Melestari rantaian bekalan melalui ekonomi digital
Ekonomi digital dan rantaian bekalan lestari berupaya membuka peluang besar kepada negara membangun seperti Malaysia untuk melonjak dalam pembangunan mampan.

PERALIHAN kepada ekonomi digital telah mengubah landskap perniagaan, pekerjaan dan kehidupan seharian secara menyeluruh.
Di Malaysia, perkembangan ini dipercepat oleh pandemik, di mana teknologi digital menjadi tulang belakang kepada kelangsungan perniagaan dan interaksi sosial semasa negara dalam perintah berkurung.
Pada masa sama, dunia kini sedang menyedari bahawa pertumbuhan ekonomi tidak boleh terus bergantung kepada model linear ambil, guna dan buang.
Maka lahirlah konsep ekonomi pusingan (circular economy), berteraskan rantaian bekalan lestari. Di sini, penggunaan semula, pengurangan sisa dan kitar semula dalam semua peringkat pengeluaran dan penggunaan ditekankan.
Apabila digabungkan, ekonomi digital dan rantaian bekalan lestari berupaya membuka peluang besar kepada negara membangun seperti Malaysia untuk melonjak dalam pembangunan mampan.
Teknologi digital seperti internet kebendaan (IoT), blockchain dan kecerdasan buatan (AI) boleh mendokong rangkaian bekalan lestari. Ia berupaya untuk mengesan aliran bahan, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan ketelusan dalam rantaian bekalan.
Dalam sektor logistik dan pengeluaran contohnya, penggunaan sensor dan analitik data boleh membantu syarikat menjejak penggunaan sumber secara masa nyata, sekali gus mengoptimumkan tenaga dan bahan.
Ramai pengguna sebenarnya bersedia untuk mengitar semula, namun menghadapi kekangan kerana kekurangan infrastruktur sokongan seperti pusat pengumpulan, sistem logistik dan maklumat lokasi.
Sekiranya wujud platform digital yang mampu menghubungkan pengguna, pengumpul, pembeli barangan kitar semula dan pihak berautoriti dalam satu ekosistem yang mudah diakses, proses kitar semula akan menjadi jauh lebih efisien dan mesra pengguna.
Pendigitalan boleh menjadi pemangkin kepada ekonomi mampan, dengan menjadikan proses kitar semula lebih telus, berinsentif dan berasaskan komuniti.
Selain memudahkan proses kitar semula, teknologi digital juga berperanan penting dalam merekod dan memantau jejak karbon, khususnya Skop 3 iaitu pelepasan karbon tidak langsung yang berlaku sepanjang rantaian bekalan seperti pengangkutan, penggunaan produk dan pelupusan.
Dengan penggunaan data analitik, blockchain dan sistem penjejakan masa nyata (real-time tracking), syarikat kini boleh menilai impak karbon secara lebih tepat, seterusnya membuat keputusan yang lebih lestari.
Pendigitalan membolehkan organisasi bertindak proaktif dalam pengurusan alam sekitar, bukan hanya untuk pematuhan, tetapi sebagai kelebihan daya saing.
Malaysia telah pun menunjukkan inisiatif melalui Dasar Ekonomi Pusingan dan Pelan Induk Ekonomi Digital Negara.
Namun, pelaksanaan di peringkat industri dan pengguna masih memerlukan dorongan. Penggunaan teknologi mesti disokong oleh perubahan minda, dasar yang mesra inovasi dan pelaburan dalam pembangunan kapasiti. Institusi pengajian tinggi dan industri perlu berganding bahu untuk mencipta ekosistem yang menyokong ekonomi mampan dan rantaian bekalan lestari melalui pendigitalan.
Keupayaan untuk menghubungkan teknologi dengan kelestarian akan menjadi kelebihan daya saing baharu. Negara-negara seperti Belanda dan Finland telah pun membangunkan strategi yang berasaskan digital bagi membangunkan rantaian bekalan lestari. Malaysia perlu mengorak langkah seiring agar tidak ketinggalan dalam era baharu ini.
Gabungan ekonomi digital dan rantaian bekalan lestari bukan sahaja berpotensi menjana pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi tetapi juga memperkukuh daya tahan negara terhadap krisis alam sekitar dan gangguan rantaian bekalan global.
Inilah masanya yang tepat untuk kita mentakrifkan semula pembangunan yang bukan sekadar berdasarkan angka pertumbuhan, tetapi juga impak kepada masyarakat, alam sekitar dan generasi akan datang.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.