, lari sembunyikan diri atau gali lubang untuk tutup lubang lama. Jadikan hutang seperti kawan yang ada manfaat, sebagai alat untuk mencipta masa depan yang lebih baik, bukan menambah tekanan.
Pengetahuan, disiplin dan perubahan gaya hidup adalah komponen yang sangat perlu jika mahu bebas daripada belenggu hutang. Apabila wujud suasana bebas berhutang, kewangan pasti lancar, hidup lebih bermakna.
Ingat, kesejahteraan hidup bukan datang daripada banyaknya harta tapi dari kestabilan kewangan serta ketenangan hati. Sama ada kita pilih untuk bebas hutang atau bebas berhutang, pastikan pilihan itu mendekatkan kita kepada hidup yang lebih terurus dan bahagia.
Kehidupan ini ibarat pelayaran di lautan luas. Bebas hutang membuatkan kapal kita ringan dan mudah bergerak. Bebas berhutang pula ibarat membawa muatan yang berat, tetapi kita tahu cara mengemudinya, dan boleh sampai ke destinasi yang lebih jauh.
Akhir yang kita cari bukan sekadar duit… tapi reda Illahi.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.